Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad) serta ulil amri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu! Kemudian jika kamu berbeza pendapat (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunah) rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagimu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
(Surah al-Nisa’ 4:59)
Bersempena dengan bulan Rabiulakhir, umat Islam wajar merenung kembali satu peristiwa bersejarah yang mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar, iaitu Perang Yamamah yang berlaku pada tahun ke-12 Hijrah semasa zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a.
Perang Yamamah tercetus akibat daripada kemunculan gerakan murtad dan nabi palsu yang menggugat kestabilan serta mengancam keamanan negara Islam. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, muncul pelbagai fitnah dan ancaman pemberontakan. Dalam kalangan orang Arab, ada yang kembali murtad; ada yang terlalu jahil dan taasub pada kabilah lalu terpengaruh oleh hasutan ajaran sesat, iaitu fahaman melampau sehingga enggan membayar zakat, malah ada dalam kalangan mereka percaya akan tipu daya, janji manis dan dakyah golongan yang mendakwa diri mereka sebagai nabi.
Musailamah al-Kazzab mendakwa dirinya nabi, selain mempunyai banyak pengikut. Dia bukan sahaja menolak kenabian Rasulullah SAW, malah mencabar kepimpinan khalifah dengan seruan menggulingkan kepimpinan Khalifah Abu Bakar r.a. untuk mengiktiraf diri dan pengikutnya sebagai pihak yang benar. Keadaan tersebut mencetuskan kekacauan dan ancaman besar kepada keutuhan negara Islam Madinah. Dengan kebijaksanaan dan ketegasan Khalifah Abu Bakar r.a., beliau mengambil tindakan pantas memerangi Musailamah al-Kazzab dan pengikutnya di wilayah Yamamah.
Perang Yamamah bukan sekadar pertempuran fizikal, tetapi menunjukkan bahawa sikap murni para sahabat memperjuangkan kesucian agama dan mempertahankan kedaulatan negara. Perang Yamamah disertai oleh ribuan pejuang sahabat Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin yang taat.
Angkatan tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al-Walid r.a. menghadapi tentera Musailamah al-Kazzab yang jauh lebih banyak, mencecah 40 000 orang. Walau bagaimanapun, dengan izin Allah SWT, umat Islam berjaya mencapai kemenangan setelah banyak nyawa yang terkorban, termasuklah lebih daripada 70 orang penghafaz al-Quran yang syahid di medan pertempuran.
Sehubungan dengan itu, peristiwa Perang Yamamah mengandungi pengajaran yang perlu dijadikan iktibar:
Pertama: Mentaati pemimpin yang sah.
Islam mewajibkan umatnya mentaati pemimpin yang dilantik secara sah selagi pemimpin tersebut tidak menyeru kepada perkara yang menyalahi syarak, selaras dengan tuntutan daripada Surah al-Nisa’ ayat 59. Ketaatan kepada pemimpin sebahagian daripada ketaatan kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Mentaati pemimpin bukan secara membuta tuli, tetapi didasarkan pada keyakinan bahawa pemimpin yang sah menjalankan amanah untuk menjaga kesucian agama, memelihara keselamatan dan keharmonian ummah, selagi perintah mereka tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Kedua: Melindungi ummah daripada ancaman dan pengaruh ajaran sesat.
Perang Yamamah menjadi bukti pentingnya tanggungjawab melindungi ummah daripada ancaman ajaran sesat dan pengaruh fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunah Waljamaah. Setiap fahaman atau adat yang bertentangan dengan syariat harus ditolak kerana bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah menghakis kesucian agama, serta mencetuskan kekacauan dan perpecahan dalam kalangan anggota masyarakat. Aliran Ahli Sunah Waljamaah merupakan satu-satunya aliran yang dijamin selamat. Oleh itu, tanggungjawab kita semua untuk memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Ketiga: Peranan ummah melaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketika menghadapi ancaman seumpama ini, ummah perlu mengambil berat dan berperanan proaktif. Ummah perlu membuat laporan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa apabila mengetahui terdapat ajaran atau fahaman yang merosakkan akidah dan bercanggah dengan ajaran Islam. Langkah sedemikian merupakan suatu bentuk jihad untuk memelihara agama. Ummah hendaklah bersama-sama mengambil tanggungjawab bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti tindakan para sahabat yang menyokong Khalifah Abu Bakar r.a. semasa Perang Yamamah untuk membendung ancaman ajaran salah sebelum merebak dan menjadi lebih parah.
Keempat: Ijtihad demi memelihara ilmu dan kebaikan ummah.
Perang Yamamah mencetuskan ijtihad baharu, iaitu mendorong usaha pengumpulan al-Quran dalam satu naskhah. Disebabkan banyak penghafaz al-Quran gugur syahid, timbul kebimbangan kemungkinan al-Quran boleh hilang. Atas cadangan Umar ibn al-Khattab r.a., Khalifah Abu Bakar r.a. mengarahkan Zaid bin Thabit r.a. untuk mengumpulkan ayat-ayat al-Quran yang ditulis pada lembaran kayu dan pelepah tamar sebelum disalin semula dalam bentuk satu mushaf. Usaha tersebut memperlihatkan bahawa pentingnya menjaga warisan ilmu. Para pemimpin harus mencontohi sikap Khalifah Abu Bakar r.a. yang berani berijtihad demi kebaikan ummah. Ummah dalam dunia moden yang sarat dengan pelbagai maklumat, harus mempersiapkan diri dengan ilmu al-Quran, akhlak mulia dan adab murni agar tidak mudah diperalatkan.
Semangat para sahabat dalam Perang Yamamah, berjuang membela agama dan negara daripada anasir yang menggugat kesucian agama dan kestabilan negara hendaklah diteladani dan diwarisi. Kita harus sanggup berkorban masa, tenaga dan harta benda demi agama dan negara; dijadikan sebagai sebahagian daripada jihad yang dituntut atas kita.
Tanggungjawab menjaga agama dan negara merupakan amanah besar. Berpegang teguhlah pada akidah Ahli Sunah Waljamaah, bersatu padu di bawah kepimpinan yang sah, serta menjauhi segala bentuk perpecahan dan fahaman sesat. Jadikanlah al-Quran sebagai cahaya yang membimbing setiap langkah kita.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 3 Oktober 2025, bertajuk “Peperangan Yamamah: Pengajaran dan Iktibar”)