Diterbitkan pada 26 September 2025, 13:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahaya rokok dan vap kini semakin mengancam kesihatan ummah. Perbuatan merokok dan menghisap rokok elektronik (vap) bukan sekadar tabiat, tetapi sebuah perangkap syaitan yang perlahan-lahan menghakis kesihatan, kewarasan dan keimanan.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 menunjukkan bahawa terdapat peningkatan jumlah penggunaan vap dalam kalangan remaja, iaitu sebanyak 15 peratus pada tahun 2022 berbanding dengan 10 peratus pada tahun 2017. Jika hal tersebut tidak dibendung, generasi pewaris negara pada hari ini dibimbangi akan menjadi lemah tubuh, jiwa dan cita-cita.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) pada jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri dalam kebinasaan dengan tanganmu sendiri, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

(Surah al-Baqarah 2:195)

Ayat tersebut menegaskan bahawa umat Islam dilarang mencampakkan diri mereka ke lembah kebinasaan. Rokok dan vap yang mengandungi segala bahan kimia berbahaya di dalamnya secara terang-terangan menjerumuskan diri kepada pelbagai penyakit kronik. Kerosakan paru-paru yang sihat disebabkan oleh tar, nikotin dan ribuan bahan toksik lain menjadikan jantung semakin lemah, risiko barah meningkat, serta pelbagai penyakit pernafasan menghantui hidup.

Keadaan ini lebih membimbangkan apabila rokok dan vap bukan sahaja memudaratkan diri perokok, bahkan turut memberikan kesan buruk kepada orang di sekeliling menerusi asap sekunder atau asap dan udara tercemar daripada hembusan perokok yang terpaksa dihidu oleh golongan bukan perokok berdekatan, khususnya bayi, kanak-kanak, warga emas, isteri dan ahli keluarga.

Keadaan ini bakal mengundang risiko yang tinggi kepada mereka untuk mendapat penyakit akibat asap rokok atau wap vap yang terdedah, selain merupakan suatu bentuk kezaliman terhadap orang yang tidak berdosa. Hadis Rasulullah SAW yang dijadikan kaedah fiqh dalam penentuan hukum, menetapkan larangan mendatangkan kemudaratan dalam kehidupan melalui sabdanya:

Maksudnya: “Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) dan tidak boleh memudaratkan (orang lain).”

(Hadis riwayat Ahmad)

Setiap tahun, dianggarkan sebanyak 24 100 orang rakyat Malaysia terkorban akibat penyakit berkaitan dengan amalan merokok. Musibah ini sangat memilukan tatkala kematian yang berlaku membabitkan kehilangan ayah, ibu, anak, saudara dan sahabat yang disayangi.

Oleh itu, kita tidak boleh terus membisu melihat kematian demi kematian berlaku akibat daripada bahan berbahaya ini, memandangkan satu nyawa pun amat besar nilainya di sisi Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya:

Maksudnya: “… barang siapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia … .”

(Surah al-Ma’idah 5:32)

Syariat Islam amat mengutamakan penjagaan kesihatan dan menegah umatnya melakukan perkara yang boleh mendatangkan mudarat, selaras dengan maqasid syariah yang bertujuan memelihara nyawa dan tubuh badan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa hukum perbuatan merokok adalah haram.

Pada 21 Disember 2015, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia juga memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vap adalah haram kerana mengandungi bahan-bahan yang boleh menjejaskan tubuh badan.

Menyedari ancaman besar ini terhadap generasi muda, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif menggubal Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 demi melindungi kesihatan awam. Akta ini dilihat sebagai satu akta yang menyeluruh, bertujuan mengawal selia semua jenis produk rokok, merangkumi rokok konvensional dan rokok elektronik atau vap.

Kita wajib menyelamatkan masa hadapan anak bangsa daripada ketagihan yang merosakkan diri. Hakikatnya, banyak anak muda boleh diselamatkan daripada menderita penyakit kronik sekiranya kita berjaya mencegah mereka daripada tabiat merokok dan menghisap vap. Pada masa yang sama, kehidupan keluarga menjadi lebih bahagia tanpa sebarang beban penyakit dan perbelanjaan perubatan yang tinggi untuk merawatnya.

Sehubungan dengan itu, umat Islam hendaklah mengambil perhatian terhadap empat perkara berikut sebagai panduan utama memperkukuh kesedaran tentang risiko tabiat merokok dan vap serta usaha untuk menghindarinya.

Pertama: Amalkan gaya hidup sihat dengan menjauhi rokok dan vap. Perbuatan merokok dan menghisap vap umpama “menyuntik racun” ke dalam tubuh badan. Oleh itu, kedua-duanya wajib dijauhi kerana boleh menjejaskan kesihatan diri sendiri dan orang lain.

Kedua: Tindakan meninggalkan tabiat merokok dengan niat mematuhi perintah Allah SWT dan mahu menjaga kesihatan akan dikira sebagai amal soleh di sisi-Nya.

Ketiga: Berikan perlindungan, pencegahan dan tidak membiarkan anak-anak muda menjadi mangsa budaya ketagihan yang merosakkan.

Keempat: Tanggungjawab menyedarkan bahaya rokok dan vap bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan, tetapi tanggungjawab bersama daripada ibu bapa, ahli keluarga, guru, ulama dan umara menerusi teguran, bimbingan serta nasihat mengenai bahaya rokok dan vap.

Marilah kita bersama-sama menyokong usaha menjauhi rokok dan vap sebagai jihad kecil untuk melindungi paru-paru dan menjaga kesihatan ummah.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 26 September 2025, bertajuk “Hargai Paru-paruJauhi Rokok dan Vap”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi