Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam dunia akademik hari ini, kita menyaksikan suatu realiti yang membimbangkan apabila semakin banyak ilmuwan Muslim lebih cenderung merujuk teori barat semata-mata, tanpa memberikan ruang kepada warisan keilmuan Islam. Sebahagian ilmuwan memetik Freud, Foucault dan Vygotsky, tetapi jarang sekali menyebut al-Ghazali, Ibn Sina, Ibn Khaldun dan al-Raghib al-Isfahani.
Hal ini menggambarkan seolah-olah Islam tidak mempunyai teori, dan para ulama tidak pernah berbicara tentang manusia, jiwa, akhlak atau masyarakat. Persoalannya, jika bukan ilmuwan Islam yang merujuk Islam, maka siapa lagi?
Menggunakan al-Quran dan sunah sebagai asas rujukan bukan sahaja menjadikan penulisan lebih utuh, bahkan membawa misi ilmu kembali ke tempat asalnya, iaitu sebagai nur dan bukan sekadar data. Wahyu bukan hanya untuk khutbah dan pengajian, bahkan untuk dibaca, difikirkan dan digunakan sebagai sumber epistemologi yang hidup serta menerangi seluruh cabang ilmu.
Kita masih terperangkap dalam warisan kolonial yang meletakkan nilai Barat sebagai penanda aras utama ilmiah. Kita masih merasakan bahawa tulisan kita hanya berwibawa jika sarat dengan teori Barat, manakala ayat al-Quran dan hadis dilihat tidak akademik, melainkan sebagai hiasan epigraf.
Hal inilah yang disebut sebagai penjajahan minda, apabila cara kita berfikir dan menilai kebenaran dibentuk oleh sistem luar yang tidak berteraskan iman. Tanpa kita sedari, kita menyebarkan ilmu yang pincang, iaitu ilmu tanpa roh, tanpa arah dan tanpa kesedaran bahawa ilmu sepatutnya membawa kita mengenal Allah SWT dan menjadi insan yang beradab.
Islam tidak menolak apa-apa yang datang dari luar, bahkan tokoh besar seperti al-Ghazali dan Ibn Rushd membaca Aristotle dan Plato. Akan tetapi, mereka menapis dengan hikmah, menyaring dengan iman dan menyusun semula dengan maqasid.
Hari ini, tugas itu jatuh kepada ilmuwan Islam yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan penulis Muslim. Kita perlu membaca teori moden dari kaca mata tauhid, menyemak kembali kesesuaiannya dengan pandangan alam Islam, serta menyesuaikan teori tersebut demi maslahat ummah. Di samping itu, kita juga mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan teori sendiri yang berakar daripada al-Quran, sunah, serta pengalaman rohani dan sosial umat Islam sepanjang zaman.
Sudah banyak wacana tentang islamisasi ilmu, namun usaha ini tidak boleh tinggal sebagai retorik. Islamisasi mesti bermula daripada cara menulis, mengajar dan meneliti, dengan pertanyaan jujur: “Adakah penulisan ini sekadar untuk diterbitkan atau sebagai warisan ilmu yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah SWT?” Menulis dengan wahyu merupakan amanah yang menuntut keyakinan bahawa Islam ialah sumber ilmu yang sahih dan menyeluruh. Dengan pena dan hati, kita menolak penjajahan minda serta membina semula izzah ummah. Menulis bukan sekadar memenuhi kehendak penerbit, tetapi perjalanan spiritual untuk menyambung warisan ilmu para ulama, cendekiawan, dan nabi kepada umat manusia.
Menulis dengan wahyu merupakan amanah besar. Wahyu sebagai sumber ilmu paling agung menjadi asas kepada pengetahuan yang benar dan bermanfaat. Penulis Muslim yang menyedari hakikat ini tidak menulis demi populariti atau pengiktirafan duniawi, tetapi dengan niat tulus untuk menyebarkan kebenaran, membimbing hati dan mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap ayat yang ditulis menjadi saksi kepada niat dan tujuan penulis, sama ada memberikan manfaat ataupun sebaliknya.
Dalam konteks dunia pada hari ini, penulisan merupakan senjata penting dalam peperangan pemikiran dan menjadi suatu bentuk jihad intelektual. Penulisan memerlukan keberanian untuk menyuarakan kebenaran walaupun tidak popular dan kesabaran untuk terus menulis walaupun mungkin tidak mendapat sambutan. Penulis Muslim perlu sentiasa bermuhasabah, memastikan setiap karya yang dihasilkan berpaksikan wahyu dan sunah, serta membawa mesej yang membina dan memperkasakan pembaca. Dalam setiap tulisan, perlu ada unsur tarbiah, tazkirah dan dakwah yang mengajak manusia kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.
Selain itu, penulis Muslim perlu menyedari bahawa setiap ilmu yang disampaikan merupakan suatu bentuk sedekah jariah. Ilmu yang bermanfaat akan terus mengalir pahalanya walaupun penulis telah tiada. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis riwayat Muslim).
Pada akhirnya, menulis dengan wahyu merupakan suatu bentuk ibadah yang menuntut keikhlasan, ilmu yang benar, serta kesungguhan untuk menyampaikan mesej Islam dengan hikmah dan kasih sayang. Semoga setiap penulis Muslim terus beristiqamah untuk menunaikan amanah menulis demi menyambung warisan ilmu yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah SWT, seterusnya membina ummah yang intelek, berakhlak dan mulia.
Penulis merupakan Profesor Madya Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Serdang.