Diterbitkan pada 12 September 2025, 13:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan demikian pula (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad), umat yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya Rasul (Muhammad) akan menjadi saksi atas (perbuatan) kamu semua… .”

(Surah al-Baqarah 2:143)

Politik atau siasah merujuk pengetahuan atau ilmu berkaitan dengan kenegaraan dan pemerintahan. Politik juga ditakrifkan sebagai kelakuan, kebijaksanaan, kebolehan, tipu muslihat yang diamalkan oleh seseorang atau sesuatu pihak untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu maksud, atau untuk menambah kuasa dan pengaruh.

Islam meletakkan politik tergolong dalam siasah syar‘iyyah, iaitu segala bentuk pentadbiran dan kepimpinan yang tidak bercanggah dengan syariat, bertujuan membawa maslahat (kebaikan) serta menolak mafsadah (kerosakan). Imam al-Mawardi dalam karyanya, al-Ahkam al-Sultaniyyah menyifatkan politik Islam sebagai al-imamah al-‘uzma (sebuah kepimpinan agung) yang wajib untuk menjaga agama dan mengurus dunia menerusi ungkapannya:

Maksudnya: “Kepimpinan itu diwujudkan sebagai pengganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya.”

Bagaimanakah peranan politik yang sepatutnya dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia?

Pertama: Politik wajib berdiri atas amanah dan keadilan. Tanpa amanah dan keadilan, segala matlamat asal politik tidak akan terlaksana. Politik seharusnya menjadi saluran untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, menjauhi kezaliman, di samping mengangkat kemakmuran negara. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil… .”

(Surah al-Nisa 4:58)

Kedua: Politik merupakan saluran untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan negara. Kaedah fiqh yang masyhur menyebut:

Maksudnya: “Keputusan pemerintah (mestilah) tertakluk kepada kemaslahatan (kebaikan) terhadap rakyat.”

Politik bukan saluran untuk disalahgunakan bagi tujuan membina kemasyhuran diri, merebut jawatan atau mengumpul kekayaan peribadi. Setiap jawatan politik yang disandang akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Pemimpin itu ialah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ketiga: Politik bertujuan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam), dan menyuruh melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan mencegah daripada segala perkara yang buruk dan keji (mungkar). Dan mereka itulah orang yang berjaya.”

(Surah Ali ‘Imran 3:104)

Budaya berpolitik dalam kalangan sebahagian ahli politik di negara kita, para pendukung dan penyokong juga dilihat semakin menyimpang daripada matlamat asal. Perkataan dan perbuatan yang melampau kini menjadi punca perpecahan ummah.

Tanpa memikirkan soal dosa, perbuatan fitnah-memfitnah, hina-menghina, tohmah-mentohmah berlaku secara berleluasa kerana sikap taasub dan kesetiaan membuta tuli terhadap pemimpin atau kumpulan mengatasi kepentingan agama, negara dan ummah. Media sosial kerap dijadikan gelanggang untuk menabur fitnah, memaki hamun, mengeji dan menghina lawan politik.

Berpolitik jangan sampai ke peringkat menghalalkan cara untuk mencapai matlamat sehingga mencetuskan permusuhan, memutuskan silaturahim dan memecahbelahkan rakyat, yang pada akhirnya menggugat ketenteraman awam, serta kestabilan dan keselamatan negara. Sikap melampau ditegah oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda yang bermaksud:

Jauhilah kamu sikap melampau kerana sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah sikap melampau.

(Hadis riwayat Ahmad)

Diriwayatkan Imam al-Hasan al-Basri pernah berkata, “Allah telah menjadikan agama ini berdiri antara dua ‘jangan’; jangan melampau dan jangan cenderung kepada orang yang zalim.”

Jika kita menelusuri sejarah, umat Islam pernah beberapa kali menghadapi detik hitam terkait dengan kumpulan Khawarij yang melampau dalam tindakan politiknya. Malah, Malaysia turut menerima tempias kumpulan Jemaah Islamiah dan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) yang berfahaman ghuluw (ekstremis). Kumpulan pelampau ini menjadikan politik sebagai wadah mengkafirkan pihak lawan; seterusnya menghalalkan darah demi perjuangan mereka.

Kumpulan yang berfahaman sebegini wajib dijauhi demi keamanan sesebuah negara kerana dikhuatiri umat Islam akan berpecah, hilang persaudaraan, hilang kekuatan, mudah diperalatkan oleh musuh, bahkan mungkin kembali dijajah jika perbuatan melampau dalam tindakan politik tidak dibendung segera. Umat Islam perlu kembali kepada roh asal agama yang menyeru ummah membina ukhuwah dan silaturahim dalam semangat kasih sayang, tolong-menolong dan saling membantu.

Tuntasnya, umat Islam perlu memahami amalan berpolitik yang sebenar menurut ajaran Islam dengan mengambil perhatian terhadap beberapa perkara seperti yang berikut:

Pertama: Politik merupakan sebahagian daripada kehidupan umat Islam, namun mestilah berlandaskan syariat; bersifat amanah, adil, sederhana dan menjaga perpaduan. Jangan taasub kepada individu atau kumpulan sehingga meminggirkan nilai agama.

Kedua: Ummah hendaklah berpolitik secara berhikmah, berakhlak dan berhemah, mendahulukan kepentingan Islam, watan dan rakyat.

Ketiga: Bersikap sederhana. Jika menyanjung sesuatu pihak atau seseorang, jangan terlalu taasub sehingga tergelincir iman dan akidah; demikian juga jika membenci sesuatu pihak atau seseorang, jangan sampai melakukan kezaliman. Kesetiaan bukannya kepada individu mahupun kumpulan, tetapi hendaklah pada kebenaran, berlandaskan syariat yang dibawa Rasulullah SAW.

Keempat: Jadikan rumah Allah seperti masjid dan surau sebagai pusat ibadah, pusat ilmu dan pusat kemasyarakatan yang dapat mendamaikan dan menyatukan ummah dalam semangat ukhuwah, persaudaraan Islam, silaturahim dan berkasih sayang antara satu dengan lain, meskipun memiliki fahaman politik yang berbeza-beza.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 12 September 2025, bertajuk “Kesederhanaan dalam Berpolitik”)

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi