Diterbitkan pada 5 September 2025, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10,

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu (yang bertelingkah), dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.

Maulidur Rasul disambut dengan hasrat memperingati peribadi, menjadikan teladan, sifat dan amalan Nabi Muhammad SAW, serta menghargai pengajaran dan bimbingan yang ditinggalkan kepada ummah; di samping menginsafi kekhilafan diri, jika ada sunah yang diabaikan, agar ummah menjalani tatacara kehidupan duniawi yang seimbang dengan ukhrawi, berpandukan wahyu al-Quran dan sunah Baginda.

Ukhuwah bermaksud persaudaraan yang merujuk ikatan hati dan jiwa sesama manusia, khususnya sesama mukmin atas dasar akidah Islam dan kasih sayang sesama makhluk Allah SWT. Ukhuwah melambangkan hubungan yang kukuh dan saling menyayangi antara individu yang dapat dibahagikan kepada tiga tingkatan:

    • Pertama: al-Ithar, iaitu mendahulukan atau mengutamakan kepentingan orang lain mengatasi kepentingan diri sendiri.
    • Kedua: al-Musawah, iaitu kesamarataan; menganggap apa-apa yang dimiliki dikongsi bersama tanpa ada yang lebih atau kurang.
    • Ketiga: Salamah al-Sadr, iaitu berlapang dada dan berbaik sangka; senantiasa memberikan penjelasan apabila timbul sebarang masalah dalam perhubungan.

Ukhuwah islamiah atau persaudaraan Islam ialah teras kepada hubungan yang menyatukan hati orang beriman atas dasar iman dan takwa. Ukhuwah Islamiah melampaui sempadan kaum, warna kulit, dan taraf ekonomi mahupun sosial. Ukhuwah

Islamiah merupakan asas kesatuan ummah, menjadikan umat Islam seperti sebatang tubuh yang saling menyokong dan melindungi. Sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya: Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam usaha membina ukhuwah. Sebaik-baik sampai di Madinah, Baginda menyatukan kaum muhajirin dan Ansar dalam satu ikatan persaudaraan yang dibina berdasarkan iman. Kaum muhajirin dan Ansar menerima dengan hati terbuka untuk berkongsi harta, tempat tinggal, bahkan keluarga demi memelihara ukhuwah.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Seorang Muslim ialah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh). Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya. (Hadis riwayat Muslim).

Pada hari ini, ukhuwah islamiah tidak sekukuh yang diharapkan. Ummah kelihatan berada dalam tiga keadaan berikut:

  • Pertama: Di dalam negara, disebabkan perbezaan kabilah politik dan persaingan untuk mendapat kuasa politik, ummah kelihatan lebih cenderung memilih untuk berselisih daripada bersatu.
  • Kedua: Pada peringkat dunia, penjajaran pimpinan negara Islam dengan kuasa besar menjadi penyebab negara-negara Islam tidak seia sekata dalam perkara yang menyentuh kedaulatan bumi Islam serta kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh kuasa besar terhadap umat Islam. Penderitaan yang ditanggung oleh bumi dan rakyat Palestin merupakan gajah di hadapan mata, yang membutakan penglihatan banyak pemimpin Islam.
  • Ketiga: Tiada sifat al-ithar dan al-musawah. Kekayaan yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada banyak negara Islam dan umat Islam, tidak disalurkan secara bererti yang boleh memberikan manfaat kepada umat Islam yang miskin, tertindas dan terpinggir. Sebaliknya, sifat tamak dan haloba telah “menghalalkan” pihak yang memiliki kuasa melakukan kezaliman, penindasan, menyalah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan mencuri khazanah negara.

Umat Islam diingatkan untuk membina ukhuwah yang kukuh dan melahirkan ummah yang bersatu padu. Ummah dituntut melaksanakan tiga perkara berikut:

  • Pertama: Menjadikan al-Quran dan sunah sebagai sumber rujukan kehidupan. Wahyu Ilahi membawa nilai keadilan, ihsan dan kebijaksanaan yang membantu menangani perbezaan secara berhemah, juga menggalakkan penyelesaian yang berpaksikan kepentingan bersama dan semangat persaudaraan. Dengan merujuk sumber yang sahih, ummah dapat mengelakkan sikap melampau, keputusan yang dipengaruhi emosi dan tindakan yang mementingkan diri. Apabila wahyu dijadikan panduan, perpaduan akan dapat dicapai melalui petunjuk dan keredaan Ilahi.
  • Kedua: Memelihara akhlak sesama Muslim dan sesama makhluk merupakan asas penting dalam membina penyatuan ummah. Sifat ikhlas dan berbaik sangka melahirkan kepercayaan serta menghindarkan prasangka yang meretakkan hubungan. Lidah yang dijaga daripada menyebarkan fitnah, mengumpat dan mencela, menjadi benteng daripada perpecahan dan permusuhan yang sering berpunca daripada kata-kata yang tidak terkawal. Apabila setiap individu berusaha memperelok akhlaknya terhadap saudara se-Islam, maka akan terbentuk masyarakat yang saling menghormati, saling mempercayai dan saling bersatu hati; lalu terbina landasan kukuh bagi penyatuan ummah yang bukan sekadar bersifat luaran, tetapi berpaksikan nilai murni yang diunjurkan oleh agama.
  • Ketiga: Memelihara ukhuwah islamiah dengan mengerjakan ibadah terutamanya bersolat jemaah di masjid, memperbanyak amalan memberi salam, ziarah-menziarahi terutamanya menziarahi saudara yang sedang dalam kesusahan, bersedia memohon maaf dan terbuka memberi kemaafan.

Rasulullah SAW menunjukkan bahawa kekuatan ummah terletak pada kesatuan hati, bukan pada bilangan ummah yang ramai atau kekayaan harta benda yang dimiliki. Jangan biarkan perbezaan pandangan, anutan mazhab atau pegangan politik kepartian memecahbelahkan ummah.

Islam satu-satunya agama yang diredai Ilahi, agama yang lengkap memayungi peraturan gaya hidup yang mendapat keredaan-Nya. Semoga acara yang dianjurkan sepanjang menyambut Maulidur Rasul berjaya menyemaikan keinsafan betapa pentingnya membina ukhuwah agar umat Islam menjadi ummah yang bersatu, serta memiliki kekuatan untuk memimpin dunia bertiangkan syariat.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat 5 September 2025 bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1447, bertajuk “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi