Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Telah diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa menolong mereka itu (mencapai kemenangan).”
(Surah al-Hajj 22:39)
Dua hari lagi kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-68. Tanggal 31 Ogos ialah tarikh bersejarah, iaitu tarikh pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang merdeka.
Sesungguhnya, kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini merupakan satu daripada nikmat kurniaan Allah SWT yang perlu kita syukuri dan pelihara dengan sebaik-baiknya kerana kemerdekaan ini tidak dicapai dengan mudah. Kemerdekaan dicapai melalui keazaman, kegigihan, kecekalan dan pengorbanan para penentang penjajahan dan pejuang kemerdekaan.
Kemerdekaan bukanlah sekadar gegak gempita laungan perisytiharan yang bergema di Stadium Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957, dan diulangi dengan perbarisan raksasa pada setiap 31 Ogos, berserta kibaran Jalur Gemilang di serata tempat. Kemerdekaan ialah kisah yang amat panjang bermula dengan ikrar setia antara rakyat dengan raja, lalu terbina sebuah empayar, megahnya satu bangsa, hingga berarak awan hitam hasad dengki, menggilanya ribut kezaliman, meruntuhkan tangga istana, dan merobohkan tembok-tembok kota.
Kemerdekaan ialah kenangan yang amat hiba. Bumi kita dijajah selama 446 tahun. Peristiwa pahit penjajahan bermula dengan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511; disusuli dengan penaklukan Belanda pada tahun 1641; diserahkan kepada British pada tahun 1824, yang memulakan penguasaan secara berperingkat, menjadi semakin ketara memulakan campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu selepas Perjanjian Pangkor pada tahun 1874.
Bumi ini kemudiannya berada di bawah penjajahan Jepun selama tiga tahun lapan bulan, bermula dengan pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Disember 1941 dan berakhir pada akhir tahun 1945, sebelum kembali kepada pemerintahan Inggeris sehingga pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Kemerdekaan pada hari ini membolehkan kita berdiri sebagai rakyat merdeka di negara yang berdaulat. Kemerdekaan memberikan hak kepada rakyat di bumi ini untuk mentadbir urus, menguasai sumber kekayaan, menentukan arah haluan, serta membangunkan dan memakmurkan negara ini demi manfaat rakyat jelata.
Kemerdekaan dituntut dan diperjuangkan oleh pahlawan bangsa yang bertahan dan mengatur serangan untuk menebus maruah; menitis darah dan air mata di sepanjang jalan, dari Rembau, Naning ke Pasir Salak, dari Semantan ke bumi Kelantan, Kuala Selangor dan Kuala Kedah. Dato’ Maharaja Lela, Ngah Jabor, Dol Said, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Tunku Kudin, Rosli Dhoby dan ratusan lagi pahlawan bangsa tidak bernama telah bermandi darah dan bergadai nyawa untuk membayar harga kemerdekaan negara.
Kemerdekaan ialah milik termahal, maka berdosalah sesiapa yang mensia-siakannya. Oleh itu, sebab kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka begitu juga ruang yang membolehkan kuasa luar bertapak di bumi ini, sewajarnya dijadikan peringatan kepada kita pada hari ini. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka jatuh, apabila rakyat mula merasai kezaliman dan ketidakadilan telah berlaku; apabila khazanah negara telah mula disalah guna, serta rasuah, perebutan kuasa, fitnah, dengki dan hasad menjadi budaya; apabila kesetiaan kepada puak dan kumpulan mengatasi kesetiaan kepada negeri, dan apabila beralihnya kesetiaan kepada raja dan negara; lalu kerajaan menjadi lemah dan rakyat berpecah belah. Akibatnya, bumi dan rakyat membayar harga yang mahal, hilang maruah – hilang kedaulatan; negeri ditakluk – rakyat dijajah.
Negara pada hari ini tidak kebal dan tidak bebas daripada ancaman penjajahan baharu yang muncul melalui arus globalisasi yang menyerang dan mengelirukan pemikiran dan budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda. Ancaman penjajahan baharu tidak lagi memerlukan pertempuran ketenteraan secara fizikal, tetapi melalui penjarahan minda dan jati diri bangsa, sekali gus boleh menghancurkan sesebuah negara.
Oleh itu, negara dan warga mempunyai cabaran dan tanggungjawab besar untuk membina benteng pertahanan berbentuk kekuatan minda dan kekuatan budaya, terutama dalam kalangan generasi muda. Jati diri anak muda perlu diutamakan dengan membina kekuatan dalaman dan kekuatan roh menerusi pengukuhan akidah dan nilai Islam.
Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah semata-mata. Islam terbukti berjaya memerdekakan manusia daripada kehidupan dunia yang sempit kepada kehidupan akhirat yang lebih luas.
Sesungguhnya, usaha mengisi kemerdekaan dengan nilai Islam merupakan perjuangan yang berterusan. Kemerdekaan yang tidak disertai dengan pengisian rohani dan tanggungjawab sebagai hamba Ilahi hanya akan menjadikan kemerdekaan itu kosong tidak bermakna.
Menyedari musuh dan ancaman negara itu datang dalam pelbagai bentuk, kemerdekaan negara ini hendaklah dibina benteng pertahanannya bertiangkan syariat. Umat Islam hendaklah berada di barisan hadapan, menjadi pembina peradaban, dan bukan perosak tamadun. Jangan biarkan generasi akan datang hidup secara zahir dalam negara yang merdeka, tetapi dijajah oleh keruntuhan moral dan kecelaruan identiti.
Kemerdekaan yang telah dicapai dan kita nikmati ini hendaklah dihargai dan dipelihara melalui empat pendekatan berikut:
Pertama: Sifat mensyukuri nikmat kemerdekaan dengan memelihara perpaduan dan hubungan harmoni antara rakyat berbilang kaum yang mengamalkan pelbagai budaya, bahasa dan agama.
Kedua: Generasi muda perlu dididik supaya memahami sejarah dan makna kemerdekaan; diperkukuh jati diri mereka, serta diperteguh akhlak dan akidah mereka agar selaras dengan syariat.
Ketiga: Para pemimpin yang diberi amanah oleh Allah SWT dan kepercayaan oleh rakyat hendaklah mentadbir urus negara ini secara adil dan telus, meluhurkan perlembagaan, mendaulatkan undang-undang tanpa gentar dan pilih kasih; memakmurkan sumber kekayaan negara secara saksama; bersifat amanah, jujur dan ikhlas; bersih daripada rasuah; dan tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa.
Keempat: Menghentikan sifat tamak, haloba, dengki, menyebarkan fitnah, mengadu domba dan bersengketa sesama kita.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 29 Ogos 2025, bertajuk “Kemerdekaan – Sejarah dan Cabaran”)