Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Tidaklah sama keadaan orang beriman yang duduk (yang tidak pergi berperang) tanpa keuzuran (halangan) dengan orang yang berjihad (berjuang) di jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darjat orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya berbanding dengan orang yang duduk (tidak pergi berperang tanpa keuzuran) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (daripada kedua-dua golongan itu), Allah menjanjikan (pahala) yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang yang berjihad berbanding orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tiada sebarang keuzuran) dengan pahala yang amat besar.”
(Surah al-Nisa’ 4:95)
Susulan pengisytiharan tamatnya darurat pada 31 Julai 1960 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kerajaan telah mengisytiharkan tarikh 31 Julai sebagai Hari Pahlawan bertujuan memperingati dan menghargai jasa serta pengorbanan para anggota pasukan pertahanan dan keselamatan yang mengabadikan jiwa raga mereka, berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara demi kesejahteraan warga.
Darurat diisytiharkan pada 16 Jun 1948 dan berakhir pada 31 Julai 1960. Tempoh lebih 12 tahun darurat merakamkan pelbagai pengalaman pahit dan peristiwa duka. Harta benda dimusnahkan, banyak anggota tentera dan polis, tidak terkecuali orang awam yang cedera. Anggota tentera dan polis berada di barisan hadapan memenuhi tanggungjawab fardu kifayah untuk menjamin keselamatan negara dan memastikan ketenteraman awam.
Banyak juga daripada mereka yang terkorban semasa bertugas menyebabkan ibu bapa kehilangan anak, isteri menjadi balu dan anak-anak menjadi yatim pada usia yang terlalu muda.
Anggota Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan wira bangsa – wira negara. Negara kita kekal berdaulat, keamanan negara terus dinikmati, pembangunan negara berjaya diusahakan, lantas dicapai menerusi semangat sedia berkorban dan sedia berkhidmat anggota pasukan pertahanan dan keselamatan negara kita, mengabadikan diri kepada nusa dan bangsa, meski kulit dibakar terik matahari, diselimuti dingin malam, mendaki gunung, menuruni lurah, berperahu ke hulu, berakit ke hilir, bertugas siang dan malam mengawal keselamatan negara sama ada di udara, darat dan perairan demi setiap inci bumi merdeka ini dipertahankan kedaulatannya dan keselamatan setiap rakyat dilindungi sebaik mungkin.
Keselamatan negara terus diawasi daripada pelbagai bentuk ancaman merangkumi serangan musuh, kumpulan pengganas, kegiatan jenayah, penyeludupan, pemerdagangan manusia; serta perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam seperti hasutan, rusuhan dan ketegangan hubungan antara kaum.
Ketika majoriti rakyat berada dalam suasana riang gembira menyambut hari perayaan, wira-bangsa dan wira negara kita yang menyarung uniform, bertugas di serata negara untuk menjamin ketenteraman, mengawal lalu lintas dan mengawasi perlakuan jenayah demi memastikan masyarakat beroleh kesenangan dan kebahagiaan.
Surah al-Nisa’, ayat 95 menunjukkan bahawa kelebihan darjat orang-orang yang bersedia memenuhi tanggungjawab berjuang pada jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Berjuang memelihara keamanan, menjamin keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara turut dianggap sebagai jihad.
Rasulullah SAW memperakui tugas mengawal keselamatan sebagai tugas mulia di sisi Ilahi yang dikurniakan kelebihan sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Menjaga sempadan negara sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan solat malam sebulan penuh. Apabila penjaga tersebut meninggal dunia (ketika bertugas), dia akan terus diberikan pahala atas amalan yang biasa dilakukannya sebagaimana dia terus dikurniakan rezeki dan kenyamanan daripada segala pengganggu (azab kubur).”
(Hadis riwayat Muslim)
Kemakmuran negara yang dinikmati ketika ini membolehkan urusan harian disempurnakan sama ada bekerja untuk menyara kehidupan atau menuntut ilmu. Begitu juga urusan ibadat, beriadah dan bersiar-siar.
Nikmat kemakmuran itu berlaku kerana khidmat berkesan oleh anggota tentera dan polis yang memiliki semangat pengorbanan tinggi. Mereka menyerahkan jiwa raga untuk berkhidmat kepada nusa dan bangsa, serta menghayati dengan penuh semangat kesetiaan.
Sehubungan dengan itu, umat Islam sewajarnya mengambil perhatian terhadap beberapa saranan berikut:
Pertama: Tugas anggota pasukan pertahanan dan keselamatan merupakan tugas murni menyempurnakan fardu kifayah; dilimpahi ganjaran dunia dan akhirat.
Kedua: Umat Islam wajib menghargai khidmat para anggota pertahanan dan keselamatan yang berkorban jiwa raga untuk nusa dan bangsa. Hulurkan sokongan, pertolongan dan bantuan kepada mereka, terutama selepas mereka yang bersara, pernah cedera, cacat dan kehilangan anggota. Demikian juga dihulurkan bantuan dan sokongan kepada anggota keluarga mereka, terutama para ibu bapa yang kehilangan anak, balu yang kehilangan suami, serta anak-anak yang menjadi yatim.
Ketiga: Umat Islam wajar mendoakan agar wira bangsa dan negara kita dikurniakan ketabahan serta kecekalan hati terus berbakti kepada nusa dan bangsa; selain sentiasa mendapat petunjuk dan perlindungan Ilahi ketika bertugas.
Keempat: Umat Islam boleh menghulurkan sumbangan dan derma ke Tabung Pahlawan, termasuk pertimbangan terhadap sebahagian daripada kutipan tabung masjid disumbangkan ke Tabung Pahlawan.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 25 Julai 2025, bertajuk “Menghargai Bakti Wira Bangsa – Wira Negara”)