Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pendidikan merupakan asas penting dalam pembinaan jati diri, darjat dan ketamadunan manusia. Dalam hal ini, profesion pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, bahkan amanah yang besar dan mulia. Pengajaran bukan untuk memburu populariti atau gaji besar, sebaliknya untuk melahirkan generasi berilmu dan berakhlak meskipun berhadapan dengan cabaran tingkah laku serta pelbagai tahap pemahaman pelajar.

Pendidikan yang berkualiti turut bergantung pada adab dan peribadi pendidik. Pendidik perlu menjadi contoh teladan kerana tingkah laku mereka akan diperhatikan oleh pelajar. Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, persekitaran pembelajaran perlu mesra, selamat dan sejahtera bagi menjamin kesejahteraan pelajar dari sudut fizikal dan emosi. Dalam hal ini, guru perlu berhemah dan beradab ketika menyantuni pelajar. Komunikasi antara guru dengan pelajar hendaklah konsisten dan saling menghormati bagi menjamin sistem pembelajaran yang berkesan serta melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik dan sahsiah.

Adab sebagai Teras dalam Penerapan Pendidikan
Seseorang pendidik seharusnya memulakan setiap hari mengajar pelajar dengan niat mendidik kerana Allah SWT, ikhlas menerapkan adab yang baik, serta memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan membaca doa sebelum belajar. Langkah ini bertujuan memperoleh keberkatan serta pengharapan kepada Allah SWT agar pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik dan lancar.

Dalam Surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud,

Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu: ‘Berilah kelapangan dalam majlis’, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberikan kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: ‘Berdirilah kamu’, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.

Menurut Imam Nawawi, antara adab seorang guru termasuklah memberikan nasihat yang baik kepada pelajar. Jika ingin menegur atau memperkatakan sesuatu kepada pelajar, hendaklah dengan laras bahasa yang baik dan sopan agar pelajar tersebut tidak tersinggung. Hal tersebut perlu dilakukan dengan secara lembut, ihsan, empati dan kasih sayang.

Elakkan bersikap kasar, menggunakan kata yang tidak baik, serta meninggikan suara walaupun pelajar tersebut membuat kesalahan seperti lewat datang kuliah, ponteng kelas, tidak menyelesaikan tugasan dengan baik dan kurang komited dengan pembelajaran. Konteks berlembut ini adalah dengan meraikan kemampuan pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang keluarga dan pendidikan.

Seterusnya, seseorang pendidik perlu bijak menangani masalah dan mengajar anak didik secara berperingkat. Hal ini bermaksud seseorang pendidik perlu bersikap adil dan memiliki keupayaan mendidik mengikut tahap kemampuan pelajar. Hal ini bagi memastikan pelajar tersebut tidak ketinggalan, memahami dan menguasai ilmu dengan baik.

Pendidik perlu sedar bahawa pelajar yang berurusan dengan mereka merupakan insan biasa yang memiliki hati dan perasaan. Oleh itu, pendidik seharusnya mampu mengawal emosi agar tidak bertindak mengikut amarah. Elakkan sifat narsisistik, ego dan kesombongan yang boleh merosakkan reputasi sebagai pendidik. Sebaliknya, tanamkan sifat rendah diri dan kesyukuran dalam usaha mendidik pelajar demi melahirkan insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Selain itu, jauhi perasaan iri hati terhadap rakan sejawat yang mungkin lebih disukai oleh murid kerana kepakaran mereka. Amalkan persaingan sihat dan bersihkan hati agar profesion perguruan lebih dihormati dan dipandang tinggi.

Bijak Mengawal Emosi demi Kemaslahatan Pelajar
Kenyataannya, tiada manusia di dunia yang sempurna. Oleh itu, keupayaan mengurus emosi dan kemarahan amat penting dalam jiwa seorang pendidik. Hal ini selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang diasaskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kesejahteraan mental, emosi dan pemikiran berasaskan nilai hormat serta ihsan demi membentuk bangsa yang progresif dan sejahtera.

Pendidik yang bersifat pemarah, tidak rasional dan menakutkan hanya akan mencetuskan suasana cemas dan gelisah dalam kalangan pelajar, sekali gus menjejaskan prestasi akademik mereka.

Menahan amarah dan mengawalnya merupakan sikap yang amat terpuji dan dituntut. Ketika menyifatkan beberapa ciri orang bertakwa, Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 134 yang bermaksud, “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang lain.”

Pengurusan emosi yang baik dalam kalangan pendidik mampu memelihara kesihatan mental dan psikologi pelajar. Sikap guru yang kasar dan tidak empati boleh menyebabkan pelajar murung, takut, memberontak dan tertekan, sehingga menimbulkan rasa jauh hati serta hilang minat terhadap pelajaran. Sebagai akibatnya, pelajar menjadi pasif, malas, enggan hadir ke kuliah, dan mengalami kemerosotan prestasi. Oleh itu, pendidik perlu cakna bahawa komunikasi berhemah dan suasana pembelajaran yang harmoni amat penting bagi memastikan kejayaan akademik dan kesejahteraan emosi pelajar.

Kepimpinan melalui Tauladan
Seorang pendidik sewajarnya memberi gambaran dan tauladan yang baik kepada pelajar agar dicontohi dengan sikap yang mulia dan keperibadian yang terpuji. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sebahagian pelajar yang menjadikan guru sebagai idola dalam kehidupan melalui percakapan, gaya, pemakaian, sahsiah dan keperibadian. Perkara ini juga penting bagi memastikan lahirnya pelajar yang selari ilmu dan adab dalam kehidupan seharian.

Sentiasa bermuhasabah dan latih diri untuk berubah menjadi pendidik yang amanah, komited, bertanggungjawab, berdedikasi tinggi, berkeperibadian mulia, serta bijak ketika mengendalikan emosi diri. Terapkan sifat istiqamah sebagai pendidik yang baik dan terpuji sifatnya. Kawal perasaan marah terhadap pelajar dengan selawat, zikir dan doa agar mereka berubah ke arah kebaikan.

Pada masa yang sama, bergaullah dengan kumpulan pendidik yang baik, beradab, rendah diri, saling menasihati dan menegur dengan hikmah. Usah berputus asa. Jadikan setiap cabaran dan kesilapan sebagai pedoman untuk memperbaik diri dan mendidik dengan kebijaksanaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi