Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Beberapa penerbangan balik jemaah haji Malaysia akan dijadualkan semula atas nasihat keselamatan syarikat penerbangan.
Menurut Tabung Haji (TH), penjadualan semula itu juga disesuaikan dengan perkembangan semasa operasi penerbangan di Asia Barat.
“Penerbangan yang dijadualkan semula pada 24 Jun 2025 ialah KT043 (MH8301), pukul 5.10 pagi waktu tempatan dari Madinah, dan KT034 (MH8291) dari Jeddah pada pukul 6.40 pagi,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
TH berkata, kedua-dua penerbangan carter haji tersebut telah ditunda sekurang-kurangnya 24 jam daripada jadual asal.
Tambahnya, penjadualan baharu sedang disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuklah penyelarasan trafik udara dan keperluan logistik.
Katanya, kesemua jemaah haji yang terlibat telah ditempatkan sementara di hotel sekitar Jeddah dan Madinah bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka.
Menurut TH, koordinasi di lapangan terbang sedang giat dijalankan antara pihak syarikat penerbangan dan TH bagi memastikan kelancaran urusan logistik jemaah.
“Setakat ini sebanyak 39 penerbangan jemaah haji telah tiba di tanah air dengan baki 61 penerbangan lagi,” maklumnya.
Katanya, sebarang perkembangan lanjut, termasuk perubahan jadual oleh syarikat penerbangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.