Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengumumkan peningkatan kadar bantuan makanan bulanan kepada asnaf bermula pada 1 Julai ini.
Langkah proaktif tersebut menyaksikan kadar bantuan bagi asnaf miskin dan mualaf dinaikkan kepada sebanyak RM300 sebulan, berbanding dengan RM250 sebelum ini.
Bagi asnaf fakir, kadar bantuan kekal pada nilai RM400.
Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Puan Rohaizah Abas berkata, keputusan menaikkan kadar bantuan ini dibuat selepas pengurusan tertinggi MAIM meneliti semula belanjawan tahunan dan impak kos sara hidup semasa.
“Bantuan ini penting lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang apabila harga barang mentah terus melonjak.
“Kita mahu pastikan asnaf tidak tercicir daripada mendapatkan keperluan asas mereka,” katanya.
Puan Rohaizah berkata, semakan mendapati kadar bantuan tersebut tidak pernah disemak sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menjadikan penyelarasan ini amat signifikan dan dilakukan tepat pada masanya.
“Walaupun jumlah kenaikan hanya RM50, namun tetap memberikan kelegaan kepada mereka yang sebelum ini terpaksa berjimat cermat dalam pembelian barangan asas,” tambahnya lagi.
Menurutnya, penebusan bantuan makanan tersebut boleh dilakukan hanya dengan menggunakan kad pengenalan di premis pembekal dan peniaga runcit yang dilantik oleh MAIM, tanpa perlu sebarang borang tambahan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan asnaf, bahkan turut memberikan manfaat kepada pembekal dan peniaga kecil tempatan yang terlibat secara langsung dalam rantaian bantuan ini,” jelasnya.
Setakat ini, sebanyak 7651 orang asnaf miskin dikenal pasti layak menerima bantuan makanan bulanan tersebut, tidak termasuk jumlah asnaf mualaf dan fakir yang turut berada dalam senarai penerima MAIM.