Diterbitkan pada 5 Jun 2025, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tular dalam media sosial tentang kawalan ketat Kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah haji pada tahun ini. Jemaah yang cuba memasuki Makkah untuk mengerjakan ibadah haji tanpa menggunakan visa haji yang sah berhadapan dengan tindakan penguasa di sana, sama ada ditahan dan dibawa ke Jeddah ataupun diusir.

Laporan pada 27 Mei 2025 menunjukkan sebanyak 63 orang jemaah haji dari Malaysia telah diusir kerana cubaan memasuki Makkah menggunakan visa haji palsu. Tindakan ini bukan sekadar membahayakan diri mereka, tetapi berisiko memberikan kesan negatif terhadap pengurusan haji Malaysia pada masa akan datang.

Sebenarnya, kawalan ketat Kerajaan Arab Saudi adalah untuk memastikan keselesaan dan keselamatan para tetamu Allah. Tidak timbul isu kawalan ini sebagai suatu bentuk usaha untuk menghalang umat Islam daripada menunaikan haji. Isu ini berkaitan rapat dengan isu pentadbiran dan pengurusan haji. Pada akhirnya, umat Islam di seluruh dunia mesti akur dan patuh dengan penuh adab kepada tuan rumah yang mengurus tadbir urusan haji dan memberikan kerjasama kepada mereka.

Hal ini sama seperti adab yang ditunjukkan oleh Rasulullah ketika dihalang daripada melakukan umrah Hudaibiyah. Baginda tetap tenang, sabar dan reda, serta menerima keputusan pentadbir Makkah pada ketika itu, walaupun mereka merupakan golongan musyrikin yang juga musuh Allah.

Kita seharusnya menerima hakikat bahawa umat Islam di seluruh dunia sangat ramai berbanding dengan keluasan Makkah yang terhad dan mampu menampung sebilangan jemaah haji sahaja pada satu-satu masa.

Dalam hal inilah kita melihat Islam sebagai agama rahmat, yang memudahkan dan tidak menyusahkan umatnya. Allah dan Rasul-Nya tahu akan keadaan umat akhir zaman yang bersungguh-sungguh ingin mengerjakan haji, maka disediakan beberapa pelan kontingensi sebagai jalan keluar.

Pelan kontingensi pertama, haji tidak dijadikan sebagai ibadah rutin sebagaimana ibadah lain seperti solat, puasa dan zakat. Sebaliknya, haji hanya diwajibkan sekali seumur hidup. Oleh itu, sesiapa yang telah mengerjakan haji, perlu memberikan laluan kepada orang lain pula untuk mengerjakan ibadah tersebut.

Pelan kontingensi kedua, Islam menyediakan beberapa amalan lain yang jika diamalkan, maka pahalanya seumpama mengerjakan haji. Terdapat lima amalan yang jika diamalkan akan dikurniakan pahala mengerjakan haji seperti yang berikut:

1. Tasbih, tahmid dan takbir selepas solat fardu.
Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa orang miskin pernah mengeluh kepada Rasulullah mengenai kelebihan orang kaya yang berkemampuan mengerjakan haji, lalu Rasulullah mengajar mereka untuk beramal dengan amalan yang dapat menyamai pahala tersebut, iaitu bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33 kali setiap kali selesai solat fardu. (Hadis riwayat al-Bukhari).

2. Solat subuh berjemaah, kemudian berzikir hingga terbit matahari dan diakhiri dengan solat sunat dua rakaat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mendirikan solat subuh berjemaah, kemudian duduk di tempat solatnya untuk berzikir kepada Allah hingga matahari terbit, lalu dia mendirikan solat sunat dua rakaat, maka baginya seperti pahala haji dan umrah yang sempurna.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

3. Pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardu.
Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardu, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang berihram haji.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

4. Umrah pada bulan Ramadan.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Lakukanlah umrah pada bulan Ramadan kerana umrah pada bulan Ramadan setara dengan haji.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.
Rasulullah pernah menasihati seorang lelaki untuk berbakti kepada ibunya. Baginda bersabda yang bermaksud, “(Jika kamu berbakti kepada ibumu), kamu (mendapat pahala) orang sedang haji, umrah dan berjihad.” (Hadis riwayat al-Tabarani dan al-Baihaqi).

Melakukan ibadah, jangan sampai melanggar peraturan. Umat Islam sentiasa diajar tentang disiplin dan adab. Matlamat akhir daripada ibadah haji, antaranya termasuklah ketaatan dan ketundukan. Sesiapa yang melanggar peraturan, hal yang demikian menjadi bukti bahawa seseorang tidak taat dan tunduk, dan juga tanda bahawa nafsu dan kepentingan diri beraja dalam hati.

Pada hakikatnya, peraturan dibuat untuk tujuan menjaga maslahah umum, bukan hanya kepentingan peribadi. Sunah Nabi Muhammad yang akur dengan ketetapan pentadbir Makkah yang melarang Baginda dan para sahabat daripada melakukan umrah suatu ketika dahulu patut dijadikan iktibar.

Jika Allah memilih kita sebagai tetamu-Nya, tiada apa-apa yang mampu menghalang. Jika Allah belum lagi memilih kita untuk ke sana, menantilah dengan sabar dan reda.

Pada masa yang sama, lakukan ibadah lain seperti zikir selepas solat dan solat berjemaah di masjid. Jika terlalu rindukan bumi Haramain, boleh lakukan umrah pada bulan Ramadan.

Moga Allah meneerima segala amal kebaikan yang kita lakukan, mengurniai kita pahala berganda sesuai, dan mengganjari kita dengan syurga Firdaus di akhirat kelak.


Penulis merupakan Pensyarah Akademik Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi