Diterbitkan pada 29 Mei 2025, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jasin –  Dalam usaha memperkukuh syiar Islam di negara ini, kerajaan negeri Melaka melancarkan Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Tersusun, yang bakal menjadi mercu tanda utama pembangunan dakwah dan pendidikan Islam pada peringkat serantau.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu merupakan suatu langkah strategik jangka panjang dalam usaha memperkasakan institusi dakwah, melahirkan pendakwah profesional, serta melahirkan generasi pelapis utama yang mampu menyebarkan ilmu dan menyemarakkan syiar Islam di seluruh rantau ini.

“Hal ini merupakan suatu pencapaian besar yang akan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai pusat penyebaran ilmu agama dan dakwah serantau.

“Kita mahu melahirkan lebih banyak huffaz yang bukan sahaja mahir menghafal al-Quran, malah juga berjaya dalam kerjaya profesional.

“Pusat ini akan menjadi medan latihan, rujukan dan pusat pengembangan dakwah yang mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, baru-baru ini.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menyantuni pelajar tahfiz yang menghadiri majlis perasmian pelancaran Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Tersusun, Jasin.

YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas sumbangan peruntukan sebanyak RM4 juta, selain bantuan RM1.9 juta daripada Kementerian Ekonomi, dan RM300,000 daripada JAMIYAH Singapura merangkap DMDI Singapura, yang mempercepat usaha mewujudkan pusat bersejarah ini.

Selain itu, pelbagai perancangan telah disusun termasuklah pembangunan pusat tahfiz moden, pembinaan 100 unit rumah kediaman warga emas lengkap dengan pusat pengajian al-Quran, perpustakaan, surau, klinik dan pelbagai fasiliti lain untuk manfaat penduduk setempat serta pelajar tahfiz.

“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM300,000 sebagai bantuan pembangunan kepada 30 buah institusi pengajian Islam swasta yang berdaftar di Melaka, serta memperkenalkan Program Bijak Tahfiz dengan peruntukan RM297,000 bagi menyokong dan mempertingkatkan kualiti pendidikan tahfiz di seluruh negeri,” katanya.

Tambah beliau, Melaka akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan dakwah, serta memastikan setiap usaha yang dilakukan memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat dan generasi akan datang.

“Dengan kemudahan dan inisiatif ini, Melaka yakin mampu menjadi contoh teladan dalam pembangunan syiar Islam yang inklusif, progresif, dan mampu bersaing pada peringkat nasional dan serantau,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi