Diterbitkan pada 4 Jun 2025, 08:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Menilai konsep kepimpinan dan negara atau tanah air harus bertunjangkan kepada ilmu, bukan bersandarkan kepada nafsu semata-mata.”

Demikian kata Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Ayman al-Akiti dalam satu wacana yang disiarkan menerusi Facebook Akademi Pemikiran Turath, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, budaya ilmu perlu dilestarikan, khususnya dalam konteks negara berbilang bangsa bagi memastikan keluhuran, kestabilan dan keharmonian masyarakat kekal terjamin, selain sebagai satu wadah membentuk insan yang lebih bertamadun.

“Insan bertamadun dalam erti kata insan atau masyarakat yang berilmu. Yang berjiwa besar. Orang yang berjiwa besar selalunya akan menilai dan menerima sesuatu perkara dengan ilmu, bukan dengan, atau kerana taasub” katanya.

Wacana tersebut membicarakan buku Manipulasi Agama: Membongkar Pemikiran Radikal, terjemahan daripada kitab al-Haqq al-Mubin fi al-Radd ‘ala Tala’aba bi al-Din karangan Menteri di Kementerian Wakaf Mesir, Dr. Usamah al-Sayyid Mahmoud al-Azhari.

Ulasan ini diadakan dengan tujuan untuk memahami serta menghayati pendedahan terhadap fenomena ekstrem yang memesongkan pegangan agama.

Manipulasi Agama: Membongkar Pemikiran Radikal merupakan sebuah buku membongkar bahaya pemikiran radikal yang sering menyalahgunakan agama dengan menekankan kepentingan berpegang pada prinsip Ahli Sunah Wal Jamaah yang sederhana dan inklusif.

Menurut Ayman al-Akiti, buku yang membincangkan isu-isu kritikal seperti salah faham tentang konsep jihad, kefahaman cinta negara, serta manipulasi agama oleh golongan ekstremis itu sangat sesuai untuk bacaan umum.

“Buku ini menjadi panduan penting untuk umat Islam memahami keindahan Islam yang menolak kekerasan dan menyeru kepada keharmonian serta keseimbangan dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sesetengah golongan yang sanggup menimbulkan persepsi buruk dan tidak berasas dengan mentakrifkan tanah air hanya sekadar tanah yang tidak mempunyai nilai.

“Tanggapan buruk seperti ini berlaku di rantau kita, di Nusantara ini.

“Mereka sanggup menilai begitu sekali. Ini satu tanggapan tidak betul,” jelas ilmuwan yang berkepakaran dalam bidang akidah, ilmu kalam, tasawuf, kajian manuskrip, fikah, usul al-fikah, dan ilmu falak itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, tanah air bukan setakat warisan khazanah peninggalan nenek moyang sebagaimana yang difahamkan secara umum, tetapi fitrah ciptaan al-Khaliq yang disabitkan bagi setiap manusia.

“Maknanya, tanah air ini adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk kita memelihara dan mempertahankannya mengikut tuntutan syariat,” jelasnya.

Kredit Foto: Akademi Pemikiran Turath
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi