Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Seminar “100 Tahun Malcolm X: Kemanusiaan Tanpa Sempadan” anjuran Universiti Selangor (UNISEL) dan Institut Darul Ehsan (IDE) membuka lembaran baharu dalam usaha mengenang perjuangan tokoh hak asasi terkenal dunia, Malcolm X.

Program yang berlangsung di Kampus UNISEL Shah Alam ini diadakan sempena ulang tahun kelahiran Malcolm X pada 19 Mei 2025, dengan menampilkan pelbagai pengisian ilmiah dan penghargaan terhadap legasi beliau.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menekankan bahawa umat Islam perlu memainkan peranan sebagai agen perubahan bagi menyampaikan risalah Islam yang bersifat universal, merentasi ideologi, kaum dan warna kulit.

“Kita mesti menjadikan pengalaman dan perjuangan Malcolm X sebagai inspirasi dalam kehidupan umat Islam pada hari ini,” katanya semasa merasmikan seminar.

Menurut beliau, pandangan dunia Malcolm X berubah sepenuhnya selepas menunaikan haji pada tahun 1964.

Daripada seorang yang bersifat perkauman, Malcolm X berubah menjadi insan yang menjunjung nilai kemanusiaan dan mengiktiraf hidup bersama secara damai dalam kepelbagaian.

“Beliau menyaksikan sendiri jemaah haji dari seluruh dunia berkumpul di Arafah hanya dengan memakai ihram putih yang melambangkan kesamarataan manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau status sosial,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman menyifatkan Malcolm X sebagai ikon idealisme yang patut diketengahkan kepada generasi muda untuk memahami nilai perjuangan terhadap keadilan dan kemanusiaan.

“Kemanusiaan merupakan pilihan kita hari ini, sama ada berpihak kepada yang tertindas ataupun berdiam diri dalam ketidakadilan.

“Seratus tahun Malcolm mengingatkan kita bahawa sejarah tidak akan menilai kita berdasarkan kuasa, tetapi atas dasar empati,” ujar Dato’ Ahmad Azam.

Beliau turut mengimbas kenangan kempen tayangan filem Malcolm X yang diperkenalkan kepada masyarakat Islam Malaysia oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1996.

Majlis diserikan dengan tayangan video pendek tentang Malcolm X serta bacaan dramatik oleh pelajar antarabangsa, Ochieng Dickens Omondi, yang memetik petikan daripada The Autobiography of Malcolm X.

Turut hadir, barisan kepimpinan tertinggi UNISEL termasuklah Prof. Dr. Sidin Ahmad Ishak dan Prof. Madya Dr. Hamdan Dato’ Hj Mohd Salleh.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi