Diterbitkan pada 29 April 2025, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Sebanyak 18 orang graduan Akademi Darul Ilmi berjaya menamatkan hafalan berserta syahadah 30 juzuk al-Quran dalam Majlis Konvokesyen al-Quran Akademi Darul Ilmi 2025 yang berlangsung di Dewan Utama Akademi Darul Ilmi, Sungai Layar Ujong.

Bersempena dengan majlis itu juga, sebanyak tiga orang pelajar menerima Anugerah Tokoh Akademi Darul Ilmi 2024, iaitu Muhammad Aniq Ukail Mohd Faizal bagi kategori Anugerah Ubai bin Ka’ab (al-Quran), Muhammad Ali Mohd Nor Afandi bagi kategori Anugerah Abu Bakar al-Siddiq (Sahsiah Terpuji) dan Ahmad Fahmi Muammar Mohd Hafiz bagi kategori Anugerah Abu Ubaidah al-Jarrah (Kepimpinan).

Perasmian dan penyampaian anugerah kepada para graduan dalam majlis konvokesyen tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengerusi Akademi Darul Ilmi, YBrs. Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayob berkata, kejayaan para graduan dalam majlis konvokesyen tersebut merupakan hasil kegigihan, daya usaha yang berterusan dan kesabaran yang tinggi.

Menurut beliau, objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada para pelajar dari seluruh negara, termasuklah Sabah dan Sarawak yang telah menamatkan hafalan al-Quran mereka.

Di samping itu, beliau menyifatkan kejayaan menghafal al-Quran selama dua tahun di sini akan menjadi suatu kenangan manis sepanjang hayat bagi setiap graduan.

“Selain berkebolehan menghafal al-Quran, pelajar di sini juga bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan komitmen untuk mendidik generasi muda berlandaskan nilai Islam selaras dengan moto Akademi Darul Ilmi dan visinya, iaitu melahirkan para dai yang profesional, berperibadi mulia, peduli ummah, serta pakar dalam disiplin ilmu syariah.

Barisan graduan dan pelajar Akademi Darul Ilmi yang hadir dalam Majlis Konvokesyen al-Quran Akademi Darul Ilmi 2025.

Yang turut hadir dalam majlis konvokesyen tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Yang Berhormat (YB) Dato’ Mohd Azam Abd Samad; Pegawai Daerah Kuala Muda, YBrs. Encik Azmin Zainol Abidin; dan Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, YBrs. Tuan Syeikh Ahmad Muzammil Yub.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi