Diterbitkan pada 25 April 2025, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Di situ terdapat tanda-tanda yang jelas (yang menunjukkan kemuliaannya) seperti Makam Ibrahim. Dan sesiapa yang memasukinya (Baitullah), dia akan berasa aman. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu (bagi) orang yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) daripada seluruh makhluk.”

(Surah Ali ‘Imran 3:97)

Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan. Pada 29 April 2025, bersamaan dengan 1 Zulkaedah 1446, bermulalah penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia menuju ke tanah suci.

Bersyukurlah bakal tetamu Allah yang terpilih menerima undangan Ilahi untuk mengerjakan rukun haji pada musim ini; semoga berjaya memperoleh haji mabrur. Malaysia menerusi usaha kerajaan dan khazanah pengalaman pengurusan Lembaga Urusan Tabung Haji, mendapat pengiktirafan sebagai pengurusan jemaah haji terbaik di dunia.

Pelaksanaan ibadah haji berbeza daripada ibadah lain kerana mempunyai syarat kemampuan (istita’ah). Kemampuan untuk melaksanakan ibadah haji bukan sekadar dari segi kewangan, bahkan kemampuan pelbagai sudut turut diambil kira, seperti mempunyai tubuh badan yang sihat, serta bekalan bagi tanggungan yang ditinggalkan hendaklah mencukupi sehingga dia kembali ke tanah air.

Untuk memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan penuh penghayatan, terdapat beberapa saranan persiapan rohani dan jasmani seperti yang berikut:

Pertama: Keikhlasan hati.

Berniat menunaikan ibadah haji dengan ikhlas semata-mata ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, di samping memelihara dan menjauhkan hati daripada sifat mazmumah seperti sifat riak ingin menunjuk-nunjuk, atau sifat ujub ingin mempamerkan kemuliaan diri sebagaimana firman Allah SWT:

 

 

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah 2:196)

Kedua: Bekalan ilmu yang mencukupi.

Sebelum berangkat ke tanah suci, aktiviti mengulang kaji serta mendalami ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam pelaksanaan haji amat penting, merangkumi rukun haji, perkara yang diwajibkan, perkara yang disunatkan, larangan dalam ihram dan sebagainya agar ibadah yang dilakukan diterima oleh Ilahi. Sentiasa merujuk dan bertanya kepada mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman berkaitan dengan haji.

Ketiga: Memohon keampunan.

Banyakkan bertaubat, memohon keampunan Allah SWT agar hati dibersihkan daripada segala dosa, di samping memohon kemaafan ahli keluarga, sahabat handai, rakan taulan, rakan sekerja dan jiran tetangga.

Keempat: Memperbanyak amal ibadah.

Membiasakan diri melakukan amalan sunat seperti solat sunat, membaca al-Quran, bersedekah, berzikir dan sebagainya bermula dari tanah air. Kesempatan dan ruang masa semasa berada di tanah suci seharusnya digunakan sebaik-baiknya oleh jemaah untuk melakukan sebanyak mungkin amal ibadah.

Kelima: Memelihara tutur kata dan tingkah laku.

Hendaklah sentiasa memelihara tutur kata dan tingkah laku sepanjang mengerjakan ibadah haji. Elakkan melakukan perkara dosa dan sia-sia untuk memperoleh ganjaran haji mabrur sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

 

 

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji tanpa disertai perkataan buruk dan tidak berbuat kefasikan (maksiat), maka dia kembali seperti saat dilahirkan ibunya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Selain persiapan rohani, jemaah haji juga dinasihatkan agar melakukan persiapan dari segi fizikal dan jasmani. Antaranya termasuklah:

Pertama: Penjagaan kesihatan.

Jemaah dinasihatkan agar menjaga kesihatan sebaik-baiknya. Membawa keperluan ubat-ubatan asas serta melakukan pemeriksaan kesihatan untuk memastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat.

Kedua: Latihan fizikal dan kecergasan.

Jemaah dinasihatkan melakukan latihan kecergasan seperti beriadah, bersenam dan berjalan kaki bagi meningkatkan ketahanan fizikal. Ibadah haji memerlukan pergerakan fizikal yang banyak. Sebagai contoh, untuk menyempurnakan tujuh pusingan tawaf, memerlukan masa antara 30 minit hingga satu jam; manakala untuk menyempurnakan sai, memerlukan jemaah berjalan hampir tiga kilometer. Sementara di Mina pula, jemaah perlu berjalan hampir tujuh kilometer pergi dan balik selama empat hari, bermula pada 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah. Latihan pergerakan fizikal yang berterusan boleh membantu menguatkan otot dan memastikan jemaah tidak mudah penat ketika melaksanakan ibadah.

Ketiga: Persediaan mental dan emosi.

Ibadah haji memerlukan kekuatan mental dan emosi kerana jemaah bakal menghadapi cabaran cuaca panas, keadaan khemah yang sempit, kesesakan jemaah dan keletihan. Kekalkan sikap berhemah serta saling membantu sesama jemaah. Banyakkan berdoa dan berzikir untuk menenangkan jiwa, serta memohon perlindungan dan kekuatan daripada Allah SWT. Setiap ujian yang dihadapi merupakan peluang untuk meningkatkan kesabaran dan keimanan.

Keempat: Persediaan kewangan yang mencukupi.

Menunaikan haji memerlukan pengurusan kewangan yang baik dari segi perbelanjaan untuk ahli keluarga yang ditinggalkan, begitu juga keperluan perbelanjaan ketika berada di tanah suci. Jauhi sikap boros ketika berbelanja. Jemaah dinasihatkan agar menyelesaikan segala hutang piutang yang perlu disegerakan, sebelum menunaikan haji.

Oleh itu, umat Islam diingatkan dengan beberapa kesimpulan berikut:

Pertama: Pelaksanaan ibadah haji menggabungkan amalan jasmani dan rohani. Jemaah perlu melakukan persiapan rapi untuk memenuhi dua amalan tersebut, di samping berdoa kepada Allah SWT agar urusan menyempurnakan rukun haji dipermudah.

Kedua: Umat Islam yang belum menunaikan ibadah haji, hendaklah secara ikhlas dan bersungguh-sungguh, berazam mahu melaksanakannya; disusuli dengan perancangan tabungan atau simpanan secara bijak lagi teratur. Bagi mereka yang belum mendaftar haji, boleh melakukannya secara dalam talian menerusi aplikasi THiJARI atau secara manual di kaunter Tabung Haji.

Ketiga: Hikmah pensyariatan ibadah haji hendaklah direnungi dan dihayati. Detik berkumpulnya umat Islam dari pelbagai penjuru dunia terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan budaya atas ikatan tauhid kepada Ilahi; hatta mendidik umat Islam untuk sentiasa mengutamakan perpaduan ummah serta mengukuhkan ukhuwah Islamiah.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 25 April 2025, bertajuk “Ibadah Haji: Persiapan Rohani – Jasmani”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi