Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJengka – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menganjurkan Kem Bina Sahsiah dan Cakna Solat Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang (KMKPh), Bandar Pusat Jengka.
Sebanyak 75 orang pelajar menyertai program yang berlangsung selama dua hari bermula pada 19 April 2025 tersebut – sebanyak 19 orang peserta merupakan pelajar dari Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh), manakala selebihnya dari KMKPh sebagai tuan rumah program.
Kem Bina Sahsiah dan Cakna Solat bertujuan untuk memupuk jati diri Muslim yang berdisiplin dan berakhlak mulia dalam kalangan pelajar.

Menurut Ustazah Rohimah Zakaria selaku pensyarah pengiring, program ini menjadi wadah muhasabah diri ke arah pembentukan insan yang seimbang dari semua aspek kehidupan.
“Peserta memperoleh peluang untuk bermuhasabah diri dan berusaha menjadi insan yang lebih baik dari semua aspek kehidupan,” ujarnya.
Antara pengisian utama termasuklah pengajaran kaedah solat yang betul, kepentingan bersuci serta aktiviti kerohanian seperti qiamullail dan tazkirah.
Peserta juga didedahkan kepada aktiviti berkumpulan dan riadah yang dapat mengajar nilai kerjasama, semangat berpasukan serta mempererat ukhuwah.
Sementara itu, pelajar KMPh, Izzatul Athilah binti Rizua Izam menyifatkan program ini memberikan keseimbangan sahsiah, ilmu agama, amal dan pembinaan komuniti serta mampu memantapkan keperibadian Muslim secara menyeluruh.
Perasmian penutup Kem Bina Sahsiah dan Cakna Solat Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 disempurnakan oleh Pengarah YADIM Pahang, Ustaz Alwi Muda. bersama Encik Shahrizal bin Mat, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM Malaysia.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA) YADIM Malaysia, Encik Shahrizal Mat dan Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMKPh, Cik Wan Nurdiana Abdul Rahman.