Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Jabatan Mufti Negeri Pahang menyeru agar rakyat di negeri ini menjaga amanah dan kemaslahatan ummah dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa negeri demi menjaga kelestarian negeri serta kedaulatan undang-undang dan syarak.
Jelas Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Yang Berbahagia (YBhg.) Prof. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, perkara ini selaras dengan junjungan titah Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berhubung dengan isu pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.
“Pencerobohan tanah sama ada melalui perlombongan haram, penerokaan tanah, perladangan ataupun pembinaan infrastruktur tanpa kebenaran bukan sahaja suatu pelanggaran undang-undang, bahkan satu bentuk kemungkaran, pengkhianatan amanah dan jenayah syarie yang membawa kepada kerosakan bumi serta penindasan terhadap rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pencerobohan tersebut tidak boleh menggunakan konsep Ihya al-Mawat kerana memberikan mudarat kehilangan tanah yang besar kepada kerajaan.
“Dalam konteks sekarang, rakyat wajib mendapatkan kelulusan permit daripada kerajaan kerana semua rakyat tertakluk pada undang-undang melalui Akta Kanun Tanah Negara 1965,” kata beliau.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Islam melarang keras perbuatan tersebut sepertimana sabda Rasullullah SAW dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka akan dikalungkan di lehernya tanah itu dari tujuh lapis bumi pada hari kiamat.”
Jelas beliau lagi, tindakan tersebut termasuk dalam kategori al-Ghasab, merampas hak orang lain secara zalim yang diharamkan oleh syarak serta mencabul prinsip Hifz al-Mal (penjagaan harta) dalam Maqasid al-Syariat dan mencabar peranan Ulil Amri dalam memelihara keadilan dan kemaslahatan ummah.
Jabatan Mufti Negeri Pahang menyeru agar pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, telus dan berintegriti, berpaksikan prinsip hisbah dan amar makruf nahi mungkar serta tindakan hendaklah dilakukan secara konsisten.
“Rakyat Pahang juga diseru agar mematuhi perintah KDPB Sultan Pahang dengan bekerjasama menyalurkan maklumat berkenaan sebarang pencerobohan yang berlaku,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau menyeru agar rakyat Pahang memahami bahawa tindakan membiarkan kerosakan di bumi membawa kepada bala dan azab sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 56 yang bermaksud, “Dan janganlah kalian membuat kerosakan di muka bumi setelah bumi diperbaik.”
Akhirnya, beliau turut menekankan bahawa Jabatan Mufti Negeri Pahang menyokong penuh segala usaha pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan dalam usaha menangani isu pencerobohan tanah demi memastikan bumi Pahang terus diberkati dan dilindungi daripada segala bentuk kemudaratan duniawi dan ukhrawi.