Diterbitkan pada 14 April 2025, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Amalan pulang ke kampung sudah menjadi tradisi orang Melayu sejak zaman-berzaman kerana Hari Raya Aidilfitri merupakan antara sambutan perayaan yang paling meriah di negara kita. Bagi keluarga besar, banyak perkara yang perlu diambil kira dan diperhalus agar sambutan yang berbentuk keagamaan ini tidak dicemari dengan perkara yang sepatutnya dielakkan.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang memperlihatkan budaya Melayu sebagai terasnya selain tuntutan agama Islam. Secara umumnya, hari raya membawa maksud hari kemenangan buat Islam yang berjaya menahan nafsu daripada perbuatan yang merugikan diri sendiri sepanjang Ramadan.

Dalam keghairahan kita menyambut Aidilfitri, kita perlu memahami erti sebenar sambutannya agar perayaan ini dapat diraikan dengan penuh bermakna di samping beroleh pahala. Antara perkara yang perlu kita beri perhatian termasuklah soal penjagaan aurat ahli keluarga apabila berkumpul beramai-ramai di kampung halaman.

Aurat diambil daripada perkataan Arab, “aurah” yang bererti keaiban. Menurut istilah fiqh pula, aurat bermaksud bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi daripada pandangan mata seseorang yang bukan mahram.

Cara berpakaian yang sempurna bagi wanita Muslim sebagaimana yang oleh dikehendaki oleh syarak boleh dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu dan perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab 33:59)

Berbanding dengan kaum lelaki, wanita mempunyai batasan aurat yang lebih banyak untuk dijaga daripada pandangan bukan mahramnya. Dalam hal ini, keputusan sesebuah keluarga untuk menginap di hotel atau inap desa bukanlah suatu kesalahan, khususnya keluarga yang ingin menjaga aurat wanita daripada bukan mahram.

Meskipun pilihan ini sering dipolemikkan saban tahun apabila sesetengah pihak menyifatkannnya sebagai tindakan kurang yang sopan dengan keluarga sendiri, namun hakikatnya keputusan tersebut bukanlah semata-mata demi keselesaan, tetapi demi menjaga syariat dan maruah.

Ibu bapa serta ahli keluarga seharusnya berlapang dada dan memahami bahawa pilihan ini merupakan sebahagian daripada usaha menyambut Aidilfitri dalam kerangka ibadah.

Walau bagaimanapun, jika rumah di kampung besar dan mempunyai banyak bilik yang membolehkan aurat lebih terjaga, sudah tentu lebih baik memilih untuk bermalam di rumah tersebut. Selain itu, jika mampu menyediakan bilik khas untuk kaum wanita agar mereka boleh berehat, tidur dan menukar pakaian tanpa memikirkan aurat mereka terdedah, sudah pastinya isu tinggal di hotel atau inap desa tidak akan timbul.

Bagi kaum lelaki pula, mereka boleh tidur di ruang tamu beramai-ramai memandangkan mereka tidak perlu menjaga aurat seperti kaum wanita. Sebenarnya, apabila pulang ke kampung beramai-ramai, sikap tolak ansur dan saling menghormati perlu diutamakan terutamanya dalam isu tempat tidur, penyediaan juadah raya dan sebagainya agar tidak timbul pertelingkahan.

Ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah keluarga besar, tidak dinafikan agak sukar bagi kaum wanita untuk memelihara aurat daripada ipar-duai mahupun lelaki bukan mahram terutamanya ketika sibuk di dapur. Antara situasi yang lazim berlaku termasuklah menyinsing lengan semasa membasuh pinggan atau tidak memakai stoking di lantai dapur yang basah.

Mengulas isu ini, Profesor Pengajian Islam dalam bidang Akidah dan Pemikiran dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof menjelaskan bahawa Imam al-Syafii berpandangan bahawa kaki wanita merupakan aurat, manakala pandangan Imam Abu Hanifah pula tidak mewajibkan penutupan kaki.

Beliau turut merujuk pandangan yang dinukilkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam karyanya, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, yang menyatakan bahawa kaki wanita sememangnya aurat dan wajib ditutup. Namun begitu, sekiranya terdapat keperluan harian seperti bekerja atau berada di tempat yang menyukarkan pemakaian stokin secara berterusan, maka pengecualian dibolehkan atas dasar rukhsah (keringanan). Walau bagaimanapun, kaum wanita perlu segera menutup aurat masing-masing sebagaimana asal apabila sudah menyelesaikan urusan tersebut.

Selain aurat, batas pergaulan sesama ahli keluarga merupakan antara perkara yang perlu dijaga ketika pulang beramai-ramai menyambut hari raya walaupun sesama ipar-duai. Antara tradisi dan budaya yang masih diamalkan semasa sambutan Aidilfitri di negara kita termasuklah bersalaman sesama ahli keluarga pada pagi hari raya sambil memohon kemaafan.

Bersalaman sesama Muslim sangat dianjurkan oleh agama sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidaklah ada dua orang Muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis riwayat Ahmad). Tambahan pula, bersalaman juga merupakan sebahagian daripada kesantunan kita terhadap ahli keluarga yang lebih berusia.

Pada hakikatnya, budaya ini tetap terikat dengan panduan yang digariskan oleh ajaran Islam, iaitu tidak bersalaman dengan orang yang bukan mahram. Walaupun kita mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan ahli keluarga, tetapi kita masih perlu menjaga batas tertentu termasuklah ketika bersalaman.

Seharusnya kita menghormati Hari Raya Aidilfitri sebagai suatu perayaan berbentuk keagamaan. Setiap tindak-tanduk kita semasa meraikannya juga perlulah berlandaskan syarak termasuklah apabila berkumpul beramai-ramai di kampung halaman. Jika setiap daripada kita memahami dan mengikut panduan syarak, nescaya sambutan Aidilfitri di kampung halaman akan lebih bererti dan beroleh rahmat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi