Diterbitkan pada 11 April 2025, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berhasrat untuk menggerakkan sebuah inisiatif baharu menjadikan Sungai Petani sebagai Bandar Ulul Albab berteraskan nilai ilmu, akhlak, kebajikan dan kelestarian.

Presiden MAPIM, YBrs. Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Sungai Petani berpotensi menjadi bandar yang maju, bukan sahaja dari segi fizikal dan ekonomi, tetapi cemerlang dari aspek spiritual, sosial dan intelektual.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pusat ilmu dan intelektual komuniti serta pusat pembelajaran masyarakat yang menganjurkan kelas pengajian ilmu Islam, kemahiran digital, keusahawanan dan pembangunan keluarga bakal dibina di bandar berkenaan kelak.

“Perbincangan mengenai usaha tersebut sedang dijalankan dengan pelbagai pihak,” ujar beliau ketika membentangkan kertas kerja “Ke Arah Membangun Bandar Sungai Petani sebagai Bandar Ulul Albab” dalam Persidangan Cambah Fikiran 2025 di Pejabat MAPIM, Baitul Ummah Jalan Penghulu Him semalam.

Tambah beliau lagi, platform seperti bengkel keusahawanan dan ekonomi sosial serta latihan keusahawanan islamik yang membangunkan sumber pendapatan keluarga dengan nilai beretika dan patuh syariah kepada ibu tunggal, belia dan suri rumah akan diberikan keutamaan”

Menurut beliau, semua pihak perlu serius bagi menjayakan tujuan berkenaan dan kehidupan penduduknya termasuk dalam bidang ekonomi yang akan bertambah baik apabila projek itu berhasil dilaksanakan.

“Kami yakin dengan usaha kolektif dan visi yang jelas bahawa Sungai Petani mampu muncul sebagai bandar contoh yang bukan sahaja membangun secara fizikal, tetapi memacu kemajuan insani yang mampan dan harmoni,” tegasnya.

Seorang peserta program tersebut, Ross Lina Mansor berkata, terdapat banyak perubahan yang bakal berlaku nanti jika penduduk Sungai Petani bersikap terbuka dan berdisiplin menjayakan Sungai Petani sebagai Bandar Ulul Albab.

“Saya berharap pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak menjadi panduan untuk mengangkat Sungai Petani sebagai sebuah bandar yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Persidangan Cambah Fikiran 2025 anjuran MAPIM membabitkan 30 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi