Diterbitkan pada 31 Mac 2025, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alhamdulillah, dengan ihsan Ilahi, pada hari ini kita dapat merayakan Aidilfitri, iaitu hari kemenangan setelah sebulan menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Aidilfitri memberi maksud “Hari Raya Fitrah” kerana hati berjaya disucikan daripada titik hitam akibat dosa, setelah kita berazam, bertekad dan berusaha menundukkan hawa nafsu dan menewaskan bisikan syaitan. Hari Raya Fitrah mengembalikan kita kepada fitrah sebagai hamba Allah yang taat kepada segala suruhan dan larangan-Nya selaras dengan firman Allah SWT dalam ayat 30 Surah al-Rum:

Maksudnya: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu), maka hadapkanlah wajahmu (kamu dan para pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan, iaitu agama yang mana Allah mencipta manusia (dengan keadaan bersedia secara tabii) untuk menerimanya. Tidak ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Ayat 30 Surah al-Rum tersebut menjelaskan bahawa Islam ialah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam agama yang lurus dan tidak membebankan. Islam agama yang membimbing manusia ke jalan yang benar dan selamat.

Bulan Ramadan merupakan ujian daripada Allah SWT melalui perintah menahan diri daripada makan dan minum serta hubungan kelamin suami isteri pada siang hari; perintah yang seolah-olah berlawanan dengan fitrah kebiasaan manusia. Apakah perintah berpuasa menunjukkan ajaran Islam berlawanan dengan fitrah manusia? Tentulah jawabnya tidak.

Perintah sebulan berpuasa merupakan ujian Ilahi kepada hamba-Nya untuk melihat siapa yang taat dan siapa yang ingkar. Ibrah peristiwa awal ciptaan Nabi Adam a.s. boleh direnungi apabila Allah SWT mengarahkan para malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam a.s. Para malaikat yang taat terus sujud manakala Iblis yang takbur enggan menurut perintah tersebut. Perintah ini tidak lain sebagai ujian ketaatan kepada makhluk-Nya. Jika difikirkan secara munasabah, tentulah tindakan iblis mempunyai alasan tersendiri, namun fitrah sebenar sebagai makhluk ialah mentaati perintah Allah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara hanya Allah SWT yang mengetahui hakikat sebenarnya.

Puasa ialah perintah supaya manusia kembali kepada fitrah sebagai hamba yang taat kepada Allah SWT; sentiasa berasa dirinya diawasi ketika bersendirian mahupun ketika dikelilingi ramai orang. Pengukuhan rasa sentiasa diawasi ini amat penting sebagai pengawal dalaman yang paling berkesan, meneguhkan diri melakukan ketaatan dan kebaikan, serta menghindarkan diri daripada melakukan maksiat dan kezaliman.

Hal ini bersesuaian dengan konsep ihsan berpandukan sabda Nabi Muhammad SAW:

الإِحْسَانُ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Maksudnya: “Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak mampu (berasakan demikian), maka yakinlah bahawa Dia melihatmu.” (Hadis riwayat Muslim).

Kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada ajaran Islam sebenar. Islam agama fitrah yang mengajar keseimbangan antara dunia dengan akhirat. Islam mengajar keseimbangan antara kewajipan melaksanakan ibadah kepada Allah dengan kewajipan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sesama makhluk lain. Hubungan puasa dan zakat fitrah merupakan petunjuk jelas bahawa tidak sempurna ibadah hamba kepada Allah SWT melainkan setelah kita melunaskan tanggungjawab sesama manusia.

Kembali kepada fitrah juga bermaksud menjadikan syariat Islam sebagai panduan dalam seluruh kehidupan. Islam agama yang meraikan keperluan kehidupan manusia dengan kesederhanaan. Islam bukanlah agama rahib yang melarang umatnya bergembira, berpakaian cantik, menikmati makanan lazat dan berkahwin. Islam membenarkan keinginan syahwat berpandukan peraturan syariat. Syariat bukan bertujuan untuk membebankan, malahan menjadi panduan yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Kembali kepada fitrah turut bermaksud kembali kepada hati yang suci, bersih daripada dosa dan noda, serta gigih untuk menerima hidayah dan taufik daripada Allah SWT, sekali gus memiliki daya tahan untuk menundukkan godaan nafsu, juga menewaskan tipu muslihat syaitan. Hati yang bersih akan mudah beribadat kepada Allah, berbuat baik sesama manusia, serta meninggalkan maksiat.

Hati yang bersih akan mengembalikan fitrah manusiawi, bagaikan waktu seorang anak yang baru dilahirkan. Nabi Muhammad SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، حَتَّى يُعْرِبَ عَنْهُ لِسَانُهُ

 فَإِذَا أَعْرَبَ عَنْهُ لِسَانُهُ، إِمَّا شَاكِرًا، وَإِمَّا كَفُورًا

Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga dia mampu untuk menjelaskannya dengan lisannya. Apabila dia menjelaskannya dengan lisannya, maka sama ada dia menjadi orang yang bersyukur (Muslim) atau orang kafir.” (Hadis riwayat Ahmad)

Aidilfitri hari kemenangan; hari kegembiraan kembali kepada fitrah. Sambutlah kemenangan dan kegembiraan dengan penuh kesyukuran, dengan laungan takbir membesarkan Allah, dengan laungan tahmid memuji-Nya, serta kalimah istighfar menginsafi segala dosa dan noda. Rugilah kalangan hamba-Nya yang mensia-siakan peluang mendapat kemenangan kerana terus lalai dan leka, ketika orang beriman sedang merebut peluang untuk mendapatkan rahmat dan keampunan Ilahi.

Bertekadlah untuk mengekalkan amal kebaikan yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan, berkunjung ke masjid, bersolat jemaah, bersedekah, membaca dan menjadikan al-Quran teman akrab. Kekalkan akhlak terpuji, tautkan kembali hubungan silaturahim yang terputus, bermaafan tanpa berasa putus asa. Jangan berhenti melakukan amal jariah setelah berakhirnya Ramadan, sebaliknya pertingkatkan azam untuk menjadi hamba Allah yang taat hingga sampai saat kematian.

Bersungguh-sungguhlah berdoa agar Allah SWT menerima segala ibadah kita sepanjang Ramadan, mengampuni dosa-dosa kita, dan mengurniai kita istiqamah dalam usaha melakukan kebaikan. Semoga Aidilfitri menjadi titik permulaan bagi kita untuk kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah yang bertakwa.


Disesuaikan daripada teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri, 1 Syawal 1446H, bertajuk “Aidilfitri: Menjernihkan Hati – Mengembalikan Fitrah”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi