Diterbitkan pada 29 Mac 2025, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan Ramadan terkandung berbagai-bagai kemuliaan dan rahmat daripada Allah SWT, antaranya termasuklah terdapat lailatulqadar yang lebih baik baik daripada seribu bulan, dihapuskan segala dosa manusia dengan kehadiran Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka.

Begitu hebat kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan sehinggakan bulan ini merupakan waktu yang cukup berharga untuk seseorang hamba menghapuskan dosa-dosanya yang terdahulu. Perkara ini terdapat dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Tirmidzi yang bermaksud, “Solat lima waktu, dari hari Jumaat ke Jumaat (berikutnya) dan Ramadan ke Ramadan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) antara tempoh tersebut apabila menjauhi dosa-dosa besar.”

Oleh itu, para ulama menyatakan bahawa dosa kecil sudah tentu dihapuskan melalui kedatangan Ramadan. Cumanya, bagi dosa besar pula, seseorang hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha serta melaksanakan ibadah puasa kerana hal tersebut menjadi pelengkap dan lebih kuat untuk penghapusan dosa.

Syeikh Abd al-Aziz al-Tarifi mengatakan bahawa terdapat tiga perkara pada Ramadan, jika dilakukan oleh seseorang manusia, nescaya Allah SWT akan mengkifarahkan dosa-dosanya dengan satu daripadanya, aitu puasa, qiyam (mendirikan ibadah) pada malam Ramadan dan qiyam pada malam al-qadar.

Hampir sebulan kita berpuasa dan menahan lapar dan dahaga, amatlah rugi sekiranya kita kembali melakukan dosa dan maksiat setelah berlalunya Ramadan nanti. Seharusnya madrasah Ramadan yang telah dilalui dengan jayanya dengan pelbagai amal ibadah meninggalkan kesan mendalam kepada hamba Allah SWT yang akan memanfaatkannya dengan ibadah dan amalan soleh.

Fitrah yang Sebenar
Pengertian Aidilfitri yang sebenar bermaksud Hari Raya Fitrah, iaitu merupakan hari raya bagi menterjemahkan kesucian manusia setelah gugurnya segala dosa mereka. Aidilfitri juga dapat diertikan sebagai hari kembalinya kesucian kepada para manusia yang ingin kembali kepada fitrah mentauhidkan Allah SWT dengan sebenar-benarnya.

Kembalinya fitrah tidak hanya mampu diterjemahkan dengan kata-kata, namun haruslah diselarikan dengan amalan yang mulia bersesuaian dengan pengertian fitrah itu sendiri.

 

Sejarah Sambutan Hari Raya
Sebelum ajaran Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Makkah, masyarakat Arab jahiliyah memiliki dua hari raya yang dikenali sebagai perayaan Nairuz dan Mahrajan. Kedua-dua hari perayaan ini merupakan tradisi turun-temurun yang berasal dari zaman Persia Kuno.

Pada kebiasaannya, rata-rata masyarakat Arab jahiliyah menyambut perayaan tersebut dengan pelbagai bentuk hiburan seperti tarian, iaitu tarian perang dan ketangkasan, selain menyanyi di samping dijamu dengan pelbagai juadah yang lazat dan enak serta minuman yang memabukkan.

Namun demikian, setelah turunnya kewajipan untuk menunaikan ibadah puasa Ramadan pada tahun kedua Hijrah, Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengganti kedua-dua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Nasa’i).

Berdasarkan catatan sirah, sambutan Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan oleh umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Dalam pertempuran yang begitu dahsyat, umat Islam meraih kemenangan walaupun jumlah mereka hanya sedikit jika dibandingkan dengan bilangan tentera kafir Quraisy. Bermula pada tahun tersebut, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan, iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menewaskan hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

Begitu hebatnya Baginda dan para sahabat. Dalam keadaan berpuasa, mereka mampu mengatur pelbagai strategi dan berusaha sebaik-baik mungkin untuk mencapai kemenangan dalam peperangan.

 

Muhasabah buat Kita
Adakah salah untuk kita berhibur pada hari raya? Pastinya Islam sama sekali tidak menghalang kita untuk berhibur selagi tidak membawa kepada unsur maksiat dan melalaikan. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, Sayidatina Aisyah r.a. menyatakan, “Orang Habsyah bermain di sisi Nabi Muhammad SAW ketika hari raya, maka aku pun muncul dari atas bahunya dan melihat mereka sedang bermain sehingga aku berasa puas dan kemudian beredar (dari situ).”

Ketika meraikan hari raya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ini supaya golongan Yahudi mengetahui bahawa agama kita ada kelulusan (keringanan) dan sesungguhnya aku diutuskan dengan penuh toleransi dan keringanan.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Begitu indahnya didikan Rasulullah SAW kepada umatnya yang meraikan kegembiraan setelah kita berjuang hampir sebulan dalam menjalani tarbiah pada bulan Ramadan.

Jangan sesekali kita menodai bekalan takwa dengan pakaian yang mencolok mata, berhibur dengan hiburan yang melampau sehingga tiada batasan antara lelaki dengan wanita, meninggalkan kewajipan seperti solat fardu serta melakukan perkara yang bertentangan dengan didikan yang telah diajarkan oleh Baginda.

Jadikan Syawal yang diraikan ini sebagai waktu untuk kita mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah SWT sebagai bulan kemenangan dan melakukan pelbagai amalan yang terpuji seperti berpuasa selama enam hari, ziarah-menziarahi terutamanya ahli keluarga dan sahabat handai serta bermaafan sesama kita.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi