Diterbitkan pada 26 Jun 2026, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Asyura mengandungi pengajaran dan hikmah, mengingatkan umat Islam bahawa kebenaran pasti mengatasi kebatilan, keadilan pasti mengatasi kezaliman, dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang bertakwa.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan semua kisah para rasul yang Kami ceritakan kepadamu itu
(wahai Muhammad) ialah kisah yang dapat meneguhkan hatimu kerana pada
kisah-kisah itu ada kebenaran, pelajaran dan peringatan bagimu dan bagi orang yang beriman.” (Surah Hud 11:120).

Hari Asyura jatuh pada tanggal 10 Muharam setiap tahun dalam kalendar Islam. Perkataan Asyura berasal daripada bahasa Arab, asyara yang bermaksud sepuluh. Asyura merupakan hari bersejarah yang sangat mulia dan digalakkan untuk umat Islam melakukan ibadah sunat, terutamanya puasa.

Merujuk hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas r.a., beliau berkata,

Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, didapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Baginda berkata kepada mereka yang bermaksud, ‘Mengapakah kamu berpuasa pada hari ini?’ Mereka menjawab, ‘Hari ini ialah hari yang mulia kerana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya, serta menenggelamkan Firaun dan kaumnya; lalu Nabi Musa a.s. berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Disebabkan hal itu, kami pun turut berpuasa.’ Nabi SAW bersabda, ‘Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa daripada kalian.’ Maka itu, Rasulullah SAW berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2004; dan Muslim, no. 1130)

Puasa hari Asyura dan sehari sebelum atau selepasnya diharapkan oleh Nabi Muhammad SAW mendapat ganjaran keampunan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim, no. 1162).

Kisah Nabi Musa a.s. dan Firaun
Nabi Musa a.s. diutus oleh Allah SWT untuk menyeru Firaun supaya mentauhidkan Allah SWT dan meninggalkan kekufuran. Namun begitu, dakwah baginda ditolak dengan penuh kesombongan. Firaun bukan sahaja mengancam untuk membunuh Nabi Musa a.s., malah berusaha menghapuskan para pengikut Baginda.

Kemuncak peristiwa tersebut berlaku apabila Nabi Musa a.s. bersama-sama dengan kaumnya dikejar oleh Firaun sehingga mereka tiba di tepi laut. Pada ketika itu, Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya dengan membelah laut sehingga Nabi Musa a.s. dan pengikutnya berjaya menyeberang, manakala Firaun bersama-sama dengan tenteranya ditenggelamkan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

Maka ketika kedua-dua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: ‘Sesungguhnya kita benar-benar akan dapat ditangkap.’ Musa menjawab: ‘Tidak sekali-kali! Sesungguhnya Tuhanku bersama-samaku, Dia akan memberikan petunjuk kepadaku.’ Lalu Kami wahyukan kepada Musa: ‘Pukullah laut itu dengan tongkatmu.’ Maka terbelahlah laut itu, lalu setiap belahan menjadi seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain ke situ. Dan Kami selamatkan Musa serta orang yang bersama-sama dengannya semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain.

(Surah al-Syu‘ara’ 26:61–66)

Pengajaran daripada Kisah Nabi Musa a.s.
Terdapat beberapa pengajaran daripada kisah Nabi Musa a.s. seperti yang berikut:

  • Pertama: Kebenaran pasti menang walau kelihatan lemah.

Nabi Musa a.s. diikuti oleh jumlah pengikut yang sedikit, sedangkan Firaun mempunyai kekuatan senjata dan kekuatan tentera yang besar. Namun begitu, pada akhirnya kemenangan tidak berpihak kepada jumlah yang besar, tetapi diperoleh melalui pertolongan Allah SWT. Oleh itu, yakinlah bahawa Allah SWT bersama-sama dengan pihak yang benar.

  • Kedua: Kesombongan membawa kebinasaan.

Firaun memiliki kekayaan, kuasa dan pengaruh, tetapi semuanya tidak berupaya menyelamatkannya daripada azab Allah SWT. Allah SWT murka kepada makhluk yang sombong. Iblis pernah mengungkapkan, “Aku lebih baik daripada Adam.” Namrud pernah mengungkapkan, “Aku juga berkuasa menghidup dan mematikan.” Firaun pula mengungkapkan, “Akulah tuhan yang maha tinggi.”

Sejarah membuktikan bahawa setiap kesombongan berakhir dengan kehancuran, manakala kerendahan hati menjadi asbab kemuliaan di sisi Allah SWT.

  • Ketiga: Perintah memukul laut dengan tongkat sebagai lambang ikhtiar.

Apakah hikmah Allah SWT memerintah Nabi Musa a.s. memukul laut, sedangkan Allah SWT berkuasa menurunkan bantuan pada bila-bila masa sahaja? Setelah perintah dilakukan, dengan izin Ilahi, laut terbelah sehingga membolehkan kaumnya menyeberangi Laut Merah untuk menyelamatkan diri.

Ayat 63 Surah Asy-Syu‘ara’ mengisyaratkan bahawa dalam setiap urusan kehidupan, Allah SWT menilai usaha yang dilakukan. Islam mendidik umatnya supaya berusaha bersungguh-sungguh dan tidak hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa. Oleh itu, umat Islam hendaklah menjadi umat yang rajin berusaha, menghargai masa, serta memanfaatkan setiap peluang untuk melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

  • Keempat: Setelah berusaha dan berdoa, mukmin wajib bertawakal kepada Allah SWT.

Ketika pengikut Nabi Musa a.s. berasa takut seolah-olah mereka akan tertangkap oleh Firaun yang semakin hampir, baginda mengajar pengikutnya untuk meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT dengan menjawab:

“Sesungguhnya Tuhanku sentiasa bersama-sama denganku. (Dengan pemeliharaan dan pertolongan-Nya) Dia akan memberikan petunjuk kepadaku.” (Surah al-Syu‘ara’ 26:62).

Dalam apa-apa juga urusan kehidupan atau ketika menempuhi cabaran, kita hendaklah mempersiapkan jiwa dengan ketakwaan, kemudian menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT dengan keyakinan yang teguh terhadap kekuasaan dan pertolongan-Nya.

Sebagai rumusan, terdapat tiga kesimpulan utama seperti yang berikut:

  1. Kesungguhan dan ketabahan para rasul melaksanakan amanah Allah SWT merupakan punca kekuatan umat Islam. Kisah perjuangan mereka hendaklah dijadikan pedoman agar kita terus istiqamah dalam keimanan, memperbanyak amal soleh, serta berusaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  2. Sifat sombong, angkuh dan bangga diri telah menghancurkan banyak pemerintah, hartawan dan golongan berpengaruh, yang berakhir dengan kehinaan dan penyesalan.
  3. Kejayaan sebenar menuntut gabungan antara ikhtiar yang bersungguh-sungguh, doa yang berterusan, dan tawakal sepenuh hati kepada Allah SWT.

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 26 Jun 2026, bertajuk “Asyura: Ibrah Kemenangan Nabi Musa a.s. dan Kebinasaan Firaun”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi