Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKelana Jaya – Sebanyak 20 orang mualaf menyertai Program Mengukir Senyuman Ramadan anjuran Persatuan Legasi Gemilang Malaysia di kediaman pengerusi persatuan itu, di sini pada Sabtu.
Pengerusi persatuan, Puan Zalilawati Osman berkata, program ini diadakan bagi mendekati golongan mualaf dengan memberikan sokongan moral dan emosi kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai seorang Muslim.
“Program ini juga menjadi platform untuk berkongsi rezeki melalui penyediaan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.
Pada masa yang sama, program ini turut membantu masyarakat untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan mualaf serta memberikan bimbingan dan bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang program berlangsung, mualaf mengikuti pelbagai aktiviti termasuk solat fardu dan solat tarawih berjemaah, sesi tazkirah, majlis berbuka puasa dan moreh.
Menurut Puan Zalilawati, program ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu dari segi kebajikan, tetapi juga sebagai usaha untuk membina ukhuwah dan perpaduan dalam masyarakat.
“Kami percaya bahawa Ramadan ialah bulan untuk berkongsi kasih sayang dan rezeki, serta menjadi platform bagi kita semua untuk memahami dan menyantuni golongan mualaf serta mereka yang memerlukan.
“Dengan kehadiran para sukarelawan serta penyertaan aktif masyarakat setempat dan kenalan, Program Mengukir Senyuman Ramadan diharapkan dapat membawa impak positif serta meneruskan legasi kebaikan dalam bulan penuh keberkatan ini,” tambahnya.
Antara penyumbang utama program ini termasuklah Yayasan Al-Manjie, Yayasan Food Bank Malaysia, Yayasan Taqwa dan Syarikat Faiza, serta individu dan organisasi lain yang turut menyumbang dalam pelbagai bentuk.