Diterbitkan pada 22 Mac 2025, 22:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ahlan wa sahlan ya Ramadan! Bulan penuh keberkatan ini bukan sekadar masa untuk berpuasa, tetapi juga peluang untuk meningkatkan ibadah dan memperkukuh ukhuwah. Dalam kemeriahan Ramadan, bazar dan bufet berbuka sering menjadi tarikan utama masyarakat. Namun begitu, adakah kita pernah terfikir bahawa salah satu amalan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam ialah berbuka puasa di masjid dan surau. Bagi yang belum pernah berbuka puasa di surau dan masjid, inilah masanya untuk merasai sendiri keistimewaannya dari segi spiritual dan emosi, iaitu antaranya termasuklah:

 

  1. Dapat Menyuburkan Rohani dan Menjalinkan Ukhuwah

Berbuka di masjid atau surau bukan hanya tentang menikmati makanan percuma, tetapi juga membina persaudaraan yang lebih erat. Menikmati juadah berbuka bersama-sama kariah masjid dan surau memberikan pengalaman yang menarik bagi setiap individu. Bayangkan dalam satu majlis iftar terdapat pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar, pekerja asing, belia, warga emas dan kanak-kanak yang semuanya berkumpul dalam suasana yang harmoni dan selesa dengan tujuan untuk sama-sama menikmati rezeki yang tersedia. Selain mendapat pahala daripada berpuasa dan berbuka, hal tersebut juga secara tidak langsung dapat memberikan pelbagai manfaat sama ada dari aspek sosial, spiritual mahupun emosi. Bagi perantau yang jauh dari ahli keluarga pula, majlis iftar sebegini memberikan peluang untuk bersilaturahim dengan komuniti setempat.

 

 

  1. Dapat Berkongsi Rezeki dan Mengikut Sunah Rasulullah SAW

Bukan rahsia lagi bahawa menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa membawa pahala yang besar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang tersebut.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Baihaqi). Hadis ini membuktikan bahawa berbuka puasa di masjid atau surau bukan sahaja memberikan manfaat kepada individu, tetapi juga memberikan ganjaran besar kepada mereka yang menyediakan juadah berbuka.

Inilah keindahan iftar di masjid dan surau. Suasana tersebut telah membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk bersedekah dan berkongsi rezeki. Di beberapa masjid dan surau, juadah berbuka disediakan hasil sumbangan orang ramai. Konsep “Ramadan Karim” yang bermaksud pemurah benar-benar dapat diterapkan di sini! Berbuka puasa bersama-sama dalam persekitaran masjid atau surau menjadikan kita lebih bersyukur dan menghayati nikmat rezeki yang diberikan.

 

  1. Memudahkan Solat Berjemaah

Kelebihan lain berbuka di masjid dan surau adalah dengan tersedianya kemudahan untuk menunaikan solat  maghrib, isyak dan tarawih. Berbeza daripada berbuka di rumah atau restoran, kita mungkin menjadi terlalu selesa atau sibuk dengan makanan yang terhidang, tetapi dengan berbuka di masjid atau surau dapat memastikan kita tidak terlepas peluang untuk beribadah secara berjemaah. Hal ini juga membantu kita lebih fokus kepada aspek spiritual Ramadan, bukan sekadar soal makanan. Berada dalam suasana ibadah secara berterusan dapat membantu meningkatkan konsistensi ketika beramal. Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan rahmat, dan berbuka di masjid memberikan peluang kepada seseorang untuk memanfaatkan setiap detik dengan sebaiknya.

 

  1. Pengalaman Unik, Menghargai esederhanaan dan Ketenangan

Berbuka di masjid menawarkan pengalaman yang unik, terutama kepadanya mereka yang belum pernah merasainya. Tidak seperti bufet Ramadan di hotel yang mewah, suasana di masjid lebih sederhana tetapi penuh keberkatan. Suasana tersebut mengajar kita untuk lebih menghargai nikmat yang ada dan mengelakkan pembaziran yang sering berlaku akibat daripada terlalu banyak pilihan makanan di hadapan kita. Kemeriahan gerai jualan sepanjang bulan Ramadhan telah memberikan lonjakan kepada cara masyarakat berbelanja sehingga berlakunya pembaziran. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud, “Manusia hanya memiliki tiga perkara yang benar-benar bermanfaat: makanan yang dimakan secukupnya, pakaian yang dipakai dan harta yang disedekahkan kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim). Selain itu, terdapat juga masjid yang mengadakan tazkirah ringkas sebelum berbuka. Hal ini turut memberikan peluang kepada jemaah untuk memperoleh ilmu agama sambil menunggu waktu berbuka. Dengan mendengar nasihat dan peringatan, jiwa menjadi lebih tenang dan hati lebih terbuka untuk mendekati Allah SWT.

 

  1. Membantu Surau dan Masjid Melalui Sumbangan

Setiap kali menyumbang kepada majlis iftar di masjid dan surau, kita bukan sahaja membantu menyediakan makanan kepada orang yang memerlukan, tetapi juga membantu meringankan beban kewangan pihak masjid dan surau.

Tidak semua orang berkemampuan untuk menyediakan hidangan berbuka yang lengkap pada setiap hari. Masjid dan surau sering menjadi tempat tumpuan bagi golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan berbuka secara percuma. Dengan berbuka di masjid atau surau, seseorang itu bukan sahaja dapat menikmati suasana Ramadan yang sebenar, tetapi mereka juga dapat membantu menyokong usaha murni dalam penyediaan makanan kepada orang yang kurang bernasib baik. Bagi mereka yang berkemampuan, menyumbang makanan untuk berbuka puasa di masjid merupakan suatu cara untuk bersedekah dan berkongsi rezeki. Amalan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima, tetapi juga menambahkan keberkatan dalam hidup pemberi.

Secara keseluruhannya, jika anda belum pernah merasai suasana berbuka puasa di masjid atau surau, tahun ini adalah masa yang terbaik untuk mencubanya dan merasainya. Anda bukan sahaja akan menikmati juadah yang pelbagai, tetapi juga merasai kehangatan ukhuwah, mendapatkan pahala berlipat ganda dan lebih fokus dalam ibadah. Ramadan hanya datang setahun sekali, maka manfaatkan setiap detiknya untuk menjadi lebih dekat dengan Allah SWT dan komuniti setempat. Semoga Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna dengan memperbanyak amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan mengukuhkan persaudaraan sesama Muslim.

“Ramadan bukan hanya menahan perut, tetapi mengisi hati dengan kebaikan.” 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi