Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Sahibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil Haji Awang merasmikan Pondok Warga Emas Darul Hidayah di Kampung Sungai Mati, Mukim Lepai, Kota Setar, baru-baru ini.
Sebanyak RM664,440.00 dana zakat telah diperuntukkan untuk pembinaan sebanyak 15 unit pondok yang mampu menempatkan sebanyak 30 penghuni.
Projek ini ialah hasil kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan pelbagai pihak bagi menyediakan tempat tinggal yang selesa dan kondusif kepada golongan tersebut, dan menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha membela kebajikan warga emas yang memerlukan.
Sahibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK menegaskan, perasmian ini bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, tetapi juga memastikan kesejahteraan dan kebajikan penghuni terus terpelihara.
“Di samping itu, sebanyak RM296,900.00 Agihan Pengurusan Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah turut diserahkan dalam majlis ini,” katanya.
Mudir Pondok Darul Hidayah Alor Setar, Haji Johari Morad, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan usaha dalam menjayakan projek ini.
Beliau berharap agar pondok ini menjadi tempat yang membawa ketenangan, kebahagiaan, dan keberkatan kepada para penghuni serta masyarakat sekitar.
Beliau juga mengharapkan Pondok Warga Emas Darul Hidayah dapat menjadi model kepada projek kebajikan serupa pada masa hadapan bagi memastikan lebih banyak golongan yang memerlukan mendapat perlindungan yang sempurna.