Diterbitkan pada 19 Mac 2025, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramadan ialah masa terbaik untuk mengeratkan kemesraan dalam keluarga. Sebelum ini, mungkin sebahagian daripada kita sibuk dengan tugasan harian sehingga tiada masa untuk makan bersama-sama keluarga. Namun begitu, Ramadan mengajar kita untuk meluangkan masa berbuka dan bersahur bersama-sama, seterusnya menghidupkan kembali kehangatan kasih sayang dalam keluarga.

Sepanjang Ramadan, kebanyakan majikan membenarkan pekerja pulang lebih awal daripada kebiasaan. Begitu juga bagi murid sekolah sesi petang. Ketetapan ini memberikan peluang kepada isteri untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk seisi keluarga dan pada masa yang sama, anak juga dapat dilatih untuk memasak dan mengemas dapur.

Kemesraan suami isteri dapat terjalin ketika mereka berbuka puasa bersama-sama di samping anak dalam bulan Ramadan. Ini ialah anugerah daripada Allah SWT kepada orang yang berpuasa sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperoleh dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua, kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Hujung minggu pula boleh dimanfaatkan untuk pulang ke kampung halaman. Berbuka puasa bersama-sama ibu bapa di kampung merupakan detik indah yang akan dikenang sepanjang hajat. Kepulangan anak sangat dinanti-nantikan oleh ibu bapa. Kesunyian sebelum ini akan terubat dengan suasana riuh-rendah anak cucu ketika berbuka puasa. Pelbagai cerita akan dikongsi semasa menjamu selera setelah seharian menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Anak kecil yang baru belajar untuk berpuasa akan begitu teruja apabila hampir masuk waktu buka puasa. Jika berkunjung ke bazar Ramadan, pelbagai jenis makanan dan minuman ingin dibeli oleh mereka. Ketika ini, ibu bapa boleh berperanan menekankan sifat berhemah dan tidak membazir serta mengingatkan mereka tentang objektif pensyariatan puasa, iaitu melahirkan individu yang bertakwa.

Begitu juga semasa di meja makan, bapa boleh menggunakan masa ini untuk mendidik anak tentang adab makan. Sunah ketika makan boleh diterapkan seperti makan menggunakan tangan kanan, membaca basmalah sebelum makan dan mengambil makanan yang paling hampir. Ajarkan mereka agar tidak gelojoh ketika makan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Wahai anakku, makanlah dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa-apa yang dekat dengan kamu.

(Hadis riwayat al-Bukhari).

Kemeriahan Ramadan terasa apabila semua ahli keluarga bangun awal pagi untuk bersahur. Ibu menyediakan juadah untuk bersahur dan bapa pula mengejutkan anak untuk bangun bersahur. Institusi kekeluargaan bertambah erat apabila mereka makan bersama-sama demi meraih keberkatan yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bersahurlah kamu. Sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ibu bapa bersama-sama anak juga dapat mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan. Kaum wanita khususnya ibu juga tidak mahu ketinggalan menghidupkan malam Ramadan dengan solat sunat tarawih di masjid atau surau. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Walaupun wanita lebih afdal menunaikan solat di rumah, namun mereka tidak ditegah daripada pergi ke masjid dan surau dengan syarat menutup aurat dengan sempurna dan tidak berwangi-wangi sehingga menimbulkan fitnah. Kemesraan sesama keluarga kian terserlah apabila mereka pergi ke masjid dan surau bersama-sama dan pulang ke rumah setelah selesai solat sunat tarawih dan witir. Masa dalam kereta boleh digunakan untuk berbual-bual sesama ahli keluarga.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW ialah manusia yang paling pemurah, khususnya pada bulan Ramadan. Sifat pemurah Baginda semakin terserlah apabila malaikat Jibril a.s. menemuinya pada setiap malam untuk bertadarus al-Quran. Hadis ini menggambarkan betapa Rasulullah SAW berlumba-lumba melakukan kebaikan, memberikan bantuan dan sedekah dengan penuh keikhlasan, bahkan kemurahan hati Baginda diibaratkan lebih cepat daripada tiupan angin. Sehubungan dengan itu, pembinaan rumah tangga yang harmoni dapat direalisasikan dengan menghidupkan sunah seperti amalan bersedekah dan bertadarus al-Quran bersama-sama sepanjang Ramadan.

Ketibaan Ramadan pada kali ini perlu direbut untuk meraih keredaan Allah SWT. Semoga rahmat Allah melimpahkan keberkatan dalam keluarga setiap Muslim sekali gus terbinanya rumah tangga yang penuh dengan rahmat, kasih sayang dan ketenangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi