Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Nama Malaysia kembali bersinar di pentas antarabangsa apabila dua orang wakil dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) terpilih menjadi Imam Global MTNP ke Australia sepanjang bulan Ramadan.
Bermula dari 6 Mac 2025 hingga 4 April 2025, Ustaz Muhammad Hafidzul Khairy bin Ahmad Hafidz, alumni MTNP dan Ustaz Aidil Fahim bin Mohamad Fozi, guru al-Quran MTNP bertanggungjawab membawa misi dakwah dan memperkukuh jaringan Islam di peringkat antarabangsa.
Mereka bakal menggalas tanggungjawab besar sebagai imam di masjid-masjid utama di Australia, khususnya di Cobram dan kawasan sekitarnya, dengan memimpin solat dan menyertai pelbagai aktiviti keagamaan, termasuklah ceramah dan sesi interaksi dengan masyarakat Muslim setempat bagi mengukuhkan lagi ukhuwah antara komuniti Islam di sana.
Sebelum berlepas ke Australia, kedua-dua imam ini diraikan dalam satu majlis ringkas yang bermakna di Kompleks Yayasan Pahang. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Yang Hormat Dato’ Indera Mahmud bin Mohd Nawawi sudi berpesan:
“Harus sentiasa ingat, bukan sekadar membawa ilmu al-Quran ke luar negara, tetapi juga membawa nama baik Pahang dan Malaysia. Berikan khidmat yang terbaik, sebarkan keindahan Islam, dan pulanglah dengan pengalaman yang berharga untuk dikongsi bersama.”

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tahfiz Pahang Sdn. Bhd., Tuan Haji Mohd Lafzul bin Muda Al-Hafiz dan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Ustaz Haji Ab Razak bin Ab Musa Saari.
Program Imam Global MTNP ini merupakan kesinambungan daripada lawatan kerja Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Pahang ke Australia pada awal Februari lalu. Lawatan kerja tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dengan Cobram Islamic Association, Australia.
Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan tentang ajaran dan amalan Islam di peringkat antarabangsa, malah turut mengangkat martabat agama, sekali gus membuka peluang kepada para huffaz untuk membina jaringan keilmuan dan dakwah islamiah secara global.
Selain itu, program ini juga menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang tahfiz dan dakwah islamiah. Kejayaan mereka di bumi Australia menjadi bukti bahawa Islam ialah agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan ummah di seluruh dunia.
Dengan doa dan harapan yang menggunung, diharap misi Imam Global MTNP ini dapat membawa impak yang besar dalam memperkukuh hubungan Islam di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tahfiz di dunia.