Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Sebanyak 31 orang anak yatim yang merupakan penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj (RAYSAAS) di Pantai Puteri, Tanjung Kling menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Tengku Amir Shah telah menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM9,300, 100 kilogram beras dan 31 set kain pelekat serta menyantuni semua anak yatim tersebut.
Turut hadir dalam majlis penyerahan itu ialah Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Orang Besar Istana, Tengku Seri Perkasa Diraja Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah dan Tengku Saifan Rafhan Putra Tengku Datuk Setia Putra Al Haj.
Terdahulu, ketibaan Tengku Amir Shah telah disambut oleh Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Tan Sri Mazlan Mansor; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Shahir Makhtar; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad serta pengurusan YIDE dan RAYSAAS.

Menurut Tan Sri Mazlan Mansor, sumbangan yang dikurniakan oleh Tengku Amir Shah merupakan program tahunan YIDE bagi memastikan kesejahteraan dan keperluan anak yatim terus terpelihara.
“Sumbangan yang dikurniakan ini diharap akan dapat membantu anak-anak yatim RAYSAAS membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan memberikan kegembiraan kepada mereka.
“Pada tahun ini, YIDE memperuntukkan sejumlah RM1.95 juta sumbangan Aidilfitri bagi menyantuni sebanyak 13 000 orang anak yatim di seluruh negeri Selangor dan menjadi kewajipan YIDE untuk membantu anak yatim ini,” katanya.