Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKemunculan kitab Dala’il al-Khairat telah menjadi rujukan utama dalam amalan selawat di dunia Islam. Kitab ini bukan sahaja mengandungi pelbagai lafaz selawat yang penuh keberkatan, tetapi juga diamalkan secara meluas oleh umat Islam sebagai wirid harian untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memuji ketinggian Rasulullah SAW.
Dala’il al-Khairat di Alam Melayu
Alam Melayu juga memperlihatkan Dala’il al-Khairat menjadi sebuah kitab yang penting sekitar abad ke-18. Seorang tokoh ulama Nusantara, iaitu Raja Haji Fisabilillah (1727–1784). Beliau ialah Yang Dipertuan Muda Kesultanan Johor–Pahang–Riau–Lingga keempat dan adinda kepada Sultan Salehuddin Shah ibni Almarhum Yamtuan Muda Riau II Opu Daeng Chelak (Raja Lumu), iaitu Sultan Selangor yang pertama.
Sepanjang sejarah kepimpinan Raja Haji Fisabilillah, beliau telah berusaha beberapa kali untuk menawan kembali Melaka yang berada di bawah penguasaan Belanda pada tahun 1783 dan 1784. Pada Februari 1784 (pertempuran kedua pada tahun tersebut), beliau mengepung Melaka selama empat bulan dan Belanda hampir tewas ketika itu.
Namun demikian, takdir Allah SWT mengatasi segala-galanya apabila beliau syahid pada Jumaat, 18 Jun 1784 di Teluk Ketapang, Melaka (kini Kampung Telok Mas). Peristiwa syahidnya dirakamkan dalam Tuhfat al-Nafis bahawa kedua-dua tangan beliau memegang badik dan Dala’il al-Khairat. Turut diceritakan bahawa Raja Haji Fisabilillah mendapat kebaikan daripada amalan selawat daripada kitab tersebut.
Amalan Bacaan Selawat di Masjid al-Azhar, Kaherah
Sheikh Usamah al-Sayyid al-Azhari menjelaskan bahawa semasa kurun ke-10 Hijrah, terdapat seorang imam besar al-Azhar dan merupakan wali yang soleh di Mesir, iaitu Sheikh Nur al-Din ‘Ali al-Shuni. Beliau mengadakan majlis bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW pada setiap malam Jumaat di Masjid al-Azhar bermula sejak tahun 897 Hijrah di bawah zaman pemerintahan Sultan Saif al-Din Qaitbay daripada Dinasti Mamluk.
Majlis bacaan selawat tersebut menerima kehadiran ribuan orang sehinggakan khalayak yang berada di sekelilingnya mengganggap majlis tersebut ialah sebuah majlis yang memiliki rohani yang kuat, keindahan, kenikmatan, akhlak dan penawar bagi penyakit hati.
Majlis ini hampir serupa dengan majlis bacaan Dala’il al-Khairat di Masjid Nabawi sebelum ini dan telah berlangsung selama beberapa kurun yang panjang. Walaupun lafaz selawat yang dibaca di Masjid al-Azhar bukan Dala’il al-Khairat, pembinaan prinsip dan makna bacaannya hampir sama.
Tidak dinafikan muncul sebahagian kelompok yang mempertikaikan majlis bacaan selawat yang dianjurkan oleh beliau dan berusaha untuk menghalangnya. Walau bagaimanapun, seorang ulama muhaddith, Shihab al-Din Ahmad bin Muhammad al-Qastallani (923H) yang telah mensyarahkan hadis Sahih al-Bukhari menerusi kitabnya, Irsyad al-Sari ‘ala Sahih al-Bukhari datang menangkis dakwaan pihak berkenaan.
Tatkala al-Qastallani melihat kejahilan sebahagian manusia yang mempersoalkan majlis tersebut, beliau terus mengarang sebuah kitab tentang fadilat selawat kepada Rasulullah SAW. Kitab tersebut telah dicetak dan beliau berkata menerusi mukadimahnya,
Apabila Sheikh Nur al-Din ‘Ali al-Shuni menjalankan majlis selawat di Masjid al-Azhar, lalu orang mengingkarinya dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai ilmu, saya suka mengarang kitab ini untuk menjelaskan bahawa perkara ini ialah suatu yang bertepatan dengan kehendak syariat dan amalan yang baik.
Demikianlah menurut pandangan al-Qastallani bahawa konflik yang berlaku ini disebabkan oleh sebahagian pihak yang mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, ulang kaji yang luas serta pengetahuan tentang sejarah pembacaannya yang sudah berlalu dalam kurun yang panjang.
Oleh itu, umat Islam perlu menghayati dan meneladani semula jalan agama yang berakar dan warisan identiti keagamaan zaman-berzaman dipegang oleh para leluhur di Nusantara. Kebijaksanaan ulama dahulu untuk mempertahankan pendekatan ajaran agama yang bersifat tradisi telah memberikan kekuatan pegagangan akidah kepada umat Islam di rantau ini walaupun telah dijajah oleh negara kolonial berabad-abad lamanya.
Usaha menghidupkan semula amalan membaca Dala’il al-Khairat di masjid wajar diamalkan untuk membentuk jiwa yang diisi dengan penawar rohani yang mampu mendekatkan diri kepada Ilahi. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”
(Surah al-Saff 61:8)
Artikel ini dipetik dan diubah suai daripada tausiyah Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Sheikh Usamah al-Sayyid al-Azhari dalam program Malam Mahabbah Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 23 Februari 2025.