Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Surah al-Baqarah 2:183)

 

Ramadan ialah bulan yang difardukan kewajipan menyempurnakan satu daripada rukun Islam, iaitu ibadah puasa yang bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa, bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Istilah al-Mubarak bermaksud keberkatan, iaitu merujuk bulan Ramadan yang diberkati Ilahi, bulan yang dilimpahi pelbagai kebaikan, dan bulan yang dijanjikan keampunan kepada orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Barang siapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala (daripada Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ayat 183 Surah al-Baqarah  yang disebutkan pada awal rencana ini menjelaskan tujuan syariat ibadah puasa, iaitu meraih ketakwaan. Mukmin yang berpuasa semata-mata kerana Tuhannya, memelihara puasa daripada perkara yang membatalkan, kemudian berupaya menahan serta mengawal keinginan nafsu, ialah mukmin yang hati dan akalnya sentiasa bersedia menerima petunjuk Ilahi, gembira melaksanakan amal kebaikan dan cenderung membuktikan ketaatan kepada Allah SWT. Inilah yang dinamakan takwa, iaitu matlamat utama untuk dicapai pada bulan Ramadan.

Pada waktu menantikan ketibaan bulan Ramadan, setiap Muslim dianjurkan supaya bermuhasabah diri sebagai persediaan agar ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan berupaya membersihkan diri, seterusnya membina ketakwaan kepada Ilahi. Yang berikut merupakan persiapan kerohanian dan persiapan umum yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam:

Pertama: Persiapan kerohanian, iaitu mempersiapkan hati dan jiwa untuk menyambut Ramadan dengan keyakinan bahawa bulan Ramadan mengandungi pelbagai hikmah kebaikan duniawi dan ukhrawi. Orang soleh terdahulu digambarkan berdoa selama enam bulan sebelum munculnya Ramadan, agar diberi kesempatan untuk beribadah pada bulan Ramadan.

Antara doa yang boleh diamalkan termasuklah:

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Oleh itu, banyakkan berdoa memohon agar Allah SWT mengurniakan bimbingan dan kekuatan untuk kita cekal menyempurnakan ibadah puasa dengan hati yang cenderung melakukan amal kebaikan, dan kesungguhan untuk kita meninggalkan segala larangan Ilahi.

Kedua: Meningkatkan amal ibadah. Para sahabat terdahulu memperbanyak ibadah pada bulan Rejab dan Syaaban sebagai latihan beribadah untuk menyambut Ramadan. Banyakkan solat sunat, puasa sunat, membaca al-Quran, berzikir, berselawat dan melakukan pelbagai amal kebajikan.

Ketiga: Banyakkan bertaubat dan beristighfar. Ramadan merupakan bulan keampunan, maka hendaklah kita membersihkan hati dan jiwa daripada segala dosa sebelum memasukinya. Hati dan jiwa yang bersih akan lebih mudah mentaati perintah Allah SWT dengan tenang dan reda, tanpa keluh kesah walaupun menghadapi lapar dan dahaga pada siang hari.

Keempat: Bersedekah dan berbuat baik. Ramadan ialah bulan yang digandakan pahala kebaikan. Banyakkan bersedekah, berwakaf, berinfak dan melakukan pelbagai amal jariah bersempena dengan bulan Ramadan. Peruntukkan sebahagian daripada harta dan rezeki kurniaan Ilahi untuk amalan bersedekah, menaja majlis iftar atau buka puasa di masjid, surau dan asrama sekolah, begitu juga untuk diagihkan kepada fakir miskin, anak yatim serta golongan yang memerlukan. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Kelima: Mengulang kaji hukum-hakam ibadah puasa. Ibadah yang bersandarkan ilmu dan petunjuk daripada Rasulullah SAW merupakan syarat untuk ibadah diterima oleh Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita disarankan untuk mengulang kaji tatacara yang betul untuk mengerjakan ibadah ketika bulan Ramadan; merangkumi adab berpuasa, hukum yang diwajibkan dan disunatkan, perkara yang dilarang yang boleh mengurangkan pahala puasa, kelebihan bertadarus, bersolat tarawih, berzakat, bersahur dan bertahajud malam.

Keenam: Perancangan kewangan dan mengelak pembaziran. Umat Islam digalakkan supaya merancang perbelanjaan juadah berbuka berpuasa dan bersahur secara sederhana dan berhemah, serta mengelakkan perbuatan membazir makanan yang akhirnya terbuang.

Ketujuh: Didikan berpuasa. Ibu bapa yang mempunyai anak yang sudah mumaiyiz bertanggungjawab mendidik mereka tentang kebaikan berpuasa. Latihlah mereka secara berperingkat agar terbina kekuatan dan semangat untuk menyempurnakan ibadah rpuasa.

Ibadah puasa memberikan manfaat kesihatan yang sangat berharga kepada tubuh manusia. Puasa berperanan sebagai penawar, merangsang perubahan baik dalam badan seperti membuang kekotoran dan menyingkirkan toksin badan, mengawal berat badan dan meningkatkan fungsi metabolisme tubuh.

Selain itu, umat Islam juga dituntut supaya menjaga adab berpuasa. Antaranya termasuklah meninggalkan perbuatan yang sia-sia, tidak berdusta, tidak mengumpat, tidak memfitnah, tidak tidur berlebihan pada siang hari, tidak membuang masa melayari bahan kandungan yang tidak berfaedah dalam media sosial, berjimat cermat dan tidak melakukan pembaziran, menjaga pancaindera daripada mengundang perbuatan dosa, serta menjauhi perbuatan yang boleh mengakibatkan terhapusnya pahala ibadah dan mengakibatkan puasa sekadar perbuatan menahan lapar dan dahaga.

Sambutlah Ramadan dengan hati yang tulus bersih, jiwa yang tunduk menadah rahmat, niat dan tekad murni untuk memperbaik diri. Jadikan Ramadan sebagai madrasah untuk mendidik diri menjadi insan yang lebih bertakwa, dan meningkatkan keinsafan diri sebagai makhluk yang pada setiap saat dan ketika mengabdikan diri sepenuhnya untuk memenuhi seruan Ilahi.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 28 Februari 2025, bertajuk, “Menyambut Ramadan al-Mubarak”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi