Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 25 Februari 2025, bersamaan dengan 26 Syaaban 1446, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh, Perak. Yang berikut diperturunkan titah baginda.
بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
1. Dalam memperkatakan pentingnya integrasi antara fiqah dengan tasawuf, sebaik-baiknya kita menziarahi kata-kata yang diungkapkan oleh Imam Malik bin Anas:
Jika sesiapa mempelajari ilmu fiqh tanpa tasawuf, maka dia menjadi fasik. Jika sesiapa mempelajari ilmu tasawuf tanpa ilmu fiqah, maka dia menjadi zindik, manakala jika sesiapa menghimpunkan kedua-dua ilmu tersebut, maka itulah sebaik-baik dan sesempurna-sempurna perkara.
2. Kamus Dewan Perdana mentakrifkan, fiqah atau fiqh ialah ilmu berkaitan dengan hukum dalam agama Islam yang boleh dirumuskan sebagai perundangan atau jurispruden Islam; bermaksud ilmu yang menerangkan segala hukum syarak berlandaskan al-Quran dan sunah, dirumuskan melalui penelitian mendalam, secara ijtihad dan istinbat. Fiqah sering disifatkan sebagai kefahaman manusia terhadap syariat Islam sebagaimana yang diwahyukan dalam al-Quran dan yang diambil pengajaran daripada amalan Nabi Muhammad SAW. Secara kiasan, fiqah bermaksud ilmu tentang ketetapan hukum Islam daripada sumbernya. Fiqah mengembangkan dan memajukan syariah melalui tafsiran (ijtihad) al-Quran dan sunah oleh fuqaha (ulama) Islam, dilaksanakan dengan ketetapan fatwa fuqaha terhadap persoalan yang dikemukakan kepada mereka.
3. Ilmu tasawuf merupakan satu daripada khazanah keilmuan Islam yang diwariskan. Berpandukan takrifan Kamus Dewan Perdana, tasawuf ialah ilmu yang mendidik manusia kaedah untuk lebih mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memahami, mendalami dan mengamalkan segala suruhan serta meninggalkan segala larangan-Nya, sehingga berasa diri begitu hampir dengan Allah SWT, dengan membersihkan jiwa daripada sifat-sifat tidak baik. Ilmu tasawuf membantu diri seseorang memelihara seluruh pancaindera untuk tunduk kepada iman serta takwa dan menjauhi ikutan hawa nafsu. Abdul Wahab Al-Sha’rani (dilahirkan pada tahun 898 Hijrah; wafat pada tahun 973 Hijrah), tokoh tasawuf yang berjaya memurnikan semula aliran kesufian daripada segala tanggapan negatif, mentakrifkan tasawuf sebagai ilmu yang terhasil dalam hati para wali apabila mereka mengamalkan al-Quran dan sunah.
4. Tasawuf bertujuan untuk mendekatkan manusia kepada Allah, dan menghindarkan manusia daripada godaan hawa nafsu duniawi. Tasawuf juga diertikan sebagai pencarian jalan rohani, kebersatuan dengan kebenaran mutlak dan pengetahuan mistik. Tasawuf ialah daya upaya melatih jiwa dengan kegiatan yang dapat membersihkan diri manusia daripada pengaruh kehidupan dunia yang bersifat negatif sehingga tercermin akhlak mulia. Ilmu tasawuf penting kerana membantu membersihkan hati, mendidik nafsu dan memperbaik akhlak.
5. Oleh itu, amatlah bertepatan ungkapan kata Imam Malik bin Anas akan pentingnya kedua-dua cabang ilmu fiqah dan tasawuf diintegrasikan. Fiqah telah menyediakan pelbagai komponen perundangan, merangkumi ibadah, muamalat, kekeluargaan, jenayah dan pelbagai perkara lagi; malah turut merangkumi pemeliharaan ibadah, akhlak serta peraturan sosial dan politik. Pelbagai kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia pada hari ini hendaklah dilihat sebagai bukti yang menunjukkan, bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan, tidak membawa sebarang makna. Lihatlah apa-apa yang sedang berlaku di persekitaran kita. Kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang berlaku, penipuan, perlakuan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, penyeksaan, persengketaan, pertelingkahan, perebutan kuasa, peperangan dan pembunuhan semakin berlaku, bukan kerana kita tidak mempunyai cukup undang-undang. Segala-galanya berlaku kerana manusia sudah kehilangan adab. Apabila manusia berasakan akal fikirannya terlebih pintar, dan apabila manusia sedang mabuk dilambung gelombang kuasa, manusia mula beranggapan mereka berupaya melakukan pelbagai helah untuk menguasai dunia dan mendominasi manusia lain; mereka beranggapan memiliki kekebalan, bebas dan terlepas daripada hukum dunia, lalu undang-undang dipersendakan, dimanipulasikan dan akhirnya disisihkan, tanpa sedikit pun berasa gentar terhadap alam kubur, terhadap kewujudan Mahkamah Rabul Jalil pada hari kebangkitan, dan wujudnya pembalasan di akhirat.
6. Dalam fanatisme manusia menghirup kelazatan duniawi, kehadiran ilmu tasawuf ibarat oasis atau wahah dalam kekeringan kehidupan dunia moden yang fatamorgana. Terbukti ilmu tasawuf berhasil membimbing manusia untuk senantiasa membersihkan jiwa (tazkiyah al-nafs) dan mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ila Allah) sehingga muara daripada kehidupan manusia akan terselamat di dunia dan di akhirat. Kehadiran ilmu tasawuf merupakan respons atau tindak balas menyelamatkan umat Islam yang sedang ditenggelami kesesatan, menikmati penyimpangan duniawi, sehingga rohani manusia menjadi gersang; lalu manusia menjadi semakin lali, semakin alpa dan semakin memandang ringan terhadap akhirat, lantas tidak lagi berasa gentar terhadap hari pembalasan ataupun takut kepada pembalasan Ilahi.
7. Sejak terpinggirnya didikan ilmu tasawuf di bangku sekolah, manusia kini seakan-akan jasad yang hilang rohnya, bagaikan pohon yang hilang sumber airnya. Ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu oleh habuan kebendaan dan keduniaan. Pada waktu yang sama, turut terdapat gerakan membenci tasawuf sehingga melahirkan generasi yang tidak beradab malah ke peringkat bersifat biadab, menderhakai ibu bapa dan guru, generasi yang tidak malu menghina umara dan ulama, juga menyanggah dan mencabar ulul amri dengan mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seseorang Mukmin.
8. Adab daripada kaca mata Islam begitu juga dalam budaya Melayu merujuk tatacara atau tingkah laku yang berpekerti, akhlak yang baik, sopan, tertib, berbudi bahasa, jujur dan ikhlas, sifat menghormati dan berperikemanusiaan; iaitu komponen-komponen yang membentuk nilai dan watak murni insani. Kepentingan adab sebelum menuntut ilmu ditegaskan oleh para ulama. Para ulama lebih mendahulukan adab daripada ilmu. Seseorang yang menguasai ilmu tanpa memiliki adab, akan berakhir sebagai ilmuwan yang tempang, dan dibimbangi akan mendiayah masyarakat dengan ilmu yang songsang.
9. Kebelakangan ini, semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan yang merasakan diri mereka telah bertaraf ilmuwan atau ulama; kebelakangan ini semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan diayah songsang. Tazkirah, kuliah dan diskusi agama semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu. Masjid dan surau yang dibangunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan diayah dan fitnah. Beta disembah maklumkan sudah ada khatib yang memilih tidak mahu membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang diperakukan oleh Jabatan Mufti.
10. Perbuatan sebegini sudah keterlaluan dan sama sekali tidak boleh didiamkan. Berdiam diri terhadap perbuatan keterlaluan sebegini, laksana membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah. Khatib yang dikurniakan tauliah bertugas di mimbar, dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau, diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon yang berkaitan. Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti, bersama-sama Orang Besar Jajahan, jawatankuasa masjid dan surau serta ahli kariah hendaklah melakukan pemantauan yang rapi, mengenal pasti pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang. Masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan orang yang tempang menyebarkan diayah yang songsang.
11. Pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan, sewajarnya melakukan siasatan secara adil dan saksama, meneliti fakta dan kesahihan terhadap perbuatan yang dilaporkan telah melanggar adab bekerja. Penemuan dan apa-apa juga ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana pihak yang terlibat, setelah selesai melalui proses rayuan, hendaklah diangkat sembah laporannya berserta perakuan untuk pertimbangan Raja Pemerintah sewajarnya.
12. Semoga muzakarah yang penuh dengan ilmu ini mendorong ummah untuk terus beramal dengan ilmu dan berilmu dengan penuh adab secara istiqamah. Maka itu, amalnya sahih, ilmunya bermanfaat dan akhlaknya luhur.
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Demikian titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis tersebut. Semoga titah ini dijadikan pedoman oleh seluruh rakyat Malaysia.