Diterbitkan pada 21 Februari 2025, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah setiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mendirikan solat). Dan makan dan minumlah dan jangan pula berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A‘raf  7:31)

Kesihatan tubuh badan merujuk keadaan fizikal, mental dan emosi yang sihat, stabil, waras dan cergas. Tubuh badan yang sihat amat mempengaruhi kualiti hidup dan membolehkan manusia menjalani kehidupan harian dengan baik. Maka itu, amanah, tanggungjawab dan ibadah dapat dilaksanakan dalam keadaan yang sempurna.

Peribahasa Melayu ada menyebutkan bahawa “mencegah lebih baik daripada mengubati” yang bermaksud perlunya usaha bagi memastikan tubuh memiliki daya tahan untuk menghindarkan diri daripada serangan dan jangkitan penyakit.

Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menyeru manusia supaya memelihara kesihatan, antaranya termasuklah seruan mengamalkan pemakanan halal dan berkhasiat, iaitu makanan yang dapat menjadi sumber bagi membekalkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk beribadah dan melakukan kegiatan hidup harian.

Ayat 31 Surah al-A‘raf tersebut mengingatkan tentang pengambilan makanan bukan sahaja yang halal, suci dan berkhasiat, bahkan mementingkan tatacara pengambilan makanan yang tidak berlebihan. Pengabaian terhadap tatacara ini menjadi punca kepada pelbagai penyakit.

Islam amat mementingkan amalan gaya hidup yang sihat. Penjagaan kesihatan merupakan kewajipan yang dituntut dan menepati satu daripada tujuan syarak, iaitu hifz al-nafs (memelihara nyawa). Umat Islam yang sentiasa memastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat serta mengutamakan penjagaan kesihatan ialah umat yang telah memenuhi tuntutan agama selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Dan ke atas diri kamu itu ada hak yang perlu ditunaikan.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Yang berikut merupakan beberapa langkah penjagaan kesihatan:

Pertama: Pemakanan yang sihat dan seimbang.

Mengambil makanan secara seimbang bukan sahaja dapat menguatkan badan, malah dapat menghindarkan pelbagai penyakit. Oleh itu, penting untuk kita mengambil tahu ilmu pemakanan yang sihat dan seimbang agar dapat mengenal pasti bahan makanan dan jumlah kalori (iaitu unit ukuran bagi nilai tenaga yang terdapat dalam sesuatu jenis makanan) yang diperlukan oleh tubuh dalam sehari. Hal ini dapat dijadikan panduan supaya kita tidak mengambil makanan melebihi had yang diperlukan pada setiap hari.

Kita digalakkan mengamalkan pengambilan makanan yang berkhasiat seperti ulam-ulaman, sayur-sayuran dan buah-buahan, di samping menjauhi makanan yang tinggi kandungan gula, minyak, lemak, bahan pengawet dan pewarna, begitu juga makanan segera.

Rasulullah SAW mengambil berat soal pemakanan dan menasihati umatnya agar mengambil makanan sekadar yang perlu seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak ada tempat yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi manusia itu beberapa makanan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya, kecuali jika dia tidak dapat mengelakkannya, maka hendaklah dia membahagikan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

 

Kedua: Bekalan air atau cecair dalam badan secukupnya.

Menurut Akademi Sains Amerika Syarikat, pada setiap hari, lelaki memerlukan sebanyak 15.5 cawan air (menyamai 3.7 liter), sementara wanita memerlukan sebanyak 11.5 cawan air (menyamai 2.7 liter). Meminum air kosong dapat mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan, mengawal kalori, memberikan otot yang sihat serta kulit kelihatan lebih segar, di samping membantu buah pinggang membuang toksin.

 

Ketiga: Tidur dan rehat yang cukup.

Tidur yang mencukupi penting untuk pelbagai peranan otak seperti meningkatkan tumpuan, meningkatkan daya ingatan, meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan meningkatkan kekebalan badan untuk menghadapi serangan penyakit. Dalam kalangan ahli sukan, mereka mendapat tidur yang cukup, memiliki peningkatan kelajuan, serta ketepatan dan masa tindak balas.

Tidur yang mencukupi mengurangkan risiko darah tinggi, penyakit jantung dan strok. Kekurangan tidur boleh menjejaskan emosi, menyebabkan kemurungan, cepat marah, juga pertambahan berat badan dan kegemukan (obesiti). Kajian yang dilakukan menetapkan waktu tidur yang diperlukan pada setiap hari mengikut usia seperti yang berikut:

  • Bayi berusia satu hari hingga 3 bulan: 14-17 jam.
  • Bayi berusia empat bulan hingga 11 bulan: 12-­­15 jam.
  • Kanak-kanak berusia satu tahun hingga dua tahun: 11-14 jam.
  • Kanak-kanak berusia tiga tahun hingga lima tahun: 10-13 jam.
  • Kanak-kanak berusia enam tahun hingga 13 tahun: 9-11 jam.
  • Remaja berusia 14 tahun hingga 17 tahun: 8-10 jam.
  • Remaja berusia 18 tahun hingga 25 tahun: 7-9 jam.
  • Dewasa berusia 25 tahun hingga 64 tahun: 7-9 jam.
  • Warga tua berusia 65 tahun ke atas: 7-8 jam.

 

Keempat: Mengamalkan gaya hidup yang cergas.

Islam menggalakkan umatnya supaya bersenam dan beriadah. Semasa bersenam atau beriadah, badan akan berpeluh dan bahan kumuh, iaitu kotoran dalam badan akan dikeluarkan sehingga membuatkan badan menjadi sihat, ringan dan segar.

Rasulullah SAW banyak berjalan kaki dalam kehidupan seharian Baginda. Berjalan kaki membantu membakar lemak, membolehkan badan memproses gula dengan baik, sekali gus dapat membantu menurunkan berat badan. Berjalan kaki turut membantu mengurangkan tekanan darah, merangsang hormon endorfin (hormon kegembiraan), lantas menjadikan kehidupan lebih ceria.

Oleh itu, umat Islam digalakkan berjalan kaki sekurang-kurangnya 20 minit pada setiap hari. Amalkan berjalan kaki dengan memilih meletak kenderaan lebih jauh dari tempat yang dituju seperti tempat kerja, keda, atau masjid, begitu juga memilih menaiki tangga daripada lif atau eskalator.

 

Kelima: Melakukan saringan kesihatan secara berkala.

Melakukan saringan kesihatan, ujian darah dan air kencing secara berkala juga dapat membantu mengesan penyakit pada peringkat awal ketika masih belum mudarat. Kita disarankan agar menimbang berat badan secara harian atau sekurang-kurangnya seminggu sekali.

 

Keenam: Rehat dan menenangkan minda.

Tubuh badan memerlukan masa rehat supaya minda dapat ditenangkan dan emosi dibebaskan daripada tekanan. Oleh sebab itu, majikan perlu menyediakan kelepasan hujung minggu dan cuti rehat kepada para pekerja. Gunakan hari kelepasan dan cuti untuk merehatkan badan dan memulihkan minda dan tenaga dengan berekreasi dan bercuti di tempat yang boleh memberikan ketenangan.

 

Ketujuh: Menjaga hubungan sesama insan dan mendampingi Allah SWT.

Jauhi rasa hasad, dengki, dendam dan iri hati sesama manusia. Amalkan sikap bersyukur dan tumpang gembira atas kejayaan orang lain. Serahkan diri kepada Allah SWT ketika menghadapi ujian.

Ibadah solat turut memberikan manfaat kepada kesihatan. Solat merupakan satu daripada riadah berseni – penenang hati; setiap pergerakan dalam solat membawa makna dan manfaat kepada tubuh manusia sama ada dari segi fizikal mahupun emosi. Solat merupakan saat seseorang hamba paling rapat berhubungan secara langsung dengan Allah SWT. Di samping gerakan jasmani, solat yang dikerjakan secara sempurna juga akan dapat menenteramkan jiwa.

Membaca al-Quran, berpuasa sunat, berzikir, bermunajat dan berdoa dapat melatih jiwa menerima hakikat kekuasaan Allah SWT. Dampingilah diri kepada Allah SWT, menerima keredaan penentuan Ilahi, lalu memohon petunjuk dan lindungan untuk menenangkan hati, kerana hati yang tenang menjadi kunci kepada tubuh yang sihat.


Disesuaikan daripada teks khutbah, 21 Februari 2025 bertajuk “Mengutamakan Kesihatan Suatu Ibadah”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi