Diterbitkan pada 20 Februari 2025, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan mengagihkan bantuan berjumlah RM21.6 juta sepanjang bulan Ramadan 1446H/2025M kepada sebanyak 35 400 orang penerima yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan utama penerima di seluruh Pahang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain, Bantuan Menyambut Ramadan berjumlah RM5.6juta akan diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin yang merupakan penerima zakat bulanan, melibatkan sebanyak 12 688 orang ketua isi rumah.

“Sumbangan Pengimarahan Ihya’ Ramadan berjumlah RM4.274 juta akan diserahkan kepada 689 buah masjid dan surau kebenaran Jumaat;

“Sebanyak RM354,000 akan diserahkan kepada 14 buah masjid dan surau kebenaran Jumaat serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta; dan sebanyak RM297,000 akan diserahkan kepada 157 Maahad Tahfiz, madrasah dan pondok di Pahang,” jelas beliau.

“Selain itu, Sumbangan Wang Ihsan berjumlah RM159,000 akan diagihkan kepada sebanyak 318 orang penerima daripada ahli Persatuan Guru-guru al-Quran Asrama Negeri Pahang.”

Jelas beliau lagi, “Sebanyak 19 000 orang ketua isi rumah dan asnaf fakir miskin yang terdiri daripada penerima zakat bulanan yang disenaraikan oleh amil bakal menerima Bantuan Tahunan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM9.865 juta.”

Sementara itu, katanya, sebanyak 1833 orang ketua isi rumah dan ahli isi rumah golongan saudara baharu di Pahang pula akan menerima bantuan yang sama berjumlah RM1.045 juta.

“Selamat menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadan dan selamat menunaikan zakat fitrah,” ujarnya sebelum mengakhiri ucapan.

Kredit Foto: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi