Diterbitkan pada 18 Februari 2025, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) terus memperkukuh agenda memartabatkan puisi dan sastera Islam melalui penganjuran Pertandingan Baca Puisi Sempena Israk dan Mikraj antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) peringkat negeri Pahang.

Program yang dikendalikan oleh Sayap DPMP – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta serta sokongan penuh daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam dunia sastera dan akademik.

Timbalan Presiden DPMP, Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Abdul Jalil menyampaikan ucapan.

Penulis dan penyair tersohor, Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Abdul Jalil (H. A. Munawar), yang juga Timbalan Presiden DPMP, mengucapkan tahniah kepada Sayap DPMP – UnIPSAS atas kejayaan menganjurkan pertandingan tersebut.

Menurut beliau, usaha tersebut merupakan langkah awal yang penting untuk memperluas pengaruh puisi Islam dan mengukuhkan kesedaran terhadap nilai-nilai Islam melalui seni sastera.

“Ini ialah titik permulaan yang sangat penting dalam usaha mengembangkan dan memartabatkan puisi Islam ke peringkat yang lebih luas, serta memperkukuh kesedaran terhadap keindahan dan nilai-nilai Islam melalui sastera,” ujar Dato’ Dr. Ahmad Munawar.

Dato’ Dr. Ahmad Munawar turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah yang diketuai oleh Puan Nurul Julia Alani Henri atas sokongan berterusan dalam usaha menjayakan acara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa sokongan tersebut amat penting dalam usaha memperkasakan penggerakan Sayap Remaja UnIPSAS, yang kini semakin aktif menjadi penggerak utama yang mengembangkan puisi dan sastera Islam di Malaysia.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr. Ahmad Munawar menekankan hasrat DPMP untuk menjadi hab sastera Islam, yang tidak hanya akan menjadi pusat pengumpulan karya sastera Islam, tetapi juga melahirkan penulis serta sasterawan Islam yang dapat menobatkan nama Pahang dan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

“Kami berhasrat untuk melahirkan tokoh penulis sastera Islam yang dihormati pada masa hadapan, serta menjadikan sastera Islam sebagai identiti utama negara,” tambah beliau.

Pertandingan yang diadakan sempena Israk Mikraj itu menyaksikan puisi-puisi daripada antologi Keagungan Tuhan Rabbul Jalil – Himpunan Puisi Islam 1.0 (Menelusuri Ayat-ayat Pilihan) karya Dato’ Dr. Ahmad Munawar dipilih sebagai bahan bacaan utama para peserta.

Antologi tersebut memaparkan puisi yang diilhamkan daripada ayat pilihan al-Quran, bertujuan untuk memberikan inspirasi serta mendalamkan pemahaman tentang kebesaran Allah SWT.

Acara yang berlangsung dalam suasana penuh semangat tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada DPMP Kawasan Kuantan serta sokongan penuh daripada DBP Wilayah Tengah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pegawai DBP Wilayah Tengah, barisan Jawatankuasa DPMP serta warga UnIPSAS, yang bersama-sama menyemarakkan usaha mengangkat martabat puisi dan sastera Islam ke tahap yang lebih tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi