Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-68 yang berlangsung dengan penuh keberkatan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam, menyerlahkan kehebatan qari dan qariah Pahang.
Majlis anjuran Majlis Agama Islam Negeri Pahang (MAIP) tersebut bermula pada pukul 2.00 petang dan dihadiri oleh tokoh agama serta pemimpin negeri.
Sebanyak 30 orang peserta yang terdiri daripada 18 orang qari dan 12 orang qariah yang mewakili 12 daerah di Pahang, bertanding selepas melalui dua peringkat saringan secara dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam ucapan perasmiannya menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Pahang yang berterusan dalam penganjuran program berimpak tinggi yang memberikan manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang bertekad untuk menjadikan al-Quran bukan sahaja sebagai bahan bacaan, tetapi sebagai panduan hidup dalam setiap aspek pentadbiran dan kehidupan masyarakat di Pahang.
YB Dato’ Sri Syed Ibrahim juga mengajak seluruh warga Pahang, termasuklah barisan pentadbiran kerajaan negeri, untuk mengambil pengajaran dan hikmah daripada al-Quran dalam usaha membangunkan negeri tersebut.
“Jika sekadar membaca al-Quran, banyak orang boleh melakukannya, namun yang lebih penting adalah bagaimana kita dapat membawa ajaran al-Quran ke dalam kehidupan kita, sebagaimana yang dicontohkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW,” ujar beliau.
Beliau juga mengingatkan bahawa walaupun banyak orang yang boleh membaca al-Quran dengan lancar, penting untuk memastikan al-Quran menjadi amalan hidup yang menyeluruh, termasuklah dalam kalangan anak muda.
Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan beberapa institusi pendidikan berasaskan al-Quran, seperti Maahad Tahfiz Thurath, dan berusaha memperkasakan institusi sedia ada agar pengajaran al-Quran dapat lebih berkesan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Dato’ Zaliza Zulkipli berkata, “Peserta akhir telah menghadiri Program tahsin al-Quran, dan telah diberi persediaan awal berkaitan dengan peraturan pemarkahan Majlis Tilawah al-Quran pindaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).”
Dato’ Zaliza yang bertindak selaku Pengerusi Jemaah Hakim, mengetuai delegasi 12 hakim yang dilantik mengikut bidang kepakaran masing-masing termasuklah tajwid, taranum, fasohah dan suara.
Dato’ Zaliza turut menyeru rakyat Pahang untuk hadir dalam majlis tilawah al-Quran tersebut, terutamanya pada malam majlis perasmian penutup yang akan dilangsungkan pada Khamis, 13 Februari 2025.
Penulis ialah Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan.