Diterbitkan pada 7 Februari 2025, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Allah SWT berfirman,

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah al-‘Alaq 96:1-5)

Islam amat mementingkan ilmu pengetahuan dan pembelajaran. Ayat satu hingga lima Surah al-Alaq merupakan seruan untuk menuntut ilmu agar manusia keluar daripada kegelapan kejahilan, di samping mengambil tanggungjawab mengembangkan ilmu pengetahuan. Ummah yang bijak memanfaatkan ilmu pengetahuan dengan kaedah yang betul dan bertujuan baik ialah ummah terpuji yang mendapat petunjuk Ilahi.

Perkembangan ilmu teknologi moden kini merupakan hasil daripada penggunaan akal fikiran yang bertujuan untuk memudahkan urusan kehidupan manusia. Antara teknologi moden kini termasuklah teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Teknologi AI ialah suatu sistem yang direka menyaingi daya kecerdasan minda manusia yang berupaya mengecam suara, memahami bahasa, menganalisis data, menyunting gambar, video dan audio, serta menyelesaikan masalah selain berupaya membuat keputusan dalam masa yang singkat. Teknologi tersebut merupakan alat yang mampu meniru peranan akal manusia bagi menyelesaikan tugas tertentu.

Yang berikut merupakan manfaat yang diperoleh daripada teknologi AI:

Pendidikan: Teknologi AI digunakan untuk mewujudkan kaedah pembelajaran yang lebih menarik. Pelbagai perisian pendidikan dan alat bantuan dapat dicipta bagi meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.

Ekonomi dan Perniagaan: AI berupaya mengurus kerja pengurusan, kewangan dan operasi perniagaan dengan meminimumkan kesalahan dan kesilapan.

Kesihatan: Kebolehan AI mengesan penyakit dengan lebih awal dan berupaya membuat pengecaman yang lebih tepat, jelas dan cepat. Proses pengimbasan kesihatan seperti MRI dan X-ray telah menggunakan teknologi AI untuk mengesan pelbagai penyakit pada peringkat permulaan.

Keselamatan: AI digunakan dalam sistem pengawasan pintar (CCTV) di tempat perniagaan, tempat kerja mahupun kediaman yang berperanan sebagai alat mencegah jenayah yang lebih berkesan. Terkini, industri automotif pula menawarkan teknologi kecerdasan buatan yang dipasang pada kenderaan untuk meningkatkan tahap keselamatan kenderaan.

Teknologi yang semakin canggih menyebabkan manusia semakin bergantung pada peranannya, yang berkemungkinan mengakibatkan beberapa kesan kurang baik dalam kehidupan manusia. Yang berikut merupakan perkara yang perlu diwaspadai dan dititikberatkan dalam penggunaan teknologi AI:

Daya Berfikir kian Lemah

Kebergantungan keterlaluan pada teknologi kecerdasan buatan boleh menyebabkan manusia hilang daya berfikir, khususnya untuk membuat keputusan dan penilaian terhadap sesuatu perkara. Contohnya seseorang pelajar yang bergantung sepenuhnya pada AI; dibimbangi tidak mampu mengasah daya berfikir sendiri secara kritis, hilang minat membaca secara mendalam dan akhirnya meniru bulat-bulat jawapan yang diberikan oleh AI tanpa membuat tapisan.

Menyebarkan Maklumat yang Salah

Penggunaan teknologi AI dalam pelbagai saluran boleh membawa permasalahan besar seperti menyiarkan maklumat yang salah dan tidak tepat. Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada tahun 2024 memperingatkan bahawa AI berisiko menghakis dan melunturkan demokrasi serta mengundang pemikiran yang lebih bersifat ekstrem. Dari sudut agama Islam, mengambil maklumat yang salah serta tiada sandaran daripada sumber yang sahih boleh mengundang kesesatan. Oleh itu, maklumat AI yang berkaitan dengan agama Islam perlu ditapis dan dirujuk terlebih dahulu agar benar-benar sahih.

Kehilangan Pekerjaan

Teknologi AI mampu melakukan tugasan manusia yang berbentuk sama dan berulang-ulang seperti pekerjaan operator pengeluaran kilang, perkhidmatan pelanggan, logistik dan sebagainya. Oleh itu, tenaga manusia semakin tidak diperlukan dalam bidang pekerjaan tersebut dan mengakibatkan manusia kehilangan pekerjaan. Penyelidik dan pakar teknologi menjangkakan dalam masa terdekat, AI bakal menggantikan sebanyak 80 peratus pekerjaan yang selama ini dilakukan oleh manusia.

Mengancam Keselamatan Siber

Kebanyakan penjenayah siber menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk memperdayakan mangsa. Syarikat perniagaan akan menjadi mangsa kerana terpaksa menghadapi serangan kecurian data perniagaan, penggodaman maklumat, gangguan virus dan pelbagai lagi jenayah yang boleh menjejaskan kestabilan sesebuah perniagaan.

Memacu sesuatu kerja, sama ada ke arah kebaikan ataupun keburukan bergantung pada niat. Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa-apa yang diniatkan.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Yang berikut merupakan adab dan akhlak yang perlu dipatuhi ketika menggunakan teknologi AI:

Pertama: Menjadi kewajipan dan tanggungjawab ummah untuk memastikan teknologi AI dimanfaatkan hanya untuk perkara kebaikan di samping memastikan tidak menyalahgunakan AI pada perkara yang bertentangan dengan syariat Islam termasuklah menipu, mencuri, mencabul hak asasi, mengaibkan seseorang dan sebagainya.

Kedua: Segala permasalahan berkaitan dengan hukum Islam, ilmu akidah dan ibadat yang diperoleh daripada AI hendaklah disemak, ditapis dan dirujuk terlebih dahulu kepada ilmuwan Islam serta bahan rujukan yang muktabar.

Ketiga: Ibu bapa, penjaga dan guru perlu memberikan pendedahan kaedah penggunaan AI yang betul kepada anak-anak.

Keempat: Ummah digalakkan mencontohi kesungguhan ilmuwan Islam terdahulu yang gigih mencari dan menimba ilmu pengetahuan terutamanya usaha menelaah, mengkaji dan menerokai pelbagai bidang ilmu pengetahuan.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 7 Februari 2025, bertajuk “Kecerdasan Buatan: Adab Penggunaannya Berpandukan Syarak”.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi