10 Januari 2025, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan (menggunakan) harta sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali melalui perniagaan yang dilakukan atas dasar reda-meredai (suka sama suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri! Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

                                                                               (Surah al-Nisa’ 4:29)

Kamus Dewan Perdana mendefinisikan keusahawanan sebagai segala yang berkaitan dengan kemahiran usahawan yang merujuk kegiatan merencana, mengelola, mencipta produk dan usaha mewujudkan perniagaan untuk menjanakan keuntungan.

Islam amat menggalakkan umatnya menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang peniaga yang berjaya lagi bijaksana. Baginda membantu bapa saudaranya, Abu Talib menjalankan kegiatan perniagaan dan mengurus harta perniagaan isterinya Sayidatina Khadijah. Selain itu, banyak dalam kalangan sahabat merupakan usahawan dan peniaga yang berjaya, antaranya termasuklah Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.

Perniagaan ialah sebahagian daripada pekerjaan murni. Jika dilaksanakan dengan jujur dan amanah akan membuahkan pendapatan yang halal dan dilimpahi keberkatan Ilahi. Rasulullah SAW memuji para peniaga yang jujur dan beramanah sepertimana sabda Baginda,

Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan beramanah akan dihimpun bersama-sama para nabi, orang yang benar, para syuhada dan orang yang soleh.”

      (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Peniaga dan usahawan ialah seseorang yang melakukan kerja sendiri untuk mendapatkan pendapatan, bukannya pekerja yang dibayar upah atau dibayar gaji oleh majikan. Bekerja dengan usaha sendiri merupakan sebaik-baik pekerjaan. Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: Rasulullah SAW ditanya tentang apakah pekerjaan yang paling baik? Rasulullah SAW menjawab, ‘Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.’

(Hadis Riwayat al-Tabarani).

Yang berikut merupakan perkara yang perlu diperhalus untuk menjayakan program keusahawanan:

Pertama: Kesedaran dan minat masyarakat Islam terhadap perniagaan dan keusahawanan wajar dipupuk serta ditingkatkan. Umat Islam juga hendaklah disedarkan untuk mengusahakan tanah yang terbiar, mengenal pasti dan merebut peluang perniagaan dalam industri kecil dan sederhana, bidang hartanah dan perumahan, pembuatan, pertanian, ternakan, perikanan, makanan dan minuman, penginapan dan sewaan, pelancongan, kesihatan, pengangkutan, pakaian dan fesyen, perkhidmatan serta urus niaga dalam talian.

Perniagaan dan keusahawanan yang berdaya maju menatijahkan keuntungan serta pendapatan lumayan yang membolehkan ummah bukan sahaja keluar daripada kelompok kemiskinan malah boleh mencapai taraf masyarakat menengah atas dan masyarakat berpendapatan tinggi.

Kedua: Saling membantu untuk mengukuhkan jaringan perniagaan sesama umat Islam. Usahawan dan syarikat perniagaan yang berjaya sewajarnya membantu usahawan dan peniaga yang baru menceburi bidang keusahawanan. Selain itu, sifat hasad dengki, adu domba, khianat, penipuan dan penyelewengan perlulah dijauhi.

Ketiga: Usahawan Muslim perlu sentiasa berusaha menambah pengetahuan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan selain mempelajari ilmu pengurusan perniagaan, risiko, penguasaan teknologi, perakaunan, kewangan, pemasaran, pengiklanan, jaringan perniagaan dan lain-lain.

Usahawan Muslim juga perlu bersedia menghadiri kursus serta bertanya kepada orang yang telah berjaya. Selain itu, mereka juga perlu bijak merebut peluang yang ditawarkan oleh pelbagai agensi sama ada kerajaan atau swasta, di samping menjadi pengusaha yang berdaya maju, tidak mudah mengalah serta tidak berputus asa.

Keempat: Islam sebagai agama yang menjadi rahmat untuk seluruh alam telah menggariskan beberapa nilai dan etika yang mesti dipatuhi.  Usahawan Muslim ditegah daripada terlibat mengusahakan perniagaan yang haram termasuklah penjualan arak, barangan yang diseludup, judi, serta pusat hiburan yang menjalankan kegiatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Pada masa yang sama, usahawan Muslim juga dilarang menipu, mengurangkan timbangan, memberikan rasuah, melakukan sumpah palsu, menyeludup dan menyembunyikan barangan dengan niat mahu mengaut keuntungan. Selain itu, usahawan Muslim juga tidak seharusnya bersifat melampau apabila meletakkan harga tanpa menghiraukan kawalan harga yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Usahawan Muslim seharusnya ikhlas dan telus mengisytiharkan keuntungan, jujur membayar cukai perniagaan dan ikhlas menunaikan zakat. Seseorang peniaga Muslim juga tidak akan dilalaikan dengan kesibukan perniagaan atau terlalu taasub mencari untung sehingga alpa untuk memenuhi tuntutan ibadat fardu ain yang diwajibkan seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “(Ibadat itu dilakukan oleh) orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual beli daripada mengingati Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Mereka takut akan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

                                                                          (Surah al-Nur 24:37)

Kelima: Masjid, surau, madrasah, maahad tahfiz dan pelbagai institusi pendidikan dan agama berperanan menjayakan aktiviti keusahawanan. Contohnya menerusi penubuhan koperasi. Melalui koperasi, banyak peluang perniagaan boleh dicetuskan dengan memberikan keutamaan kepada produk yang halal lagi suci. Ummah mesti menyokong dan membantu perniagaan yang diusahakan oleh pihak koperasi dengan menjadi ahli, pelanggan dan pembeli.

Keenam: Peniaga, usahawan dan institusi perniagaan yang berjaya memperoleh keuntungan hendaklah menyempurnakan kewajipan berzakat di samping membantu dan berkongsi kejayaan dengan usahawan yang lain.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 11 Januari 2025, bertajuk “Islam dan Keusahawanan”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.