3 Januari 2025, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “… Kemudian, apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran 3:159)

Alhamdulillah, pada hari ini dengan ihsan Ilahi kita terus dikurniakan usia untuk melangkah masuk ke tahun 2025. Semoga usia, kesihatan dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah dimanfaatkan sebaik-baiknya melalui sifat syukur, memperteguh azam untuk menjadi insan yang lebih bertakwa, memperkukuh iman, berusaha memperdekat diri kepada Allah dan mengamalkan sunah Rasulullah SAW, memakmurkan rumah Allah, mendampingi al-Quran, memperbanyak amal makruf dan menjauhi kemungkaran.

Ambilah sejenak waktu, ketika melangkah masuk ke tahun baharu untuk bermuhasabah, menilai kelemahan yang masih ada dalam diri yang menjadi punca kepada ketidakcapaian niat dan hasrat dan difikirkan usaha yang perlu ditingkatkan untuk menambak baik, agar tahun 2025 memberikan kejayaan yang lebih gemilang dari segi penguasaan ilmu, kejayaan kerjaya serta melakukan amal jariah dan meningkatkan ibadat.

Lafazkan sebanyak-banyak kalimah kesyukuran atas kejayaan kurniaan Ilahi dan dilipatgandakan usaha untuk memenuhi niat dan hasrat yang masih belum tercapai. Jangan disesali atau terlalu cepat berasa kecewa jika niat dan hasrat masih belum dimakbulkan oleh Ilahi, tetapi sandarkanlah bahawa apa-apa juga yang berlaku telah ditakdirkan oleh Allah yang Maha Berkuasa.

Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Berusahalah untuk mendapatkan apa-apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah serta janganlah berasa lemah (putus semangat). Jika engkau ditimpa sesuatu (musibah), janganlah engkau berkata, ‘Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu’, tetapi katakanlah, ‘Ini telah ditakdirkan Allah dan Allah berbuat apa-apa sahaja yang Dia kehendaki’.” (Hadis riwayat Muslim).

Ayat 159 Surah Ali ‘Imran pada mukadimah mengingatkan kita tentang pentingnya memperteguh azam ketika melaksanakan sesuatu usaha, dikembari dengan niat yang ikhlas, di samping bertawakal dengan sepenuh keyakinan terhadap Allah SWT. Susulilah azam dan niat dengan keyakinan serta usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kesungguhan dalam melaksanakan usaha kebaikan ialah jihad yang dituntut dalam Islam.

Firman Allah SWT,

(Surah al-‘Ankabut 29:69)

Maksudnya: “Dan orang yang berjihad dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, maka Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan). Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah diberi kepada orang yang berbuat baik.”

Ayat ini menjelaskan bahawa usaha yang bersungguh-sungguh akan mendapat petunjuk dan bantuan daripada Allah SWT. Sedarilah! Dunia ini merupakan tempat untuk kita beramal. Kita diangkat bertaraf khalifah dengan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi. Segala amal makruf yang disempurnakan di dunia ini akan menjadi bekalan untuk akhirat. Setiap amalan yang kita lakukan akan dilihat oleh Allah SWT. Setiap amalan akan dibalas sesuai dengan niat dan usaha yang dilakukan.

Oleh hal yang demikian, ummah hendaklah sentiasa berusaha dengan sebaik-baik dan seikhlas mungkin dalam setiap amalan yang dilakukan kerana apa-apa juga kerja yang dilakukan bukan sahaja memberikan kesan kepada kehidupan di dunia, bahkan akan dihisab oleh Allah SWT untuk diberikan pembalasan di akhirat.

Bersempena dengan tahun baharu 2025, yang berikut merupakan perkara penting untuk dihayati:

Pertama: Ummah disarankan supaya bermuhasabah, menilai pencapaian dan ketidakcapaian matlamat yang ditetapkan pada tahun 2024. Bersyukurlah atas kejayaan yang telah dikurniakan oleh Ilahi, di samping mengenal pasti kelemahan diri yang telah menjadi penyebab ketidakcapaian lalu mengambil langkah penambahbaikan agar mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2025.

Kedua: Memperteguh azam untuk meningkatkan amal makruf dan menjauhi perkara mungkar agar kehidupan mendapat keredaan Ilahi. Berusahalah untuk solat berjemaah pada setiap waktu, menjadikan amalan harian membaca al-Quran, menambah ilmu pengetahuan dan menghadiri majlis ilmu serta banyakkan berzakat, berwakaf, bersedekah dan berinfak.

Ketiga: Berusaha untuk lebih berjimat cermat, mengurangkan pembaziran, menambahkan simpanan dan tabungan untuk masa hadapan selain berusaha untuk meningkatkan tahap kesihatan melalui disiplin beriadah dan mengawal makanan.

Keempat: Setiap azam dan usaha diniatkan untuk mencari keredaan Ilahi. Amatlah rugi jika azam dan usaha bertujuan untuk meraih keuntungan duniawi sehingga tergamak melakukan perkara mungkar yang dimurkai oleh Ilahi seperti menipu, mencuri, melakukan rasuah dan pecah amanah. Ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah SWT dalam setiap azam dan usaha yang kita lakukan selaras dengan sabda Nabi SAW,

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat (balasan) berdasarkan apa-apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kelima: Setiap usaha mestilah mematuhi syariah, dilaksanakan dengan tekun dan sempurna kerana sifat tekun dan sempurna menjadi sebab kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya seperti sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (tekun dan sempurna).” (Hadis riwayat al-Baihaqi).


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 3 Januari 2025, bertajuk “Tahun Baharu: Memperteguh Azam – Memugar Usaha”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.