Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Global (MyChild International) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Tabung Kebajikan Kanak-kanak Global yang berlangsung di Hotel Jerai, baru-baru ini.
Pengerusi pertubuhan tersebut, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, matlamat tabung adalah bagi menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak berkeperluan akibat pelbagai penderitaan yang dialami disebabkan oleh kemiskinan, mangsa perang, eksploitasi, keganasan, bencana alam dan dinafikan perlindungan.
Mengikut Peace Research Institute Oslo (PRIO) dan Save the Children, sebanyak 468 juta kanak-kanak di dunia hidup dalam kesan perang dan konflik.
Hal ini bermakna satu daripada enam kanak-kanak berada dalam zon konflik, manakala 30 juta kanak-kanak pula mengalami pemindahan paksa akibat perang dan konflik.
Menurutnya lagi, bantuan tersebut akan melibatkan keperluan kanak-kanak dalam hal ehwal pendidikan, kesihatan, keperluan asas, rawatan, perlindungan, tempat tinggal dan keselamatan.
Tabung tersebut merupakan inisiatif khusus yang memfokuskan pelbagai isu kebajikan kanak-kanak merentas agama, bangsa dan negara.
“Kami akan menggerakkan usaha keras supaya masyarakat dan kerajaan Malaysia serta seluruh negara dunia memberikan kerjasama bagi mengeluarkan kanak-kanak daripada penderitaan akibat menjadi mangsa pelbagai keadaan, agar segera diselamatkan terutama di kawasan konflik.
“Kami juga mengambil berat dan berpandangan serius terhadap laporan tentang situasi kanak-kanak di dunia mengikut badan dunia Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) yang menjadi agensi bertanggungjawab melindungi ehwal dan kebajikan kanak-kanak,” katanya.
Mohd Azmi berkata, di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sepatutnya kanak-kanak terlindung di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child) 1989 (CRC) yang sudah berusia 35 tahun.
Namun begitu, situasi kehidupan kanak-kanak di dunia semakin meruncing. Mengikut laporan UNICEF dan Bank Dunia pada 2023 sahaja, sebanyak 333 juta (satu daripada enam) kanak-kanak hidup dalam kemiskinan.
CRC sepatutnya dapat melindungi nyawa kanak-kanak di seluruh dunia. Hal tersebut merupakan perjanjian untuk menjamin kehidupan kanak-kanak oleh pihak kerajaan, sistem PBB dan sistem multilateral, komuniti swasta dan masyarakat sivil untuk membangunkan polisi dan pendekatan yang berkesan ketika dunia berdepan dengan cabaran semasa terhadap kanak-kanak yang kronik.
Mohd Azmi yang juga Pengerusi MAPIM menambah, “Kami percaya kepada pendekatan memandang masa hadapan untuk menjamin hak kanak-kanak. Dengan dana yang mencukupi, mengatasi nasib kanak-kanak yang terlantar dan teraniaya dapat dibantu.
“Kami mengharapkan pelbagai pihak dapat menyumbang kepada tabung ini untuk mencapai matlamat membantu kanak-kanak yang mengalami pelbagai masalah.”