1 Januari 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hijrah dalam konteks Islam bukan semata-mata perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain seperti peristiwa bersejarah hijrah Rasulullah SAW dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawarrah. Lebih daripada itu, hijrah merangkumi perubahan diri ke arah yang lebih baik, iaitu daripada sifat buruk kepada sifat terpuji; daripada gelapnya dosa kepada cahaya taubat; serta daripada kelemahan kepada kekuatan rohani.

Ketibaan Tahun Baharu 2025 sewajarnya menjadi titik tolak untuk kita merenung kembali perjalanan hidup, memperbaharui azam dan melaksanakan hijrah diri yang berterusan. Hanya dengan usaha istiqamah inilah kita dapat meningkatkan nilai diri dan darjat ketakwaan kepada Allah SWT.

 

Hijrah Menurut Islam

Hijrah berasal daripada perkataan Arab, iaitu hajara yang bermaksud meninggalkan, berpindah atau berpisah. Menurut konteks rohani pula, hijrah diri bermaksud meninggalkan segala perbuatan dosa dan maksiat serta berpindah ke jalan yang diredai oleh Allah SWT seperti firman Allah yang bermaksud,

Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. (Ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah al-Baqarah, 2:218).

Ayat ini menjelaskan bahawa hijrah ialah satu daripada ciri utama orang yang beriman dan proses hijrah merupakan jalan menuju rahmat Allah SWT. Sebagai orang yang beriman, hijrah diri amat diperlukan dalam segenap aspek kehidupan bermula dengan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Seorang Muslim ialah seseorang yang menjadikan Muslim lainnya selamat daripada lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) ialah seseorang yang meninggalkan apa-apa yang Allah larang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menekankan bahawa hijrah bukan hanya tentang perpindahan fizikal tetapi juga tentang usaha mengawal diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Oleh itu, hijrah memerlukan proses perubahan diri yang semata-mata mengharapkan reda daripada Allah SWT.

 

Proses Hijrah Diri

Pertama: Kesedaran dan Niat Ikhlas

Hijrah diri bermula daripada kesedaran terhadap kelemahan dan dosa yang dilakukan serta niat ikhlas untuk berubah seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan)’, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa-apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia Memberitahu kepada kamu apa-apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah al-Tawbah 9:105).

Sementara itu, Imam al-Ghazali menekankan kepentingan niat dalam segala perbuatan. Beliau berkata, “Setiap amal perbuatan bergantung pada niat dan setiap orang akan mendapatkan apa-apa yang telah diniatkan.” Niat yang ikhlas ialah langkah pertama dalam proses hijrah diri yang sejati.

Kedua: Taubat Nasuha

Taubat ialah langkah terpenting dalam hijrah diri. Hijrah memerlukam penyesalan yang mendalam terhadap dosa yang telah dilakukan dan memohon ampun kepada Allah SWT. Seterusnya, seseorang yang bertaubat perlulah berazam dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “… Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, agar kamu berjaya.” (Surah al-Nur 24:31).

Imam al-Ghazali menegaskan bahawa taubat ialah pintu pertama menuju kebahagiaan rohani. Beliau berkata, “Taubat merupakan kunci kepada rahmat dan kejayaan.” Dengan taubat, seseorang dapat membersihkan hati dan membuka jalan menuju kesempurnaan rohani.

Ketiga: Memperkuat Hubungan dengan Allah

Setelah bertaubat, seseorang perlu memperkuat hubungan dengan Allah SWT melalui ibadat seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan berzikir. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT berfirman: ‘Jika seseorang hamba mendekati-Ku sejengkal, nescaya Aku mendekatinya satu hasta. Jika dia mendekati-Ku satu hasta, nescaya Aku mendekatinya satu depa. Jika dia mendatangi-Ku dengan berjalan kaki, nescaya Aku mendatanginya dengan berlari kecil.'” (Hadis riwayat al- Bukhari)

Dalam hal ini, Imam al-Ghazali ada menyatakan, “Barang siapa mengenal Allah SWT dengan sebenar-benar pengenalan, maka dia akan mencintai-Nya, dan barangsiapa mencintai-Nya, maka dia akan selalu mengingati-Nya.” Menguatkan hubungan dengan Allah SWT melalui ibadat ialah cara untuk mengenal dan mencintai Allah SWT.

Keempat: Menjaga Pergaulan dan Memilih Sahabat

Sahabat yang baik akan membantu seseorang dalam proses hijrah diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seseorang itu mengikuti agama sahabatnya, maka hendaklah seseorang daripada kalian memperhatikan siapa-siapa yang dia jadikan sebagai sahabat.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Imam al-Ghazali menyarankan agar memilih teman yang baik dan menjauhkan diri daripada pergaulan yang buruk. Beliau berkata, “Teman yang baik ialah cerminan bagi diri sendiri, sedangkan teman yang buruk merupakan pintu kepada kebinasaan.” Maka itu, pergaulan yang baik akan membawa kepada pembentukan akhlak yang mulia.

Kelima: Berbuat Baik dan Beramal Soleh

Berbuat baik kepada manusia dan beramal soleh ialah tanda hijrah yang sebenar. Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa, iaitu orang yang menafkahkan (menderma) hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. (Ingatlah) Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran 3:133–134).

Imam al-Ghazali berkata, “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah yang berkesinambungan meskipun sedikit.” Amalan soleh yang dilakukan secara konsisten akan membawa kepada keredaan Allah SWT dan peningkatan rohani yang berterusan.

 

Hijrah Diri dan Ketenangan Jiwa

Hijrah diri juga berkaitan dengan usaha mencari ketenangan jiwa dan kebahagiaan sejati. Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din menulis tentang pentingnya hati yang bersih dan tenang. Beliau berkata, “Kebahagiaan sejati terletak pada ketenangan hati dan kebersihan jiwa daripada segala penyakit rohani.” Hijrah diri membantu seseorang mencapai ketenangan jiwa dengan menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan hati serta mendekatkan diri kepada Allah.

 

Menghadapi Cabaran dalam Hijrah Diri

Proses hijrah diri tidaklah mudah dan sering kali diiringi dengan pelbagai cabaran. Imam al-Ghazali menekankan pentingnya kesabaran ketika menghadapi ujian. Beliau berkata, “Sabar ialah kunci kejayaan dalam setiap usaha menuju kebaikan. Tanpa sabar, usaha tersebut akan mudah goyah dan gagal.” Kesabaran merupakan elemen penting dalam hijrah diri kerana dapat mendorong seseorang untuk tetap teguh melalui proses perubahan.

Hijrah diri merupakan perjalanan yang panjang dan berterusan untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Proses ini memerlukan kesabaran, usaha yang konsisten dan doa yang ikhlas agar diberi kekuatan serta petunjuk.

Imam al-Ghazali mengakhiri nasihatnya, “Berusahalah untuk menjadi lebih baik setiap hari. Jangan biarkan hari yang berlalu tanpa peningkatan dalam dirimu kerana kehidupan yang sebenar ialah kehidupan yang penuh dengan usaha dan peningkatan menuju kebaikan.”

Semoga kita dapat menjiwai nasihat ini dan terus berhijrah menuju keredaan Allah SWT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.