Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuantan – Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) bertekad untuk menjadikan institusi tersebut sebagai hab kesusasteraan Islam di Pahang.
Komitmen tersebut dinyatakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 DPMP yang diadakan di Hotel Seri Manja, Bandar Indera Mahkota, pada 28 Disember lalu.
Menurut Timbalan Presiden DPMP, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil, usaha tersebut direalisasikan melalui penganjuran Bengkel Penulisan Puisi Islam sebanyak dua siri pada tahun ini di Cameron Highlands dan Raub, sekali gus menggerakkan keterlibatan aktif DPMP kawasan tersebut.
“Fokus kami adalah pada puisi Islam yang berasaskan rasa cinta dan sayang kepada Nabi Muhammad SAW.
“Kesusasteraan ini menggabungkan unsur kerohanian, nilai moral dan panduan hidup berpaksikan ajaran al-Quran dan hadis,” katanya.
Beliau menambah, puisi Islam mampu menggambarkan perjalanan hidup manusia sebagai suatu proses yang penuh tanggungjawab, cabaran dan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjadi insan yang penuh hikmah.
Sementara itu, Setiausaha DPMP, Encik Mohd Arif Talib menyokong penuh inisiatif ini.
Beliau menyatakan bahawa kesusasteraan Islam termasuklah puisi, berfungsi sebagai alat untuk mengingatkan manusia tentang tujuan hidup mereka, iaitu untuk menyembah Allah dan mengikuti jalan yang benar sepanjang hidup.
Katanya,
Puisi Islam memberikan gambaran tentang pelbagai aspek kehidupan, termasuklah kejadian manusia, ibadat, pekerjaan, perkahwinan, ekonomi, politik, sehingga kehidupan selepas mati, titian sirat dan pembalasan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
“Hal yang demikian menjadi peringatan buat kita bahawa setiap amal di dunia akan dihisab di akhirat kelak,” ujar beliau.
Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 DPMP turut dihadiri oleh Presiden DPMP, YH Prof. Emeritus Dato’ Mansor Abdullah dan Naib Presiden DPMP, Tuan Haji Asmui Mustapha.
Mesyuarat tersebut mendapat sambutan baik dengan kehadiran penuh wakil DPMP kawasan.