Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAkhlak merupakan perkara asas yang perlu ada dalam diri setiap manusia demi kemajuan masyarakat selain menunjukkan ketinggian sesuatu tamadun. Kamus Dewan Perdana mendefinisikan akhlak sebagai budi pekerti dan sifat-sifat mulia. Sudah menjadi kewajipan bagi setiap individu untuk memiliki akhlak yang baik demi keharmonian dan kesejahteraan hidup. Pembinaan akhlak juga merupakan suatu ibadat yang perlu berlandaskan ajaran Islam.
Realiti pada hari ini memperlihatkan pelbagai isu keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang semakin membimbangkan termasuklah permasalahan sumbang mahram, zina dan kehamilan luar nikah. Perbuatan tersebut menzahirkan kelemahan iman seseorang sehingga boleh mencemarkan identiti dan kesucian Islam.
Gejala keruntuhan akhlak ini jika tidak dikawal akan membarah sekali gus mengakibatkan kemudaratan yang boleh merobohkan sistem nilai dalam kalangan masyarakat. Oleh hal yang demikian, akhlak dan nilai yang baik merupakan perisai dan benteng daripada gejala negatif seterusnya mampu membentuk sesebuah keluarga, institusi mahupun individu yang bersifat sabar, saling berkebajikan dan bertolak ansur.
Krisis keruntuhan akhlak remaja bukanlah suatu isu yang baharu. Antara punca utama permasalahan tersebut termasuklah institusi kekeluargaan yang tidak berfungsi dengan sebaik-baiknya. Peranan ibu bapa amat kritikal untuk membentuk dan mendidik generasi muda. Ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak serta mengambil tahu siapakah kenalan mereka? Hal ini sangat penting bagi menghindari masalah sosial yang boleh merosakkan masa depan anak-anak.
Pendidikan agama pula seharusnya diterapkan sejak kecil agar dapat membentuk sahsiah yang unggul. Pendidikan agama terbukti bukan sahaja dapat membina sahsiah, malah lebih daripada itu, dapat mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam sesebuah keluarga.
Selain itu, didapati bahawa tingkah laku remaja pada hari ini banyak dipengaruhi oleh dunia media sosial. Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan remaja memiliki telefon pintar untuk tujuan berhubung dan mengakses bahan pembelajaran. Namun demikian, terdapat segelintir daripada mereka yang menyalahgunakan telefon pintar untuk menonton rancangan hiburan dan mengikuti artis kegemaran. Lebih parah lagi apabila remaja kini mudah terpengaruh dengan kehidupan dan tingkah laku daripada rancangan hiburan tersebut.
Rancangan hiburan yang memperlihatkan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan serta watak berpakaian yang tidak sesuai menjadi faktor utama yang mempengaruhi remaja untuk kelihatan lebih menarik demi keseronokan. Bahana daripada pergaulan bebas, tanpa mereka sedari akan membawa kepada perbuatan yang jauh terpesong seperti khalwat dan perzinaan malah yang lebih menyedihkan ialah kes kelahiran bayi tidak sah taraf akibat kehamilan luar nikah.
Oleh hal yang demikian, Allah SWT telah melarang mendekati perbuatan zina seperti dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’ 17:32). Sikap masyarakat yang tidak endah akan pergaulan bebas lelaki dan perempuan boleh membawa kepada maksiat yang lebih besar.
Akibat daripada pergaulan bebas, segelintir daripada golongan remaja telah terjerumus dalam perbuatan zina yang sangat membimbangkan. Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 17 646 orang remaja tidak berkahwin ketika hamil dalam tempoh lima tahun lalu. Hal ini amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja Islam. Gejala tidak bermoral ini perlu diperhalus masalah dan penyelesaiannya kerana keadaannya yang semakin kritikal dan menggambarkan betapa seriusnya masalah sosial golongan remaja pada hari ini.
Penyelesaian yang boleh dilakukan bagi mencegah krisis ini adalah dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan dalam kehidupan untuk membina modal insan yang terbaik akhlaknya. Akhlak dan sunah Rasulullah SAW perlu dicontohi kerana selari dengan kehendak al-Quran. Akhlak Rasulullah SAW telah dijadikan ikutan oleh generasi para sahabat, dan umat Islam pada hari ini sewajarnya meneladani akhlak Baginda. Rasulullah SAW terkenal sebagai seseorang yang bersifat pemurah, penyayang dan berakhlak mulia yang menyebabkan Baginda dihormati dalam kalangan kaumnya.
Di samping itu, peranan ibu bapa sangat penting dalam usaha membentuk akhlak anak-anak. Ibu bapa perlu memantau setiap gerak-geri dan mengenal pasti permasalahan mereka. Ibu bapa juga seharusnya mengenali kenalan anak-anak agar sesuatu yang negatif dapat dibendung sejak awal. Selain itu, ibu bapa perlu menerapkan penghayatan anak-anak terhadap agama serta menyemai nilai murni sejak kecil seperti kata pepatah, “melentur biarlah waktu rebung” untuk membentuk peribadi yang mulia.
Dalam konteks sesebuah negara, pemimpin juga berperanan penting dalam pembentukan nilai jati diri remaja. Pemimpin yang berintegriti dan berakhlak mulia sedikit sebanyak dapat mempengaruhi tindak-tanduk golongan remaja. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas wajar dilaksanakan untuk menangani krisis akhlak remaja dengan lebih berkesan sesuai dengan tuntutan semasa.
Daripada `Imran bin Husain r.a., beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Sifat malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” (Hadis muttafaq `alaih). Dalam hadis riwayat Muslim, disebut bahawa, “Sifat malu itu baik seluruh akibatnya.” Berdasarkan hadis ini, sifat malu yang dimaksudkan ialah sifat malu yang menghalang seseorang daripada melakukan dosa dan kejahatan.
Remaja yang memiliki rasa malu dalam diri, berakhlak mulia dan berfikiran positif merupakan harapan dan pelapis kepada pemimpin negara untuk masa hadapan. Pemimpin yang berintegriti dan berakhlak mulia pula mampu mengemudi negara mencapai kemajuan serta keharmonian demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.