20 Disember 2024, 22:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Wahai manusia, makanlah daripada makanan yang halal dan baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah 2:168)

Makanan halal merupakan segala jenis makanan yang dibenarkan untuk dimakan berlandaskan hukum syarak. Makanan ialah satu keperluan asasi untuk membolehkan manusia terus hidup. Lazimnya, manusia makan tiga kali sehari, iaitu pada waktu pagi, petang dan malam bagi memenuhi keperluan jasmani. Pengambilan makanan yang halal, bersih dan baik akan menatijahkan pelbagai faedah; membentuk jiwa bertakwa, di samping membina sahsiah Muslim yang baik.

Islam menuntut umatnya agar mencari makanan yang bersih lagi halal. Ayat 168 Surah al-Baqarah menunjukkan perintah mencari makanan halalan tayyiban, yang halal lagi bersih, suci dan diyakini; bukan sekadar kebersihan luaran bahkan dipastikan juga kebersihan kandungan, kualiti bahan, malah turut memberikan perhatian terhadap kebersihan proses menghasilkan makanan serta keselamatan menggunakan sesuatu makanan.

Umat Islam hendaklah mengutamakan makanan yang halal, segar, berkualiti dan berkhasiat. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan makanan yang dihidangkan kepada anak ialah makanan yang halal, bersih, berkhasiat serta mengelakkan makanan yang berkemungkinan mendatangkan risiko atau memberikan mudarat.

Kemudahan kaedah dan teknologi pemprosesan makanan terkini membolehkan manusia menghasilkan pelbagai makanan selain mudah mendapatkannya melalui pelbagai saluran khidmat penghantaran. Namun begitu, Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam agar mencari makanan yang halal, menjauhi makanan yang haram serta makanan yang diragui atau samar-samar status halalnya.

Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, dan antara kedua-duanya terdapat perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh banyak manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah maka dibimbangkan terjerumus dalam perkara haram.” (Hadis riwayat Muslim).

Yang berikut merupakan kesan makanan halal terhadap pembinaan sahsiah Muslim:

Pertama: Membentuk jiwa yang suci dan bersih, iaitu pengambilan makanan yang halal dan bersih menandakan kepatuhan seseorang hamba kepada syariat Islam selain mencerminkan jiwa yang bersih dan taat kepada Allah SWT.

Kedua: Membentuk perilaku murni, iaitu makanan yang halal serta bebas daripada unsur syubhah dan haram akan menatijahkan perlakuan dan akhlak yang terpuji, manakala makanan yang mengandungi unsur syubhah dan haram, seperti makanan hasil daripada kegiatan mencuri, menipu dan rasuah serta penyembelihan yang tidak mengikut syarak, akan mengakibatkan perlakuan buruk yang terbit daripada hati yang kotor seperti bersifat degil, keras hati dan tidak jujur.

Ketiga: Mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal, iaitu pengambilan makanan yang berkualiti dan halal berupaya mengurangkan risiko dijangkiti penyakit, mencerdaskan minda, malah tubuh badan menjadi lebih sihat dan bertenaga untuk melakukan ibadat, riadah dan kegiatan berfaedah yang turut memberikan kebaikan terhadap kesihatan mental.

Keempat: Memupuk keberkatan dan asbab doa dimustajabkan, iaitu makanan halal dijamin oleh Allah SWT akan membawa keberkatan hidup selain merupakan syarat untuk sesuatu amalan dan doa diperkenankan. Rasulullah SAW memperingatkan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Hurairah RA yang bermaksud, “Seorang lelaki yang bermusafir jauh menadah tangan ke langit dan berdoa ‘Ya Tuhan, perkenankan doaku’ sedang makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan apa-apa yang disuapkannya haram, maka bagaimanakah doanya akan diperkenankan?”

Oleh hal yang demikian, umat Islam dinasihatkan agar mengamalkan perkara seperti yang berikut:

Pertama: Memilih makanan halal lagi bersih, hukumnya wajib dan tidak boleh dipandang ringan.

Kedua: Umat Islam sebaik-baiknya memilih dan mengutamakan tempat makanan yang memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu tempat makan yang bersih selain memastikan kaedah penyediaan makanan terjamin bersih.

Ketiga: Memastikan status halal, ramuan dan kandungan setiap bahan atau produk makanan yang mahu dibeli, terutamanya bahan dan produk yang diimport dari luar negara.

Keempat: Para usahawan, pengeluar dan peniaga digalakkan membuat permohonan sijil halal daripada pihak berkuasa agar masyarakat mendapat panduan kegunaan yang betul di samping berlaku jujur untuk memastikan bahan dan produk makanan yang dihasilkan serta dijual halal, bersih dan selamat.

Kelima: Para pengguna dinasihatkan agar menyemak status halal sesuatu produk menerusi laman sesawang, www.myhalal.gov.my atau memuat turun aplikasi Smart Halal.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 20 Disember 2024, bertajuk “Makanan Halal: Kesan pada Pembinaan Sahsiah Muslim”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.