Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Bank Kerjasama Rakyat telah menyampaikan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM245,708 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring.
Sumbangan zakat telah dipersembahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, YBrs. Profesor Dr. Haji Raduwan Idar kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.
Menurut YBrs. Profesor Dr. Raduwan, sumbangan ini merupakan manifestasi komitmen Bank Rakyat dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memastikan manfaat zakat dapat disalurkan secara menyeluruh kepada asnaf yang memerlukan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata program ini merupakan cerminan gabungan usaha sama antara Bank Rakyat dengan MAIPs untuk memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi serta membantu golongan asnaf di negeri Perlis.
“Sumbangan zakat Bank Rakyat ini akan disalurkan kepada golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif termasuklah bantuan kewangan, pendidikan, perubatan dan pembangunan komuniti,” katanya.
Tambah beliau lagi, sumbangan zakat ini menggambarkan kesungguhan Bank Rakyat dalam menyokong inisiatif kemasyarakatan.

“Program Kayuhan MAIPs Peduli ini merupakan inisiatif berterusan yang menggabungkan elemen kemasyarakatan dan kebajikan, di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat.
“Program ini juga menjadi medium efektif untuk menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” jelas beliau.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyempurnakan lawatan ke beberapa lokasi sekitar Pauh Guring dan Arau, serta berkenan merasmikan Restoran Usahawan Asnaf MAIPs yang diusahakan oleh Encik Mohd Khalis Mat Shah di Warung Pertubuhan Kebajikan Guar Sanji (GS Care).
Baginda juga turut melawat Pusat Latihan Renang RNJ Arau, iaitu sebuah inisiatif komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan pelibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti riadah yang sihat.