2 Disember 2024, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cerapan matahari penting dalam penentuan waktu solat. Secara asasnya, penetapan waktu solat yang diikuti oleh umat Islam dilakukan  berpandukan nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Antara dalil al-Quran yang berkaitan dengan perkara tersebut termasuklah ayat 3 Surah al-Nisa yang bermaksud,

Sesungguhnya sembahyang merupakan satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Nurulhuda Ahmad Zaki berkata dalam segmen “Merungkai Fatwa, Menjejak Falak” di studio Mutiara FM pada Rabu lalu, menerusi ayat tersebut, pelaksanaan solat mestilah berada dalam waktunya dan perkara tersebut merupakan satu daripada syarat sah solat. Oleh itu, hukum solat fardu yang dilakukan bukan pada waktunya ialah tidak sah.

Hal ini dikatakan demikian kerana sejak zaman Rasulullah SAW, sahabat, tabiin, tabi’ tabiin hingga kini, pelaksanaan solat fardu subuh, zuhur dan asar pada waktu siang manakala maghrib dan isyak pada waktu malam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Selain itu, terdapat ayat al-Quran menyatakan bahawa solat fardu zuhur, asar, maghrib dan isyak perlu dilaksanakan dalam tempoh daripada gelincir matahari hingga gelap malam seperti yang difirmankan Allah SWT dalam ayat 78 Surah al-Isra’ yang bermaksudDirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh, sesungguhnya sembahyang subuh itu disaksikan (keistimewaannya)”.

“Gelincir matahari” berlaku pada waktu tengah hari dan boleh diketahui apabila kedudukan matahari mula condong sedikit di sebelah barat dan memunculkan bayang-bayang sesuatu objek dan menandakan permulaan masuk waktu solat zuhur.

Begitu juga dalam ayat 114, Surah Hud yang bermaksud, “Dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.”

Kesemua ayat al-Quran tersebut bersifat umum dan tidak menjelaskan waktu tersebut secara spesifik. Oleh itu, hadis Rasulullah SAW berperanan untuk mentafsirkannya secara khusus tentang permulaan dan pengakhiran setiap waktu solat fardu sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru. Rasulullah SAW bersabda maksudnya,

Waktu Zuhur adalah apabila matahari tergelincir sehingga bayang-bayang seseorang sama panjang dengan badannya selama waktu Asar belum tiba. Waktu Asar adalah selama cahaya matahari belum warna kekuningan. Waktu maghrib adalah selama mega merah belum lenyap dan waktu Isyak adalah hingga tengah malam kedua, sedangkan waktu Subuh bermula sejak terbit fajar hingga matahari terbit. Jika matahari terbit, maka hentikanlah solat kerana ia (matahari) terbit di antara dua tanduk syaitan.” (Hadis riwayat Muslim).

Kepentingan kedudukan matahari dalam penentuan batas waktu bagi setiap solat fardu sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Kredit gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Hadis Rasulullah SAW tersebut merupakan garis panduan utama untuk dilihat dari aspek ilmu falak kerana penghasilan jadual waktu solat lazimnya berpandukan kajian ilmu falak melalui pentafsiran kedudukan matahari dalam kaedah fiqah.

Menurut beliau, dalam konteks zaman moden, waktu solat di Malaysia merujuk jadual yang dikeluarkan oleh jabatan mufti negeri. Penghasilan jadual ini melalui prosedur khusus dan ketat termasuklah penyemakan serta pengesahan data cerapan yang terkumpul berpandukan kepada kaedah syarak.

Jadi, ahli falak mentafsirkan apa-apa yang dinyatakan dalam kaedah fiqah dalam bentuk astronomi dengan menggunakan kaedah hitungan. Kita menghitung rumus kedudukan matahari yang menghasilkan jadual waktu solat yang diguna pakai pada hari ini.

Umat Islam tidak perlu khuatir akan jadual waktu solat yang dikeluarkan oleh pihak jabatan mufti negeri yang telah mengikut kaedah fiqah.

Di samping itu, beliau turut mengulas isu laungan azan sebelum masuk waktu solat ialah kes yang terpencil kerana kebanyakannya disebabkan oleh masalah teknikal, iaitu pertukaran daripada jenis jam analog kepada jenis jam digital tanpa merujuk waktu standard Malaysia daripada SIRIM sehingga mengakibatkan waktu yang diguna pakai tidak seragam seperti kes yang pernah berlaku di Gombak, Selangor pada tahun 2021.

Sementara itu, Penolong Mufti (Pusat Falak), Jabatan Mufti Pulau Pinang, YBrs. Encik Mohd Zulhelmi Mohd Yusof menerangkan bahawa waktu solat di sesebuah negeri bergantung pada saiz negeri tersebut. Semakin luas negeri tersebut, semakin banyak zon waktu solat yang wujud seperti Sabah, Sarawak dan Selangor memiliki banyak zon waktu berbanding dengan Pulau Pinang yang lebih kecil saiznya.

Berdasarkan perkiraan falak, kita mendapati terdapat perbezaan sekitar satu hingga dua minit sahaja dari kawasan paling barat ke kawasan paling timur Pulau Pinang yang tidak memerlukan pecahan zon waktu yang banyak, sekadar satu zon sudah mencukupi.

Walau bagaimanapun, jadual yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang mempunyai catatan penambahan sebanyak empat minit bagi waktu solat maghrib dan pengurangan empat minit bagi waktu syuruk untuk kawasan yang  terletak di tanah tinggi.

“Kaedah penentuan waktu solat yang dilaksanakan di Pulau Pinang menggunakan hisab falak berpandukan kepada kaedah multipoint atau panca titik yang pelbagai untuk mendapatkan data waktu supaya dapat menetapkan satu waktu solat yang diguna pakai di seluruh Pulau Pinang,” katanya.

“Titik-titik ini dipilih setelah kajian dilaksanakan terhadap pengaruh variasi kedudukan matahari di langit setiap hari. Kaedah panca titik mengambil kira parameter kedudukan matahari di langit untuk mendapatkan satu set data waktu solat,” ujarnya lagi.

Pemakaian kaedah satu titik tidak digunakan kerana kedudukan paksi bumi yang condong sekitar 23° menyebabkan waktu terbit dan terbenam matahari tidak sama setiap hari yang pada akhirnya waktu solat berlaku perbezaan sepanjang tahun.

Kecondongan paksi bumi sekitar 23° menyebabkan waktu terbit dan terbenam matahari berbeza-beza sepanjang tahun.

Sehubungan dengan itu, data waktu yang diperoleh oleh Jabatan Mufti akan disemak dengan data waktu daripada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sebelum disahkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Falak Negeri Pulau Pinang untuk diterbitkan serta diedarkan kepada umat Islam.

Dalam keadaan tertentu, terdapat kesukaran untuk menentukan waktu solat bagi umat Islam yang melancong ke luar negara terutamanya di kawasan altitud 66° dan ke atas, yakni kawasan Artik seperti Alaska dan Siberia yang mengalami fenomena malam kutub atau polar night yang mana tidak boleh dibezakan waktu matahari terbit dan terbenam.

Kawasan Artik dalam bulatan biru yang berada pada altitud 66° ke atas. Kredit gambar: Wikipedia

Terdapat dua pandangan ulama berkaitan dengan perkara tersebut. Pendapat pertama, waktu solat ditentukan berpandukan negara berdekatan yang panjang siang dan malamnya boleh dibezakan dalam tempoh 24 jam seperti negara di rantau Scandinavia, iaitu Sweeden dan Norway, manakala pendapat yang kedua pula, ulama berpandangan boleh mengikut waktu solat di Makkah yang lebih muktadil berbanding dengan waktu solat di kawasan Artik yang agak rapat.

Walau bagaimanapun, kita perlu merujuk pihak berautoriti Muslim di kawasan tersebut untuk mengelakkan perselisihan faham yang tidak diingini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.