Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIlmu tasawuf atau dikenali sebagai ilmu tazkiyah al-nafs (penyucian hati dan jiwa) merupakan sebahagian daripada ilmu penting dalam Islam yang menempati rukun ketiga daripada rukun agama setelah akidah dan syariat sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW sebagai ihsan dalam hadis Jibril a.s.
Pendakwah, Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang bertajuk “Sejarah Ilmu Tasawuf dan Amalan Ilmu Tasawuf di Alam Melayu dan Selangor Darul Ehsan” di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, pada 25 November 2024 yang lalu.
“Ilmu tasawuf berasal daripada perkataan dalam bahasa Arab, iaitu al-sifat, merujuk seseorang yang memiliki sifat terpuji atau usaha membersihkan dan menyucikan jiwa,” katanya.
Selain itu, ilmu tasawuf juga dinisbahkan kepada golongan al-suffah yakni sahabat Rasulullah SAW yang tinggal berhampiran dengan rumah Baginda di Madinah, yang fokus untuk melaksanakan ibadah dan mengambil ilmu daripada Baginda.
“Imam Abu Zakaria al-Ansari menjelaskan, ilmu tasawuf ialah ilmu untuk menimbang dan mengetahui keadaan hati serta mensucikannya daripada sifat mazmumah, di samping menghidupkannya dengan amalan yang baik untuk meraih kebahagiaan yang kekal abadi,” ujar beliau.
Betapa pentingnya kedudukan hati untuk menentukan kesempurnaan ibadat seseorang selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Berapa ramai orang berpuasa tidak mendapatkan sebarang kebaikan daripada puasanya melainkan dahaga sahaja dan berapa ramai orang melakukan solat malam tetapi tidak mendapatkan sebarang kebaikan daripada solatnya melainkan letih berjaga malam.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Sesungguhnya, amal ibadat orang yang bertakwa dan ikhlas sahaja diterima oleh Allah SWT dan al-Quran menjelaskan tentang peranan hati dan jiwa dalam segala aspek kehidupan dalam Surah al-Shams, ayat 9 dan 10 yang bermaksud, Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan); dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Sementara itu, Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Muqaddimah memerihalkan ilmu tasawuf muncul apabila manusia mula cenderung kepada keduniaan dan kebendaan menerusi ahli sufi yang menjelaskan kepentingan akhirat melebihi kepentingan keduniaan serta menampilkan keindahan syariat.
Habib Ali Zaenal Abidin turut berkongsi kisah yang berlaku pada zaman awal Islam kepada para hadirin berkaitan dengan peranan besar tasawuf untuk merungkai permasalahan umat Islam tatkala cucu Rasulullah SAW, Hassan bin Ali r.a. sanggup turun daripada tampuk pemerintahan khalifah, lalu menyerahkannya kepada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a. untuk mengelakkan pertumpahan darah dalam kalangan masyarakat Iraq dan Syam akibat daripada perselisihan kuasa dan politik.
Tidak dinafikan, ilmu tasawuf sentiasa berhadapan dengan fitnah dan cabaran disebabkan pengamal ilmu tasawuf tidak berlandaskan syariat dan prinsip yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Pemahaman yang dangkal dan kejahilan tentang ilmu tasawuf dijadikan sebagai warisan daripada seorang guru kepada orang lain tanpa memiliki ilmu yang cukup telah membawa kepada kekeliruan dan kesesatan bagi pengamal tasawuf itu sendiri.
Golongan seperti ini yang merosakkan ilmu tasawuf walaupun mereka mendakwa dirinya sebagai ahli sufi.
Beliau menegaskan, tuduhan mengatakan bahawa ilmu tasawuf ialah ilmu yang tidak bertamadun, tidak melibatkan diri dalam hal keduniaan, mementingkan tasbih serta ibadat sahaja merupakan perkara yang tidak benar kerana banyak tokoh besar Islam cemerlang dalam urusan keduniaan mereka seperti Muhammad bin Wasi’ al-Azdi, Salahuddin al-Ayyubi dan Imam al-Ghazali.
Dalam konteks peranan pemimpin terhadap perkembangan tradisi ilmu tasawuf di Tanah Melayu, Sultan Selangor Ke-5, Sultan Alauddin Sulaiman Shah dikenali sebagai seorang sultan yang soleh, sentiasa mendampingi para ulama dan mengambil nasihat daripada mereka.
Baginda gemar memenuhkan masa dan umurnya untuk belajar dengan seorang ulama yang bernama Tengku Mahmud Zuhdi dan antara pelajaran yang diajar oleh beliau ialah ilmu tasawuf melalui kitab Ihya’ Ulumuddin.
Pada awalnya, apabila nama Tengku Mahmud Zuhdi mula dikenali oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah, baginda mencemar duli berangkat ke Jambi untuk menjemput Tengku Mahmud Zuhdi lalu menawarkan jawatan sebagai penasihat agama di Selangor untuk menasihati dan memimpin masyarakat dalam ilmu agama.
Justeru, keakraban dan kecintaan baginda kepada ulama yang berpegang kepada tasawuf, akidah Ahli Sunah Waljamaah aliran Asyairah dan Maturidiyah serta fiqah mazhab Syafii memberikan gambaran yang jelas bahawa pemerintahan negeri Selangor di bawah naungan baginda mengambil berat tentang penerapan ilmu agama.
Sejarah ilmu tasawuf di alam Melayu telah bermula pada abad ke-6 Hijrah dengan kemunculan pendakwah sufi yang terkenal, iaitu Sheikh Abdullah Arif di Aceh manakala Sheikh Abdullah al-Qumairi di Kedah, yang pada akhirnya ilmu tasawuf menjadi pegangan masyarakat di Nusantara.
Walau bagaimanapun, zaman kolonial telah menyebabkan penjajah Barat berusaha untuk menghilangkan nilai tasawuf dalam dada umat Islam dengan menanamkan kecintaan kepada dunia dan kebendaan sehingga institusi pondok yang dahulunya menjadi tumpuan pembelajaran umat Islam terhakis sedikit demi sedikit melalui kerancakan pembangunan sekolah penjajah.