Oleh Ruzaimi
26 November 2024, 22:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia kini menyaksikan perkembangan teknologi yang amat pesat. Kemajuan ini telah menjadikan negara di dunia umpama sebuah kampung global yang menghubungkan manusia dan merapatkan jurang antara mereka. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ini telah meningkatkan tanggungjawab kita dalam urusan dakwah dan pendidikan. Dalam era ledakan teknologi ini, kita dituntut untuk mengikuti perkembangan dan memanfaatkannya bagi memartabatkan wacana keagamaan, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh syarak.

Dalam era kemajuan teknologi yang pesat, interaksi sosial dan perkembangan manusia menjadi lebih dinamik. Hal ini membuka peluang baharu dalam usaha memahami dan menyampaikan wacana keagamaan. Dengan ruang siber sebagai platform utama, pelbagai latar belakang akan terlibat dalam perbincangan keagamaan yang meningkatkan pemahaman dan kepelbagaian perspektif. Namun begitu, wacana ini tidak terlepas daripada cabaran seperti penyebaran maklumat yang tidak tepat, ekstremisme dan polarisasi yang mungkin timbul akibat ruang gema yang terbentuk dalam talian.

Jika kita ingin membicarakan tentang ruang siber dan perkembangan media dalam wacana keagamaan, kita akan dapati hal tersebut menggabungkan antara tanggungjawab kemasyarakatan dengan kaedah mencapai maslahat serta menolak kemudaratan. Tanggungjawab kemasyarakatan merujuk cara kita menangani peluang yang diperoleh daripada kemajuan teknologi semasa, termasuklah ruang siber yang telah menjadi alat penting bagi negara untuk meningkatkan pendapatan, memperkukuh kuasa, mencapai kegemilangan dan memelihara identiti.

Kadangkala, realiti semasa tidak memberi kita pilihan sama ada untuk menerima ataupun menolaknya. Sebaliknya, hal tersebut mewajibkan kita untuk menanganinya secara positif. Di sinilah perlunya kita bijak mengurus dan memanfaatkan peluang ini. Ruang siber yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia, memberikan dua kemungkinan. Pertama, kita mengabaikannya lalu ketinggalan tanpa sebarang impak. Kedua, kita menerimanya dengan proaktif, mengolah dan berinteraksi dengannya secara berkesan. Dengan hal yang demikian, kita akan menjadi sebahagian daripada kebaikan yang disifatkan oleh Allah kepada umat ini.

Pentingnya Wacana Keagamaan pada Era Digital

Manusia sentiasa berinteraksi dan berkembang, mencari alternatif dan corak baharu sejajar dengan kemajuan saintifik dan budaya dunia. Budaya dominan dalam pelbagai bidang kehidupan, seperti peluang pekerjaan dan tingkah laku sosial tidak boleh kekal statik, terutamanya selepas berlaku banyak perubahan terhadap peraturan yang menjadi asas kepada pelbagai jenis sains dan aplikasi. Dalam konteks ini, wacana keagamaan memerlukan penyesuaian untuk mencapai matlamat yang jelas dan berkesan.

Wacana keagamaan bukan hanya penting untuk memelihara nilai agama, tetapi juga untuk membentuk pemahaman yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat. Pada era teknologi moden dan dunia komunikasi terbuka, reka bentuk wacana yang kukuh amat penting untuk mencapai mesej dan matlamatnya. Kemajuan teknologi membolehkan wacana memasuki dunia transformasi digital yang mempercepat penyampaian mesej kepada penerima, serta memperoleh maklum balas segera.

Al-Quran menggariskan pendekatan yang bijak dalam urusan dakwah, seperti dalam Surah al-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” Ayat ini menekankan tentang peri penting pendekatan yang bijaksana dan penuh hikmah dalam penyampaian wacana agama, terutamanya pada era digital yang penuh cabaran. Dalam konteks ini, penting untuk kita memanfaatkan pendigitalan ketika mengendalikan wacana keagamaan.

Cabaran Ruang Siber

Walaupun ruang siber menawarkan akses yang lebih luas terhadap pelbagai sumber keagamaan, hal tersebut juga membawa risiko yang perlu ditangani. Penyebaran maklumat yang salah dan ucapan kebencian sering kali menghantui ruang ini. Penyebaran ekstremisme dalam talian boleh menyebabkan kekeliruan dan menjejaskan kefahaman masyarakat, terutamanya golongan muda.

Sifat ruang siber yang tanpa sempadan menjadikannya sukar untuk mengawal selia kandungan. Selain itu, ruang siber juga boleh menyumbang kepada pembentukan ruang gema, iaitu individu hanya terdedah kepada pandangan dan kepercayaan yang serupa dengan mereka sendiri. Hal ini boleh menyebabkan polarisasi dan intoleransi agama, kerana individu kurang terdedah kepada perspektif yang berbeza dan kurang bersedia untuk terlibat dalam dialog yang bermakna.

Oleh itu, literasi digital dan pemikiran kritis menjadi penting bagi pengguna untuk menilai maklumat yang diterima dan terlibat dalam wacana yang bertanggungjawab. Pengguna perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk mengenal pasti maklumat yang tepat dan terlibat dalam dialog yang bermakna. Dalam Surah al-Isra’ ayat 36, Allah SWT mengingatkan kita tentang tanggungjawab untuk memilih dan mengikuti maklumat yang sahih, “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang tidak kamu ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan diminta pertanggungjawaban.”

Ayat ini mengingatkan kita tentang pentingnya untuk tidak hanya menerima maklumat, tetapi juga untuk menilai dan memahami makna di sebaliknya.

Mengoptimumkan Teknologi untuk Wacana Keagamaan

Dalam menghadapi cabaran semasa, institusi agama seperti Universiti Al-Azhar telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pusat pemantauan untuk menyebarkan fatwa yang tepat dan memantau fahaman yang menyimpang. Pusat ini berperanan menyebarkan maklumat yang sahih dan membantu masyarakat memahami prinsip agama dengan jelas. Penggunaan teknologi digital seharusnya dilihat sebagai alat untuk menyampaikan wacana keagamaan yang bertanggungjawab.

Peranan komunikasi dan penyampaian wacana keagamaan tidak boleh dipandang remeh. Wacana ini perlu diurus dengan baik agar dapat mencapai matlamatnya, iaitu menyampaikan nilai positif dan mencegah fahaman fanatik serta kebencian. Kestabilan juga memainkan peranan penting dalam usaha membolehkan individu menggunakan media yang lebih maju agar mereka dapat mengikuti perkembangan terkini.

Masyarakat juga perlu bersedia untuk menerima perubahan, memanfaatkan peluang yang ada, dan berinteraksi dengan teknologi secara positif. Kemajuan teknologi memerlukan wacana keagamaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Institusi pendidikan perlu mendidik dan membimbing semua peringkat masyarakat agar memahami dan menerima idea hidup yang mewakili budaya keagamaan mengikut wacana yang kukuh.

Kesan Positif dan Negatif Ruang Siber

Ruang siber telah menjadi wadah utama perbincangan dan perdebatan agama, serta mengubah landskap wacana keagamaan secara mendadak. Platform media sosial, forum dalam talian dan laman web telah membuka ruang baharu untuk individu daripada pelbagai latar belakang untuk terlibat dalam dialog agama, berkongsi pandangan dan berhujah tentang pendirian mereka. Satu daripada kesan positif ruang siber terhadap wacana keagamaan ialah peningkatan akses kepada maklumat dan kepelbagaian perspektif. Individu kini boleh mengakses pelbagai sumber keagamaan, termasuklah kitab suci, tafsiran dan karya ilmiah dengan mudah. Mereka juga boleh berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang agama, mempelajari kepercayaan dan amalan mereka, serta memperluas pemahaman mereka tentang agama.

Namun begitu, seperti yang telah dinyatakan, ruang siber juga menimbulkan cabaran tertentu kepada wacana keagamaan. Penyebaran maklumat yang tidak tepat, ucapan kebencian dan ekstremisme agama adalah antara kebimbangan yang semakin meningkat. Oleh itu, penting untuk memupuk literasi digital dan pemikiran kritis dalam kalangan pengguna ruang siber.

Kesimpulan

Kesimpulannya, ruang siber telah merevolusikan wacana keagamaan, serta membawa peluang dan cabaran yang memerlukan pendekatan yang bijak. Dengan memanfaatkan potensi ruang siber secara bertanggungjawab dan menangani cabarannya secara berkesan, kita dapat memupuk pemahaman dan keharmonian agama pada era digital ini.

Penggabungan kemajuan teknologi dengan nilai agama yang kuat penting agar masyarakat dapat berkembang dengan harmoni, saling menghormati dan mencegah ekstremisme dalam semua bentuknya. Oleh itu, penting untuk memanfaatkan pendigitalan dalam pengendalian wacana agama dengan baik, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan agama, dan seterusnya memelihara keutuhan masyarakat. Dalam arah yang sama, dialog antara agama dan pendekatan tamadun yang berasaskan konsep madani perlu diberikan kepentingan strategik, dengan mengambil kira pemeliharaan prinsip dan pemalar, dan hal ini seterusnya akan membawa kepada interaksi positif antara masyarakat dan penerimaan budaya alternatif yang tidak menjejaskan adat dan tradisi asli. Semua ini perlu disampaikan melalui pendigitalan media.

Akhir sekali, kepelbagaian budaya yang diperoleh daripada pengalaman dan sumbangan semua negara, budaya dan masyarakat perlu dipertimbangkan kerana hal tersebut meningkatkan nilai kemanusiaan dan mewujudkan asas bersama. Semua ini dapat dicapai dan memberikan kesan kepada penerima dan maklum balas dapat diperoleh dengan cepat jika media digital digunakan dengan baik, dan hal inilah yang perlu dimasukkan dalam wacana keagamaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.