Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangUlama mempunyai peranan yang cukup besar untuk membawa masyarakat menuju keredaan Allah SWT. Ilmu yang dianugerahkan kepada para ulama beriringan dengan tanggungjawab mereka untuk mendidik dan membimbing umat Islam ke jalan kebenaran.
Firman Allah dalam Surah al-Tawbah ayat 122 yang bermaksud, “Dan tidaklah (betul dan elok) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak antara mereka, supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).”
Bagi melaksanakan amanah ini, para ulama perlu benar-benar memahami bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk menyeru manusia kepada Allah SWT, tidak kepada yang selain-Nya. Hal ini memerlukan kebijaksanaan sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud,
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Slogan berdakwah kepada Allah SWT perlu jelas dalam diri setiap ulama agar tujuan mendidik masyarakat tidak tersasar jauh daripada kehendak yang asal. Amat menyedihkan apabila pengagungan kepada Allah SWT tidak begitu jelas terdidik dalam diri setiap masyarakat, sebaliknya pengagungan terhadap tokoh agama lebih mendapat perhatian berbanding dengan fokus mereka terhadap kandungan dan pengamalan keagamaan.
Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pemerhatian rambang terhadap media sosial misalnya, iaitu apabila terjadi sesuatu isu yang berbangkit, pasti akan ada yang melampau untuk memenangkan tokoh agama yang menjadi sanjungan, seraya “menyerang” pula pihak yang berbeza dengan mereka. Tiada bangkit kesedaran dalam diri mereka bahawa segala-galanya sedang diperhatikan oleh Allah SWT lantaran keutamaan mereka terfokus kepada tokoh yang menjadi pujaan dan sanjungan. Lantaran itu, berlakulah normalisasi membuat cemuhan, perlian bahkan makian terhadap pihak yang dianggap sebagai lawan. Perasaan khashyah Allah atau takutkan Allah tidak lagi diendahkan.
Oleh hal yang demikian, para ulama seharusnya menumpukan perhatian terhadap pembinaan ummah supaya menjadi ahl Allah dan bukan menjadi seperti ahli kitab. Ahl Allah yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang sentiasa berada dalam takut (khauf) dan harap (raja’) kepada Allah lantaran sudah mencapai tahap makrifat kepada-Nya. Ahli kitab pula merujuk golongan yang “terbelenggu” dengan perbahasan ilmu semata-mata tanpa mencapai makrifat kepada Allah, sehingga tergamak menjadikan ilmu sebagai “senjata” untuk lebih menyemarakkan lagi pertengkaran dan pergeseran dalam masyarakat.
Al-Quran memberikan kefahaman kepada kita bahawa sikap ahli kitab memang sinonim dengan amalan berbantah-bantahan setelah beroleh ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Syura ayat 14 yang bermaksud, “Dan umat tiap-tiap rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (ketika menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa-apa yang disuruh dan apa-apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri, dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan daripada Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan sesungguhnya orang yang diberikan Allah mewarisi kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap kitab itu.”
Rasulullah SAW menyampaikan pesan seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih Muslim bahawa ketakwaan itu di hati dan hati itulah yang menjadi sasaran pandangan dan penilaian Allah terhadap hamba-Nya. Seharusnya para ulama memberikan penumpuan terhadap elemen hati dan kerohanian sesuai dengan pedoman Baginda. Menurut hadis riwayat Muslim, perbahasan tentang amalan hati telah diklasifikasikan dalam “ihsan”, yang merupakan puncak tertinggi dalam hubungan perhambaan seseorang hamba dengan Allah sekali gus menyempurnakan iman dan Islam.
Antara amalan hati yang terpenting bagi seseorang termasuklah khashyah, yakni takut kepada Allah. Inilah sebenarnya yang menjadi kayu ukur bagi nilai keilmuan seseorang sama ada berstatus ulama ataupun tidak. Firman Allah dalam Surah Fatir ayat 28 yang bermaksud, “Dan demikian pula antara manusia dan binatang yang melata serta binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”
Maka itu, ulama seharusnya memberikan fokus untuk membina jiwa khashyah ini terhadap kaum Muslimin sehingga bergetar hati mereka tatkala menyebut dan mengingati Allah sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud,
Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Dalam ayat ini, jelas menunjukkan peranan para ulama dalam usaha mendidik masyarakat agar mengagungkan Allah dengan cara sentiasa menghadirkan perasaan takut dalam diri. Semakin berilmu seseorang tentang kekuasaan Allah, semakin bertambah kadar ketakutannya akan azab Allah. Allah telah mensyaratkan nilai keilmuan seseorang diukur berdasarkan kadar ketakutannya kepada Allah kerana tanpa sikap takut kepada Allah dalam kerohanian, ilmu yang diperoleh pada takuk akal itu tidak memberikan manfaat walau sedikit pun buat seseorang.
Khashyah yang tersemat dalam diri akan mendidik jiwa setiap hamba untuk lebih mentaati Allah serta akan sentiasa memastikan dirinya dalam kondisi yang sejahtera lagi menyejahterakan orang lain. Oleh itu, perlulah ditanam dalam diri setiap Muslim bahawa peranan para ulama cukup besar bagi memastikan masyarakat takut akan Allah kerana kesan daripadanya akan membawa kepada penerapan adabiyah Muhammadiyah dalam kehidupan kaum Muslimin seluruhnya.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.