Oleh Aminudin Mansor
25 November 2024, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Amalan berbudi dan bertakwa dalam kehidupan wajar diterapkan dalam setiap perlakuan dan bicara bagi membentuk jati diri sesuatu bangsa. Amalan ini sangat digalakkan dalam Islam bagi membentuk dan mendidik umat berperilaku baik, pemurah dan juga sentiasa mengamalkan suruhan agama Islam bagi mendidik hati ke arah ketaatan.

Berbudi ialah amalan yang dilakukan kepada manusia, manakala bertakwa ialah beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Bagi membina diri dan membentuk peribadi, amalan berbudi dan bertakwa penting digabungkan dalam kehidupan. Amalan ini dapat mendidik hati dan jiwa manusia agar menjadi seorang yang pemurah dan juga sentiasa ingatkan Allah SWT.

 

Berbudi Amalan Mulia

Berbudi bermaksud melaksanakan amalan menabur budi bagi seseorang yang berakal dan bijaksana dalam melakukan sesuatu terutamanya yang berkaitan dengan percakapan, memberikan sumbangan dan menjaga perlakuan serta tingkah laku yang dikenali sebagai berbudi bahasa.

Dari sudut pengertian Islam, budi ialah akhlak, iaitu istilah yang diperkenalkan oleh agama Islam daripada bahasa Arab, iaitu jamak daripada perkataan al-khuluq, pecahan daripada kata al-khalaq. Dari sudut bahasa berdasarkan Kamus al-Musnid, al-khuluq bermaksud perangai, budi pekerti, tabiat dan adab.

Orang yang berakhlak ialah orang yang beriman, bermaruah dan mempunyai budi pekerti yang baik. Mereka sentiasa menjaga perilaku, perbuatan dan juga bahasa percakapan dan tulisan pada setiap masa.

Fenomena pada masa ini, budi dan akhlak tidak lagi dipandang sebagai perkara yang penting dalam kehidupan. Disebabkan kurang didikan dan ketiadaan budi serta kerosakan akhlak, pelbagai gejala sosial melanda masyarakat seperti penderaan dan pembuangan bayi, perbuatan membuli, bersikap sombong, melakukan kezaliman, serta mengamalkan cara hidup hedonisme yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup.

Imam al-Ghazali berpendapat, akhlak ialah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang daripadanya terbentuk perbuatan dengan mudah, yang tidak berkehendakkan pertimbangan pemikiran terlebih dahulu. Berdasarkan pengertian ini, akhlak yang baik dihitung berdasarkan perbuatan yang diterima oleh akal dan syarak dan begitulah juga sebaliknya perbuatan yang buruk.

Berbudi ialah cara hidup orang yang beriman. Satu daripada bentuk amalan berbudi adalah dengan melaksanakan perintah Allah SWT supaya kita berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan juga kaum keluarga. Oleh itu, kita seharusnya menghormati ibu bapa dalam pelbagai perkara yang tidak bertentangan dengan Islam, menyayangi dan mengambil berat tentang mereka, mendengar nasihat mereka, menghormati saudara yang tua dan menyayangi yang muda, serta saling membantu dalam kehidupan.

Sebagai Muslim, kita juga digalakkan berbuat baik kepada anak yatim dan orang miskin. Antara langkah melaksanakannya termasuklah dengan menyayangi dan mengasihi mereka, serta memberikan bantuan kewangan dan tenaga kepada yang memerlukan.

 

Takwa: Jalan Ketaatan

Takwa ialah ketaatan dalam mengerjakan perintah Allah SWT, kesolehan dan keimanan dalam hati dan diri. Berbudi dan bertakwa akan membentuk akhlak yang terpuji bagi seorang Muslim yang sejati.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud, “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” Ayat ini menekankan pentingnya takwa dalam kehidupan Muslim sebagai landasan iman, ibadat dan amalan harian.

Takwa berasal daripada kata akar Arab waqa yang bermaksud melindungi atau memelihara. Dalam konteks Islam, takwa merujuk sikap berhati-hati dan waspada dalam setiap tindakan untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT. Perkara ini melibatkan kepatuhan kepada perintah Allah, menjauhi larangan-Nya, dan berusaha mendekatkan diri kepada-Nya dengan penuh rasa cinta dan takut akan kemurkaan-Nya.

Terdapat banyak perkara dalam kehidupan yang memerlukan ketakwaan. Antaranya termasuklah melaksanakan perintah Allah SWT seperti menunaikan solat lima waktu dan mempertingkat amal ibadat serta mengeluarkan zakat. Solat ialah benteng yang ampuh bagi mengelakkan perkara mungkar. Dengan mengeluarkan zakat pula, kita dapat membantu Muslim lain yang dalam kesusahan dan kesempitan.

Takwa ialah asas kepada kehidupan yang diberkati oleh Allah. Dengan mengamalkannya, individu bukan sahaja mendekatkan diri kepada Allah tetapi juga menyumbang kepada keharmonian masyarakat dan kesejahteraan dunia.

Kesimpulannya, amalan berbudi dan bertakwa penting bagi membentuk akhlak mulia yang membawa kepada hubungan harmoni antara manusia serta menjaga hubungan baik dengan Allah SWT. Dengan sifat ini, kehidupan menjadi lebih bermakna, diberkati dan berlandaskan nilai kebaikan. Semoga pendidikan dan tarbiah ini memberikan kesan dalam kehidupan insan beriman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.